Sunday, January 4, 2009

Kerjaya dan Hari bahagia Buat Sari Yanti




BIARPUN sibuk dengan perancangan majlis perkahwinannya yang akan berlangsung tidak sampai dua minggu lagi, Sari Yanti Mohamad Nazari masih ligat dengan kerja-kerja seninya. Bakal suri kepada Mohd Eddy Casmady Che Hussain ini mengakui tidak membataskan aktiviti seninya dan masih terus meluangkan masa menjalani sesi fotografi bersama media dan tetap menerima tawaran berlakon.

Malah dalam menanti saat disatukan pada 16 Januari depan, artis kecil molek ini masih sempat melebarkan sayapnya dalam bidang pengacaraan apabila menjayakan program Chopp! di TV9.

Program yang dihoskan secara langsung bersama pelakon Iqram Dinzly itu disiarkan setiap hari pada pukul 8.30 malam selama lima minit.

“Entahlah, saya rasa biasa sahaja. Memang saya sibuk menguruskan hal-hal berkaitan majlis pernikahan dan persandingan tetapi tidak pula menganggu kerja-kerja saya dalam bidang lakonan.

“Cuma untuk tidak membebankan diri, sejak November lepas saya hanya menerima tawaran lakonan sebagai artis undangan sahaja.

“Bukannya apa, saya juga tidak mahu terkejar ke sana ke mari dan walaupun keluarga banyak membantu, saya juga perlulah bertanggungjawab melunaskan kerja-kerja persediaan dan perancangan perkahwinan saya itu,” katanya.

Popular dengan watak Kaisara dalam siri drama remaja, Kisah Kaisara, Sari Yanti yang mesra disapa Sari ini turut mengakui program kelolaannya di TV9 itu juga tidak menganggu tumpuannya terutama dalam membuat persiapan majlis perkahwinannya nanti.

Ini kerana, selain dirinya dan Iqram, ada beberapa artis muda yang turut mengacarakan rancangan yang memberikan penekanan kepada program-program menarik di stesen tersebut.

“Peluang dah ada depan mata, takkan nak dilepaskan begitu sahaja. Lagipun, bukan sahaja ia tidak menganggu persiapan kahwin malah kehadiran saya juga tidak menganggu kelancaran program kendalian saya kerana ada artis yang turut menjadi hos seperti Scha, Irma Hasmie dan Aidit Marcello.

“Kami akan bergilir-gilir mengendalikannya maka tidak timbul isu walaupun ia program secara langsung sebab ada hos lain yang bertanggungjawab.

“Lagipun tugas mengendalikan Chopp! fleksibel. Satu hari hanya dua orang yang mengacara dan kami akan berbincang soal jadual kerja untuk memudahkan semua,” jelas Sari Yanti.

Hanya akan bercuti beberapa hari sebelum menjelang tarikh pernikahan yang akan berlangsung di kampungnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Sari Yanti juga menegaskan, tidak akan bercuti lama meraikan hari bahagianya itu.

Ini kerana kata Sari Yanti, selepas selesai majlis bertandang di sebelah pihak lelaki pada 24 Januari ini, dia akan kembali berlakon dan mengacara seperti biasa. Malah agenda bulan madu juga tiada dalam perancangan dan bakal suaminya yang juga merupakan seorang bekas pelumba kereta yang pernah menjadi instruktor kepada aktor Norman Hakim yang memegang watak ayahnya dalam drama Kisah Kaisara, buat ketika ini.

“Bulan madu tidak dibincangkan lagi. Kalau ada satu waktu terluang dalam waktu terdekat selepas berkahwin nanti, bolehlah pergi,” katanya selamba.

* Kahwin dan kerja

Sama seperti orang lain yang teruja menempuh alam baru, gadis comel ini tidak terkecuali. Cumanya, tidak seperti kebanyakan artis lain, Sari Yanti yang simple ini bukan sahaja lebih senang mengadakan kenduri kahwin di rumah malah mahukan sebuah majlis perkahwinannya yang sederhana

Apa yang penting, tegasnya, majlis meriakan hari bahagianya itu disambut meriah dengan kehadiran tetamu, sanak saudara dan handai taulan.

“Saya memang teringin nak buat kenduri kahwin di rumah. Bukan di dewan hotel seperti yang biasa dilakukan. Pada saya, ia lebih bebas dan meriah,” ujar anak kedua daripada tiga adik beradik ini.

Pertama kali mengadakan majlis perkahwinan dalam keluarganya, kata Sari Yanti, mungkin persiapan agak kelam kabut kerana keluarganya masih tiada pengalaman namun segalanya teratur mengikut perancangan.

“Saya ini langkah bendul. Tentunya pengalaman pertama mengadakan majlis perkahwinan, kami mahukan yang terbaik. Tapi tidaklah sampai begitu beria-ia,” kata gadis berusia 24 tahun ini lagi.

Berbicara soal komitmen, selepas bergelar suami isteri, Sari Yanti menegaskan bahawa tiada halangan untuknya meneruskan kerjaya dalam bidang seni.

Bercinta selama dua tahun, Casmady, panggilan Sari Yanti kepada bakal suami yang empat tahun tua daripadanya itu sentiasa memberi sokongan dan dorongan.

“Itu yang paling best tentang Casmady. Dia bukan sahaja tidak kisah saya berlakon malah dia menggalakkan saya memasuki kelas lakonan,” kata Sari Yanti yang telah lama mengenali Casmady kerana kedua-dua keluarga mereka merupakan kenalan.

Bersedia menempuh alam perkahwinan pada usia muda, Sari Yanti menjelaskan bahawa bakal suaminya itu juga menerima gaya kerjanya yang tidak menentu masa.

“Dia relaks sahaja,” kata Sari Yanti mengenai buah hatinya itu. Namun begitu, pasti sahaja sebagai seorang isteri kepada sebuah rumah tangga, Sari Yanti tidak mahu lalai melunaskan tanggungjawab terhadap suami.

Malah walaupun mendapat sokongan suami untuk meneruskan kerjayanya, gadis bermata bundar itu tetap percaya, keutamaan diri harus diletakkan kepada alam barunya yang bakal ditempuhinya itu.

“Apabila suami sudah memberikan lampu hijau, jangan pula kita sia-siakan. Tapi dalam mengejar kerjaya, jangan pula kita lupa rumah tangga.

“Seperti orang lain, saya berharap menjadi seorang isteri yang baik dan berazam menjadi seorang isteri yang baik. Melangkah ke alam rumah tangga, pasti setiap daripada kita mahukan satu alam yang bahagia.

“Jadi saya perlu pastikan dalam apa juga yang saya lakukan dan cita-citakan dalam bidang seni, saya mesti meletakkan rumah tangga di tangga teratas. Ia tetap menjadi keutamaan dan nombor satu,” tegasnya.

* Impian

Dan melangkah ke tahap seterusnya dalam kehidupan pada 2009, selain meraikan kehidupan berdua sebagai suami isteri, Sari Yanti juga mahu melihat kerjayanya dalam bidang seni berkembang pesat.

Masakan tidak, biarpun hanya sekitar dua tahun melibatkan diri dalam bidang lakonan tetapi namanya semakin dikenali. Selain Kisah Kaisara, Sari Yanti juga berlakon dalam Gadis Merah Jambu dan Sofea Zara.

Ketika ini, sudah ada beberapa tawaran berlakon yang menanti dan untuk tahun ini, kepada penggemar Kisah Kaisara, jika tiara aral melintang, drama remaja popular itu bakal hadir untuk musim ketiga.

Begitu menyenangi Kaisara, watak yang memperkenalkan dirinya dalam dunia lakonan, bagaimanapun, Sari Yanti tetap mengharapkan dapat memberikan wajah baru kepada watak-watak yang dibawakan selama ini.

Mungkin sahaja kerana wajahnya dan tubuhnya yang kecil membuatkan ramai yang lebih senang menawarkan karakter remaja kepadanya namun Sari Yanti amat berharap, 2009 ini membuka peluangnya membawakan watak lebih mencabar.

“Memang watak remaja relevan dengan saya watak remaja tak semestinya yang lincah sahaja. Saya mahu mencabar diri membawakan watak yang kukuh walaupun remaja seperti watak gila atau mereka yang ada dua perwatakan iaitu jahat dan baik,” katanya mengenai watak yang diimpikan.

Sari Yanti juga berharap, dunia seni bukan sahaja memberinya satu kepuasan berganda pada tahun ini malah bertekad mahu mencuba setiap peringkat dalam bidang yang diminatinya ini.

Tidak sahaja dalam membawakan watak dan perwatakan, tetapi juga kerja di belakang tabir umpamanya duduk di kerusi sutradara, jika mempunyai peluang dan ruang.

“Ya, saya mahu berkembang dan maju... itulah yang saya maksudkan,” tegasnya penuh optimis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: