
SELEPAS enam tahun 'berehat' dan tidak membuat kemunculan di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL), penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain kini kembali lagi menerusi AJL 23 yang bakal berlangsung 18 Januari ini bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Acara yang dianggap terpenting dalam direktori industri seni tanah air itu membuatkan Ziana sekadar pasrah dan berserah segala-galanya kepada penilaian pihak juri terhadap lagu yang layak diumumkan Juara Lagu tahun ini.
Walaupun merasakan lagu Dingin ciptaan Azlan Abu Hassan itu tetap punya keistimewaan sendiri, namun siapalah dirinya untuk menentukan kemenangan sama ada berpihak untuk lagu Dingin.
Merendah diri adalah sikap Ziana yang harus dipuji. Masakan tidak, walaupun menjadi peserta paling senior yang akan berentap di AJL 23, namun hati Ziana tetap gusar mempertaruhkan lagu istimewa ciptaan Azlan, manakala lirik pula dicoret oleh Azalea.
Tidak dinafikan momen menggembirakan yang berpihak buat Ziana ketika kemenangan lagu Menadah Gerimis pada tahun 2002 sememangnya masih berlegar-legar dalam ingatan.
Namun, itu tidak membuatkan ibu kepada dua orang cahaya mata itu meletakkan harapan menggunung dalam AJL yang menampilkan tema Iluminasi Muzik itu.
"Sejujurnya, saya lihat semua lagu yang bertanding ke peringkat akhir ada kekuatan masing-masing. Sama juga halnya dalam kategori Balada, setiap lagu yang tersenarai cukup berbeza dan unik.
"Persaingan kini tidak seperti era saya ketika beraksi dalam AJL dulu," ungkap Ziana mengimbas pembabitan bersama AJL sebelum ini ketika ditemui pada sidang media dan cabutan nombor giliran persembahan AJL 23 yang diadakan di Sri Pentas Bandar Utama minggu lalu.
Sambung anak seni yang sarat dengan sikap peramah itu, peredaran zaman semakin berubah dengan pantas, maka banyak juga pembaharuan ditampilkan dengan deras dalam pasaran seni tempatan.
"Jika sebelum ini lagu yang bertanding dalam kategori Balada pastinya kedengaran hampir sama hingga sukar untuk dibezakan tetapi lagu-lagu yang dihasilkan kini kelihatan cukup berwarna-warni.
"Cukup hebat sebenarnya bakat-bakat muda yang ada sekarang. Mereka boleh mencipta bermacam lagu dengan menarik sekali," kata Ziana yang meluahkan pandangan ikhlas daripada salah seorang penyanyi berpengalaman di Malaysia.
Sambung Ziana lagi, dia tidak sesekali memandang status penyanyi senior sebagai satu kelebihan atau laluan mudah buat dirinya untuk mendapatkan tiket kemenangan di AJL 23 nanti.
Malah, ketika lagu Dingin diumumkan terpilih beraksi ke AJL 23 penyanyi itu tergamam dan kelu seribu bahasa.
"Saya anggap pengumuman pemilihan lagu itu ke AJL 23 adalah rezeki Azlan. Saya memang tidak sangka pada malam separuh akhir Pop Rock itu, pihak TV3 buat pengumuman mengejut bahawa lagu saya terpilih ke peringkat akhir.
"Terus terang saya katakan lagu dan lirik Dingin memang menarik sekali. Sebagai penyanyi, saya hanya luahkan sebaik mungkin. Lagipun, lagu itu cukup mencabar buat saya, malah pernafasan juga kena bagus untuk menyampaikan Dingin.
"Menurut pandangan saya, Azlan merupakan komposer yang hebat. Dia sentiasa tampil dengan lagu-lagu yang mengikut peredaran semasa, ditambah dengan alunan irama yang segar.
"Begitu juga dengan Dingin. Saya dapati susunan muzik yang dibikinnya cukup baik," sahut Ziana menzahirkan riak dan apresiasi tidak terhingga buat penggubah lagu Dingin.
![]() |
| ZIANA tidak memandang rendah keupayaan bakat-bakat baru yang bakal bersaing dengannya di gelanggang AJL 23 nanti. |
Bagai dusta semata-mata andai ada penggiat seni di negara ini yang tidak mengharapkan sebarang kemenangan apabila diberi kerusi khas di AJL. Baik yang lama mahupun baru, setiap individu itu punya impian untuk menaiki pentas AJL sambil menggondol trofi keramat itu.
Ziana sendiri ditanya tentang jangkaan peminat yang pastinya tinggi melangit terhadap penyanyi pujaan mereka itu. Menurut bekas pramugari itu, dia menyedari tentang hal berkenaan dan akan cuba sebaik mungkin untuk berikan persembahan terbaik.
"Siapa yang tidak mahu lagu yang mereka pertandingkan mendapat tempat di hati juri profesional. Saya sedar, sejak tahun 1992 lagi apabila tibanya AJL, peminat tanpa ada rasa bosan sentiasa ingin melihat sama ada saya berjaya menyampaikan lagu bernada tinggi lagi atau tidak.
"Awal-awal lagi saya sudah tahu apa yang peminat ingin lihat dalam persembahan saya. Apa yang boleh saya katakan, saya akan mencuba yang terbaik untuk komposer dan peminat.
"Saya tidak mahu paksa diri atau cuba tunjuk hebat apabila menyanyi di pentas. Mungkin sebelum ini, saya mengaku memang takut jika saya gagal memenuhi apa yang peminat mahukan dalam diri saya. Tetapi, kini saya harap para peminat faham.
"Sebagai seorang penyanyi, kita memang sentiasa ada kemahuan untuk melakukan yang terbaik, tetapi kita kena terima hakikat bahawa semua orang tidak boleh terlepas daripada membuat kesilapan," jawab Ziana tersenyum manis sambil melontarkan berita baik buat pemujanya apabila dia bakal tampil dengan sebuah album baru kemungkinan pada tahun ini.
![]() |
| |
Dingin terpilih untuk bersaing bersama 13 buah lagu lagi yang dipertandingkan menerusi tiga kategori iaitu Etnik Kreatif, Pop Rock dan Balada.
Tiga buah lagu daripada Etnik Kreatif, enam menerusi kategori Balada dan lima buah lagu di dalam kategori Pop Rock bakal berentap hebat bagi merangkul gelaran Juara Lagu Ke-23 sekali gus bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM25,000.
Bagi kategori Etnik Kreatif, tiga buah lagu yang layak ke peringkat akhir AJL 23 ialah Persoalan Cinta nyanyian Farawahida, ciptaan Julfekar dan lirik oleh Ku Seman dan Izza Rosley; Dusta Berkalang nyanyian Aiman (Hafiz Hamidun/Ahmad Fedtri Yahya) dan Doa Dalam Lagu nyanyian Zahid dan Heliza (Ajai/Loloq).
Bagi kategori Balada pula, selain Dingin, lagu yang turut berjuang pada malam itu ialah Bila Nak Saksi oleh Spider (Tam/Loloq); Hanya Di Mercu nyanyian Ayu (Aubrey Suwito/Habsah Hassan); Cuba nyanyian Faizal Tahir (Audi Mok/Faizal Tahir); Lagu Kita oleh Aizat (Aizat) dan Sampai Syurga didendangkan Faizal Tahir (Audi Mok/Faizal Tahir).
Lima buah lagu yang bertanding dalam kategori Pop Rock pula terdiri daripada Kalis Rindu dendangan Elyana (Aidit Alfian/Ad Samad); Lagu Untukmu oleh Meet Uncle Hussein (Taja, Tass, Lan/Taja, Tass); Yang Pernah disampaikan oleh Estranged (Estranged/Estranged); Aku Stacy nyanyian Stacy (Intan Norul Azlin/Intan Norul Azlin, Layla Ismail) dan Bukan Di Sini oleh Sofaz (Zimi, Ameer/One).


arap2 ziana menang!!!!
ReplyDelete