Thursday, January 1, 2009

Katanya Buka Tirai 2009


VINCE


SEBAGAI membuka tirai tahun 2009, Astro Ria dengan bangganya membawakan Katanya, sebuah program yang bakal menggamit semula memori indah yang pernah dilalui oleh bekas para pelajar Akademi Fantasia (AF) yang kini sudah pun bergelar bintang.

Program istimewa itu juga bakal mengupas lebih lanjut tentang perkembangan bintang AF dalam meniti perjalanan untuk bergelar anak seni yang berwibawa.

Program lapan episod itu akan dihoskan oleh pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan, "Kami di Astro amat terharu dan berbesar hati dengan segala sokongan padu yang tidak pernah padam oleh para pelanggan sejak mula program Akademi Fantasia diperkenalkan sehinggalah kini.

"Program Katanya dihasilkan khusus untuk mengimbas kembali saat suka dan duka para bintang AF sepanjang berlangsungnya enam musim program realiti itu setakat ini.


KAER


"Ia ditujukan khas buat para penonton sebagai tanda penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada sokongan mereka yang sememangnya amat bermakna buat kami."

Tambahnya, "Saksikan juga pendedahan istimewa tentang tip-tip persediaan yang berguna untuk mereka yang ingin menyertai sebarang program yang berkonsepkan rancangan realiti kelak.

"Kami berharap agar pendedahan yang akan dipaparkan menerusi program ini nanti dapat menarik minat seterusnya menggalakkan lagi penyertaan daripada orang ramai dalam program-program seumpama ini.

"Kami amat memerlukan bakat-bakat yang telah berjaya dicungkil menerusi program-program AF sebelum ini seperti Mawi, Mila, Stacy, Zahid, Vince, Faizal, Felix, Akma, Bob, Aizat, Kaer, Rosma, Khai, Amelia, Marsha, Linda dan banyak lagi untuk memeriahkan lagi industri seni tanah air."


KHAI dan ROSMA


Katanya yang akan bersiaran selama 30 minit setiap episod itu akan membawa para penonton untuk mengikuti dengan lebih dekat pencapaian dan projek terbaru bintang-bintang AF kesayangan ramai.

Program yang padat dengan informasi yang menarik itu terbahagi kepada tiga segmen yang setiap satunya akan membincangkan mengenai pelbagai topik, isu dan gosip yang berlainan.

Setiap topik telah disuntik dengan elemen-elemen unik dan istimewa yang pastinya menghiburkan. Para penonton akan dihidangkan dengan tiga topik segar dan hebat yang berlainan setiap episod sepanjang 8 minggu bersiarannya program tersebut.

Selain daripada itu, nantikan juga penampilan istimewa bekas pengetua dan para bintang AF pada setiap episod seperti Ramli MS, pasangan Mawi dan Ekin, Stacy, Mila, pasangan Rosma dan Khai, Reza, Nana, Adi, Burn dan ramai lagi.

Antara paparan menarik yang bakal dihidangkan termasuklah gelagat para bintang AF sewaktu sesi rakaman album di studio dan persediaan ketika di set pengambaraan drama atau filem serta banyak lagi.


MARSHA


Para penonton juga berpeluang untuk mengetahui tip-tip hebat tentang dandanan, solekan serta penggayaan rambut yang sesuai untuk ke sesi uji bakat mana-mana program realiti terutama Akademi Fantasi.

Penonton juga boleh mempelajari dengan lebih lanjut tentang cara pemilihan pakaian dan warna yang tepat untuk memastikan imej dan keterampilan diri adalah sesuai untuk digayakan ke sesi uji bakat AF.

Program hebat itu pastinya akan mengubat kerinduan para penonton kepada bintang-bintang AF pada musim-musim yang lepas.

Adakah tradisi AF akan disambung semula untuk musim yang seterusnya? Jangan lupa untuk saksikan sama ada persoalan ini akan terjawab dalam program Katanya di Astro, (Saluran 104) bermula Ahad ini, 4 Januari pukul 9.30 malam!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: