Sunday, January 25, 2009

Juliana Evans Di Goda Suami Orang!

image

Jualiana semakin dikenali selepas membintangi drama bersiri Kami The Series dan terus menjadi sebutan apabila berpeluang mengacarakan program Remaja di TV3

CANTIK dan fotogenik! Itulah Juliana Evans apabila diminta beraksi di depan kamera, di kaca TV mahupun di layar lebar, hasilnya tidak pernah mengecewakan. Juliana, seorang bintang pan-Asian yang diberi jolokan Julia Rais ketika era kegemilangannya, mampu dijulang sebagai pelapis industri hiburan asal saja dia rajin berusaha mengasah bakat, memperoleh naskhah yang bagus dan sentiasa merendah diri, selain nasib baik yang menyebelahinya sebagai geran kejayaan.
Namanya semakin dikenali selepas membintangi drama bersiri, Kami The Series dan terus menjadi sebutan apabila berpeluang mengacarakan program Remaja di TV3 mulai 2005 hingga tahun lalu bergandingan dengan bintang One In A Million (OIAM), Alif Satar. Namun, ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari apabila menjelang 2009, khidmat Juliana bersama Alif sebagai hos Remaja, tiba-tiba ditamatkan.

Selepas digugurkan tanpa diberitahu dengan notis awal, tempat kedua-duanya digantikan dengan wartawan penyiaran yang bertugas dalam produksi berkenaan. Pihak penerbitan menghubungi Juliana dan Alif, memberitahu khidmat mereka tidak diperlukan lagi. Lebih mengecewakan Juliana, kontraknya bersama Remaja hanya akan tamat April depan.

"Memang saya rasa terkilan sangat. Rasa macam tidak dihargai. Namun, saya pujuk diri, apabila berlakunya situasi seperti ini, anggap saja rezeki bersama Remaja setakat ini saja. Pun begitu, jasa TV3 kepada saya tidak pernah dilupakan. Kini, alhamdulillah, selepas meninggalkan Remaja, tawaran sebagai pengacara TV tetap ada, itulah dinamakan sebagai rezeki asal saja kita terus berusaha," kata Juliana yang semakin gah menempa nama di bidang lakonan.
Drama bersiri terbaru lakonannya, Kasut Tumit Tinggi sebanyak 13 episod mula menemui penonton menerusi Astro Prima sejak 22 Januari lalu, manakala dia juga sedang menanti tayangan filem Hooperz yang dijadual menjengah pawagam sekitar pertengahan tahun ini.
Tidak sah atau tidak lengkap kehidupan seorang selebriti hiburan jika tidak dikaitkan dengan kisah cinta, begitu juga dengan Juliana. Dia pernah menjalin hubungan cinta dengan bintang kacak Akademi Fantasia 2 (AF2), Adam, tiga tahun lalu. Kini, segala-galanya hanya kenangan terindah, tidak perlu diungkit kembali cerita lama apabila ketika ini masing-masing sudah membawa haluan sendiri.
Adam sudah menemui cinta baru, gadis jelita yang masih bergelar pelajar dikenali sebagai Joanna dan berasal dari Sabah, Juliana bagaimana?
"Selepas putus kasih dengan Adam dulu, kira-kira sebulan menyendiri, saya akhirnya bertemu teman baru. Bukan golongan artis, sebaliknya pemuda biasa yang terbabit dengan dunia perniagaan," katanya berterus-terang.
Juliana mengakui, pemuda berkenaan berusia 23 tahun dan baru saja menamatkan pengajiannya, kini bergelar ahli perniagaan.

"Terus teranglah, saya tidak selesa berkasih atau bercinta dengan artis mahupun selebriti. Pengalaman dengan Adam dulu, kami hilang privacy, masing-masing artis, bercinta pun orang tak tahu. Kini, apabila saya bertemu dengan pemuda kebanyakan, saya kurang tekanan, apabila orang bertanya, Juliana bercinta ke, saya tidak teragak-agak untuk mengakui perkara itu, yes I'm in love!
"Kami tidak mahu berahsia. Tidak ada apa yang perlu dimalukan apabila putus kasih. Sekiranya ditakdirkan kami tak ada jodoh, putus cinta, itu lumrah kehidupan, perkara biasa! Setiap orang akan melalui proses itu. Tapi, secara jujurnya, saya mengharapkan episod cinta yang baru saja bermula kira-kira dua tahun ini akan berkekalan. Habiskan belajar dulu, memajukan karier masing-masing dan jika kuat jodoh antara kami, kahwin!," katanya lagi.

Pengalaman digoda suami orang?
"Tak kiralah suami orang ke, tunang orang ke, mahupun teman lelaki orang lain, saya akui pernah melalui situasi didekati mereka yang sudah berpunya! Dalam usaha mendekati diri saya, macam-macam pujian diberikan. Kata-kata manis sentiasa bermain di bibir mereka. Namun, saya seorang perempuan, saya tidak sanggup melukai hati perempuan lain, termasuklah perasaan kekasih sendiri. Curang, itu bukan diri saya!
"Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi, jadi jangan layan! Kalau diberi muka, mulalah! Namun, dalam usia begini, saya tidak mahu memikirkan soal cinta terlalu serius, tambahan pula status saya sebagai seorang pelajar. Tapi, naluri seorang remaja, pasti tidak dapat lari daripada cinta. Seronok rasanya apabila diri dicintai dan menyintai orang yang kita sayang. Yang penting, lelaki itu bukan hak orang lain. Saya tidak mahu dilabel perampas!," akui Juliana yang memiliki aset secantik hidungnya.
Sejauh mana Juliana percaya dengan gosip dan kontroversi yang ada kalanya membantu melonjakkan nama seseorang artis itu?
"Ia membantu, saya percaya. Tapi, selagi boleh saya cuba elakkan terkena gosip dan terbabit dengan cerita negatif. Saya mahu dikenali dengan kerja dan usaha yang dilakukan, itu lebih diberkati dan berkekalan. Namun, saya juga seperti remaja kota lain, bergembira dengan kawan-kawan, karaoke, ada teman lelaki dan bersosial, namun segala-galanya perlu ada batasan. Sebagai pelajar, artis dan remaja, saya ada tanggung jawab, selain memelihara nama baik keluarga," katanya yang kini sedang menyiapkan penggambaran musim kedua, drama bersiri Ghost.

INFO: Juliana Evans

  • NAMA PENUH: Juliana Sophie Johari Evans
  • TARIKH LAHIR: 5 Julai 1989
  • DARAH CAMPURAN: Inggeris (bapa) dan Melayu (ibu)
  • KELUARGA: Bongsu daripada tiga beradik
  • ASAL: Petaling Jaya, Selangor
  • PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Sunway University College, Bandar Sunway, Petaling Jaya
  • KOMERSIAL: Tracia Eternal, Fair & Lovely, Nokia 2600 dan Clean & Clear
  • PROGRAM TV: E-Zone (Astro Ria), Majalah Moral (TVIQ), Bintang Kecil Raya (TV9) dan Remaja (TV3)
  • DRAMA: Kami The Series (8TV), Ghost (8TV) dan Kasut Tumit Tinggi (Astro Prima)
  • FILEM: Kami The Movie dan Hooperz.
  • Solekan: Riezza Amour (013) 434 3615
  • Dandanan: Zul Bastari (012) 381 2671
  • Pakaian: Koleksi peribadi Juliana.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: