Thursday, January 22, 2009

Dengarnya...: Cakap tak cermin diri sendiri


APABILA teman Cik Normah menyampaikan cerita yang satu ini, tiada lain yang tergambar dalam fikiran selain kagum dengan sikap berangan pengacara 'air suam sejuk' ini yang Cik Normah rasa sudah sampai ke tahap kronik.

Pengacara yang Cik Normah maksudkan ini pun bukanlah tersenarai dalam kelas B, jauh sekali dalam kelas A tetapi melihat kepada impiannya yang melangit itu membuatkan kawan Cik Normah yang menyampaikan cerita itu macam nak pecah perut menahan gelak.

Kisahnya sewaktu diwawancara, pengacara ini menyamakan dirinya dengan seorang pengacara lain bertaraf antarabangsa yang memang terkenal dengan kredibilitinya sewaktu mengendalikan program bual bicara miliknya.

Malah, dia juga bercita-cita untuk mengikut jejak langkah personaliti terkenal itu dan mahu menjadikan program yang dikendalikannya itu sama seperti program pengacara antarabangsa itu.

Kata teman Cik Normah ini lagi pengacara sensasi ini juga bercadang untuk mengenakan bayaran kepada penonton yang mahu menyaksikan programnya itu yang selama ini dibuat secara percuma.

Lebih melucukan, dia menjadikan pelancong asing sebagai penonton sasaran untuk menyaksikan programnya yang kononnya meletup itu. Wah! hebat sungguh impian pengacara ini. Rasanya boleh kalah pengacara nombor 1, 2 dan 3 yang ada di Malaysia ini.

Sebenarnya bukanlah Cik Normah hendak mematahkan semangat sesiapa tetapi nampak sangat kenyataan itu tak berpijak di bumi nyata. Lagi pun kalau hendak dibuka sejarah pengacara ini, rasanya mampu ke nak buat program seperti idolanya itu.

Cakap pun tak betul selain lawak merapu yang memang sinonim dengannya membuatkan Cik Normah hanya mampu menggeleng kepala dan berdoa semoga pengacara ini tidak terus sesat di alam berangannya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: