Monday, January 5, 2009

Cinta Dua Sejoli Zaff Dan Opie


PASANGAN mempelai ceria di hari persandingan mereka.


TIADA yang lebih manis dalam hidup ini apabila cinta suci yang dibina berjaya disatukan. Sementelah sememangnya perkara itu merupakan sebuah impian suci yang didambakan oleh setiap insan agar diberikan kesempatan untuk menghabiskan waktu untuk hidup bersama orang yang dicintai.

Begitu jugalah impian yang diharapkan oleh penyampai radio Suria FM, Zaffrina Abd Rahman, 27.

Cinta yang disemai lebih setahun itu akhirnya termetri dengan ikatan perkahwinan.

Tidak mahu cinta itu kecundang sama seperti cinta lalu, akhirnya Zafrina atau lebih mesra dengan panggilan Zaff ini telah memilih Penerbit Promo Astro, Suffian Harris Mustapa atau Opie, 31 sebagai suami.

Memilih tarikh 29 Disember 2008, ia sebagai mengambil keberkatan sempena kedatangan Tahun Baru Islam untuk disatukan sebagai suami isteri, Masjid Al-Ikhwaniah, Taman Cheras Utama, Kuala Lumpur menjadi saksi kisah cinta mereka.

Zaff menerima wang hantaran sebanyak RM15,022.12 beserta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Selang beberapa hari selepas itu majlis resepsi pihak perempuan pula telah diadakan sempena kedatangan tahun baru 2009.

Jelas anak sulung daripada lima beradik ini, dia sendiri tidak menyangka akan episod cintanya berakhir dengan penyudah yang menggembirakan pada tahun baru ini.

"Saya memang tak sangka akan menamatkan zaman solo saya pada tahun ini. Sebabnya saya tak terfikir ke arah itu lagi. Tapi apabila adik perempuan saya berkahwin pada bulan Jun lalu, ibu saya menyuarakan keinginannya untuk melihat saya pula berkahwin.

Bersetuju

"Hasrat itu saya suarakan pada Opie dan tak sangka pula dia bersetuju dengan permintaan ibu saya," katanya ketika ditemui selepas majlis persandingannya di Dewan Komuniti Taman Tun Dr Ismail, Jalan Anthinappan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyambung perbualan, terang Zaff, dia amat bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang lelaki yang amat memahami dirinya.

"Saya bersyukur kerana kenal dia (Opie) dan akhirnya menjadi suami saya. Opie seorang yang penyabar dan kelakar. Dia banyak menyejukkan keadaan apabila saya marah," katanya sambil tersenyum.

Ketika diminta berkongsi kenangan manis detik pertemuan dan percintaan mereka, kedua-duanya saling tersenyum.

"Saya mula kenal dia masa saya buat latihan praktikal di ntv7. Tapi masa itu saya ada kekasih hati dan kami hanya berkawan. Selepas habis praktikal hubungan kami terputus.

"Kemudian kami berjumpa semula di Konsert 3 Diva dan kebetulan saya dah putus cinta. Dari situ semuanya bermula," cerita Zaff mengenai perkenalan itu.

Sampuk Opie, peribadi Zaff yang kurang bersosial itu membuatkan dia jatuh hati terhadap wanita berkulit putih itu.

"Sejak mengenali dia, saya tengok dia bukan jenis yang keluar malam. Kalau balik pun sebelum pukul 12 malam. Itu yang membuatkan saya suka pada dia.

"Selain itu dia ini lain daripada wanita yang saya kenal. Dia tak pandai memasak. Itu antara sebab saya suka pada dia," katanya sambil ketawa besar.

Majlis

Bercerita lanjut mengenai majlis persandingannya itu kata pengendali segmen Suria Drive-In setiap Isnin hingga dari pukul 4 hingga 8 malam ini, dia dan suami memang merancang untuk menyempurnakan majlis itu secara ringkas.

Malah baju pengantin yang dipakainya pada hari bersejarah itu merupakan rekaannya sendiri.

"Saya tak suka yang majlis yang besar. Ini sudah mencukupi dapat bersama keluarga dan rakan-rakan yang lain. Kami selesa dan idea ini semua datangnya daripada kami sendiri," jelasnya yang manis mengayakan busana berwarna hijau.

Selain keluarga dan kenalan rapat, beberapa rakan artis turut hadir antaranya artis popular Erra Fazira dan suaminya, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin serta artis-artis popular lain seperti Farhan, Izwan Pilus dan ramai lagi.

Kata bekas penari Erra Fazira Entertainment (EFE) ini, dia agak sedih kerana salah seorang adiknya tidak dapat menghadiri majlis pada petang tersebut.

"Adik lelaki saya tak dapat hadir sebab dia belajar di luar negara (New Castle). Sebab masa adik perempuan saya kahwin dia dah balik jadi kali ini dia tak dapatlah pulang. Sedih juga sebab adik kita tapi tak mengapalah," ujarnya lagi.

Mahu anak dua orang

Sama seperti pasangan pengantin yang lain jelas Zaff, dia dan suami amat berharap agar dikurniakan dua cahaya mata.

Namun tidaklah dalam masa yang terdekat kerana masing-masing sibuk dengan tuntutan kerja.

"Jika diizinkan Tuhan, saya dan Opie inginkan dua orang cahaya mata, tapi bukan dalam masa terdekat mungkin selepas setahun usia perkahwinan kami.

"Ini kerana dalam masa terdekat ini biarlah kami berdua menghabiskan masa untuk bermanja dahulu," jelasnya.

Akui Opie, selepas semuanya selesai mereka berdua akan menikmati saat-saat manis berbulan madu di Pulau Langkawi sementara pada pertengahan tahun ini mereka merancang menyambung destinasi berbulan madu mereka ke luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: