TIGA daripada empat sekawan ini mula dipertemukan dalam filem Tentang Bulan arahan pengarah terkenal, Ahmad Idham pada tahun 2006.
Mereka yang dimaksudkan adalah Nik Muhammad Farith Adruce atau lebih popular sebagai Adruce, Fatin Nurafifah Shamsudin (Fatin) dan Nur’Arina Abdul Malek (Erin Malek).
Meskipun mereka masih lagi boleh dianggap hijau dalam bidang seni, namun, impak yang terhasil daripada filem Tentang Bulan telah menjadikan mereka sebagai antara bintang pelapis yang semakin mencipta nama dan diminati khususnya golongan kanak-kanak.
Begitu juga dengan pelakon remaja, Muhamed Eric Muhamed Fuzi atau lebih dikenali dengan nama komersial, Eric Fuzi yang lebih dahulu mencipta nama sebagai seorang pelakon.
Walaupun tidak membintangi filem Tentang Bulan, tetapi, Eric sudah bersahabat dengan keempat-empat temannya yang lain sejak sekian lama.
Kini, mereka ditemukan dalam sebuah filem komedi sains fiksyen berjudul Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib (Brainscan) yang sudah pun ditayangkan bermula 25 Disember lalu.
Selain mereka berempat, filem berkenaan turut dibintangi oleh Zul Yahya, Nik Sayyidah, Sharifah Shahirah dan Cat Farish.
Dalam satu fotografi yang diadakan di Studio Utusan, baru-baru ini, keempat-empat sahabat ini galak bercerita tentang filem arahan Idham itu sementelah ‘diperap’ hampir dua tahun sebelum ditayangkan kepada umum.
Bukan itu sahaja, keempat-empat mereka juga mempunyai perancangan dan visi tersendiri seiring dengan status mereka sebagai seorang pelajar.
Adruce semakin matang
Pelakon comel ini sememangnya cukup diingati menerusi watak Bulat dalam filem Tentang Bulan. Apatah lagi dengan bentuk fizikalnya yang agak berisi ketika itu menjadikan dia sebagai pelakon kanak-kanak yang menjadi perhatian. Malah, ketika filem itu menjalani penggambaran, usianya baru 12 tahun.
Namun, kini, setelah dua tahun berlalu, Adruce kini sudah menginjak ke fasa baru dalam hidupnya yang menjadikan dirinya sebagai seorang yang cukup matang dan ini ditambah dengan fizikalnya yang juga semakin susut.
Menyedari hakikat dirinya sudah dewasa, Adruce semakin optimis dengan kerjaya seninya di samping menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar.
Apatah lagi, tahun 2009 menyaksikan anak jati Petaling Jaya ini perlu berdepan dengan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan membuatkan dirinya bijak membahagikan masanya.
“Demi penumpuan saya terhadap PMR, saya hanya akan berlakon dan mengacara pada hujung minggu dan cuti sekolah sahaja. Walaupun bidang seni ini merupakan minat saya tetapi pelajaran harus saya utamakan dahulu,” kata anak tunggal ini membuka bicara.
Jelasnya lagi, tahun 2008 sudah cukup menyaksikan dirinya aktif dalam bidang lakonan dan pengacaraan serta memerlukannya dirinya ke luar daerah demi tuntutan kerjanya sebagai seorang anak seni.
“Biarlah tahun 2009 ini saya kurangkan aktiviti seni saya dan inilah yang dikatakan pengorbanan. Saya percaya rezeki itu tetap ada dan dalam masa yang sama, saya boleh mencari ruang untuk memperbaiki diri saya dalam bidang lakonan serta pengacaraan,” jelasnya optimis.
Untuk tahun 2009, peminat Adruce tidak akan lagi dapat menyaksikan dirinya mengacarakan Adik Di 9 tetapi sebaliknya, dia akan digandingkan bersama bintang popular, Nabil Ahmad dalam rancangan permainan Harta Mania yang akan ditayangkan di TV9.
Bercerita tentang Brainscan, Adruce menyatakan betapa bertuahnya dirinya dapat berlakon semula di bawah arahan Idham walaupun filem itu terperap agak lama.
“Apabila filem ini sudah ditayangkan, saya bersyukur setidak-tidaknya, peminat dan penonton dapat menyaksikan lakonan saya semasa saya masih lagi kanak-kanak (ketawa).
“Apa yang saya harapkan filem ini mampu menarik perhatian penonton kerana ia sarat dengan aksi komedi dan amat sesuai sekali untuk tontonan seisi keluarga. Sementara filem ini masih lagi ditayangkan, jadi luangkanlah masa untuk menontonnya,” katanya sambil mempromosikan filem keempatnya itu.
Erin Malek tidak pernah puas
Pelakon yang petah bercakap ini ternyata begitu optimis dengan setiap langkah seninya.
Begitu pun, pemuja bintang jelita, Erra Fazira ini menjelaskan, istilah puas hati tidak pernah langsung wujud dalam kamus hidupnya.
Ini kerana, setiap lakonannya dia merasakan masih lagi wujud ruang untuk diperbaiki untuk dia meletakkan dirinya sebagai seorang pelakon yang disegani satu hari nanti.
“Setiap filem mahupun drama yang saya lakonkan, perkara utama yang saya akan pastikan adalah untuk memuaskan hati pengarah dengan mengikut apa yang dikehendaki oleh mereka.
“Begitu juga dengan filem Brainscan ini yang saya percaya saya telah melakukan sehabis baik untuk memuaskan hati pengarahnya.
“Walaupun wataknya tidak banyak serta tidak sukar seperti mana filem saya yang lain tetapi saya gembira kerana dapat kembali berlakon di bawah uncle Idham yang banyak memberikan tunjuk ajar dan bimbingan,” kata Erin yang pernah menerima pencalonan untuk Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21, Ogos lalu menerusi filem Congkak.
Seperti mana Adruce, begitu juga dengan misi Fatin untuk mengurangkan aktiviti seninya memandangkan dia juga akan menghadapi peperiksaan PMR.
“Tahun 2007 dan 2008 saya agak aktif dengan bidang lakonan sehingga saya terpaksa meminta kebenaran bercuti dari pihak sekolah. Tetapi, untuk tahun ini, saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat keputusan yang cemerlang dalam PMR,” janjinya.
“Kami memang serasi” - Fatin.
Dipertemukan menerusi filem Tentang Bulan sudah cukup menjadikan Fatin bersama Adruce dan Erin menjalinkan persahabatan yang cukup erat.
Maka, dengan itu, tidak hairanlah sepanjang menjalani penggambaran filem Brainscan ini, ketiga-tiga mereka tidak menghadapi masalah untuk membimbing dan menegur antara satu sama lain.
Begitu juga persahabatannya bersama Eric yang disifatkannya sebagai abang memandangkan pelakon tersebut yang paling tua antara mereka.
“Biasalah, ada kalanya, kami juga tidak bersefahaman tetapi, rajuk kami tidak lama. Tidak berapa lama selepas itu, kami baik semula.
“Sebagai seorang sahabat dan teman, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menegur sesama kita. Sepanjang menjalani penggambaran filem ini, ia merupakan pengalaman yang cukup menyeronokkan.
“Mengenai watak Fatin yang saya bawakan dalam filem ini ia ternyata cukup berbeza dengan apa yang telah saya bawakan menerusi filem Tentang Bulan yang menyaksikan saya sebagai seorang tomboy.
“Kali ini, wataknya agak ringan dan saya hanya perlu diri saya sendiri di samping membela Adruce yang menjadi abang saya dalam filem ini daripada sering diganggu oleh Eric,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini.
Dalam perkembangan lain, Fatin turut menyatakan rasa bangganya apabila terpilih menjadi pengacara untuk rancangan Jurnal Pelajar yang akan ditayangkan di RTM tidak berapa lama lagi.
Pengalaman baru Eric
Pelakon yang banyak meraih pengalaman menerusi pentas teater ini ternyata teruja dengan filem Brainscan ini.
Apatah lagi, pertama kali beraksi di bawah arahan Idham, menjadikan ia sebagai satu pengalaman yang cukup manis dan berharga.
“Sewaktu di lokasi, dia memang seorang yang tegas kerana saya percaya dia lakukan itu hanya kerana mahukan yang terbaik daripada kami.
“Namun, di sebalik ketegasan itu, mujurlah saya tidak pernah dimarahi olehnya sepanjang penggambaran. Saya sudah memberikan yang terbaik untuk filem ini. Malah, apa yang dia mahukan, saya cuba memberikan hasil yang mampu membuatkan dia puas hati,” jelasnya yang sebelum ini pernah membintangi filem Budak Lapok dan Kayangan.
Brainscan menyaksikan Eric memegang watak sebagai seorang budak nakal yang mempunyai sikap yang sungguh menjelikkan sehingga mampu menimbulkan perasaan benci dan menyampah.
Memulakan karier seninya sejak tujuh tahun lalu, Eric menjelaskan dia kin semakin matang dan banyak perubahan dalam dirinya untuk terus menjadi seorang pelakon yang baik.
Dalam perkembangan lain, Eric turut memberitahu dia kini sudah pulih sepenuhnya daripada penyakit meningitis yang menyebabkan dirinya perlu berehat daripada dunia lakonan untuk satu tempoh yang agak lama tahun lalu.
“Kini, saya sudah pulih sepenuhnya walaupun doktor menasihatkan saya untuk berehat lagi dan menjalani rawatan susulan. Saya kini bersedia untuk berlakon semula,” katanya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: