NAMA Adnan Abu Hassan bukan lagi asing di persada muzik tanahair. Lebih 30 tahun bergiat aktif dalam bidang penghasilan lagu, Adnan melangkah setapak lagi dengan bergelar penerbit filem menerusi filem sulung terbitan produksi miliknya, Fantasy Film, berjudul Bunian: Mahkota Seri Helang.
Filem epik yang menelan belanja sebanyak RM3.5 juta ini merupakan pertaruhan pertama Adnan di layar perak dengan menyaksikan pelakon hebat seperti Rusdi Ramli, Nasha Aziz serta pendatang baru, Mimi Rahzia sebagai tunggak utama filem tersebut.
Lebih menarik lagi, filem ini juga akan dibuat di dalam bentuk trilogi, mengambil idea yang dibuat menerusi filem antarabangsa, Lord of the Ring.
"Memang sejak kecil lagi saya sudah berminat dengan penulisan cerita bercorak fantasi. Tetapi ia terhenti kemudiannya setelah saya terlibat di dalam bidang muzik.
"Lebih kurang tiga tahun lalu saya terfikir untuk menghasilkan cerita tentang bunian dan meluahkan hasrat saya untuk jadikannya dalam bentuk filem kepada Zaharil Izham atau Jantan yang kini merupakan pengarah filem ini.
"Dalam tempoh itu, saya telah menulis sinopsis cerita bunian ini dan nampaknya impian saya untuk buat filem berjaya juga direalisasikan," kata Adnan pada sidang media sempena pelancaran filem tersebut, baru-baru ini.
Filem Bunian: Mahkota Seri Helang yang akan memulakan penggambaran pada bulan hadapan itu dilancarkan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Menurut Adnan, subjek 'bunian' itu dipilihnya kerana setakat ini, tidak ada filem Melayu yang mengangkat kisah tentang makhluk ini.
"Sebenarnya, saya hanya menyediakan sinopsis dan serahkan kepada mereka yang pandai membuat skrip untuk mencantikkan lagi jalan ceritanya.
"Bagi saya, subjek ini cukup menarik kerana jika tidak salah saya, kali terakhir filem tentang bunian dibuat ialah oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
"Tetapi, memang idea untuk hasilkan filem ini turut diinspirasikan dari filem Lord of the Ring. Tetapi tidaklah sampai ke tahap itu. Idealogi yang mereka letakkan itu yang memberikan saya ilham untuk buat filem ini dan hasilkannnya juga dalam bentuk trilogi seperti Lord of the Ring.
"Insya-Allah, selepas habis filem ini nanti dan jika bajet mencukupi, mungkin kita akan terus mulakan dengan filem Bunian yang kedua itu," kata Adnan yang menambah, jarak tempoh pembikinan setiap filem itu mungkin dalam setahun.
Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan tentang Rosman yang masuk ke dalam alam bunian setelah terjatuh ketika mendaki gunung. Dia dibantu oleh Puteri Manja Sakti (Nasha) dan dibawa ke perkampungan bunian.
Lama-kelamaan, terbit perasaan cinta di hati Rosman dan Puteri Manja Sakti, namun pada masa yang sama Rosman juga turut disukai oleh Puteri Mawar Putih (Mimi).
Pelbagai konflik timbul seterusnya apabila kampung bunian itu dilanda masalah serta keinginan Rosman yang ingin kembali ke alam nyata.
Dalam pada itu, proses penggambaran yang mungkin memakan masa dua bulan itu akan dilakukan di Kundasang, Sabah dan Kuala Lumpur. Ia juga kemungkinan akan dilakukan di New Zealand kerana pemandangan yang menarik dan sesuai untuk penggambaran filem tersebut.
Mengulas mengenai bajet RM3.5 juta yang agak tinggi itu, katanya jumlah kos itu diperuntukkan kerana filem tersebut memerlukan kos yang tinggi untuk set perkampungan bunian, rekaan alat senjata serta penggunaan teknik komputer CGI.
"Hampir 90 peratus filem ini adalah berlatarbelakangkan dunia bunian. Jadi, kita akan rekakan lebih kurang 10 hingga 20 buah rumah untuk set perkampungan bunian.
"Kalau ikutkan, RM3.5 juta itu pun tidak begitu mencukupi kerana kami juga perlu menggunakan teknik CGI yang memang menelan kos yang tinggi. Tetapi, kita akan cuba buat yang terbaik," kata Adnan lagi.
Ujarnya, lebih kurang 30 hingga 40 peratus babak akan melibatkan penggunaan CGI.
Mengenai pemilihan pelakon pula, jelas Adnan, mereka dipilih tanpa mengadakan sesi 'casting' setelah dipersetujui bersama oleh pihaknya.
"Bagi saya, Rusdi adalah yang paling layak untuk menjadi hero filem ini. Begitu juga dengan Nasha dan Mimi yang saya rasakan paling sesuai untuk bawakan watak puteri bunian," tuturnya.
Turut berlakon di dalam filem ini ialah Erry Putra, Beego dan Ridzuan Hashim. Selain itu, album runut filem ini juga bakal menampilkanlagu-lagu ciptaan Adnan sendiri dan dinyanyikan oleh artis-artis bimbingannya iaitu Sheila Abdull, Nurul Fazilah dan Ian Helmy.
Datuk Siti Nurhaliza juga akan menyanyikan sebuah lagu ciptaan Adnan yang berkonsepkan 'joget bangra'.
Jantan sanggup masuk alam bunian
Pertama kali diberi peluang mengarah filem pastinya mengundang perasaan gementar buat Zaharil Izham atau lebih dikenali dengan panggilan Jantan, apatah lagi filem tersebut cukup 'berat'.
"Pertama kali melihat skripnya, memang saya takut. Beberapa kali juga saya menolak, tetapi akhirnya saya cuba juga sahut cabaran kerana saya yakin dengan seluruh produksi ini," kata Jantan yang banyak mengarah drama dan komersial.
Apa yang menarik, bagi memastikan pemahamannya tentang bunian lebih mendalam, Jantan juga sanggup 'melawat' alam bunian atas bantuan seorang ustaz ketika bulan puasa tahun lalu.
"Itu adalah pengalaman yang tidak boleh saya lupakan. Adakalanya seram sejuk bila saya teringat semula. Benda ini bukan dibuat-buat, tetapi dengan kuasa Allah saya berpeluang ke alam bunian bersama tiga orang lagi termasuk ustaz yang berasal dari Johor itu.
"Semuanya berlaku secara kebetulan saja kerana ketika itu saya sedang membuat kajian tentang bunian. Kemudian seorang kenalan bertanyakan kepada saya jika saya ingin 'pergi' ke sana dan dia perkenalkan saya kepada ustaz tersebut.
"Pada awalnya, saya sendiri skeptikal. Tetapi akhirnya saya setuju dan kami ke sebuah hutan di Taman Melati, Cheras dan di situ, kami 'melangkah' ke alam tersebut," kata Jantan.
Ceritanya lagi, sebelum itu dia juga perlu berpuasa dengan hanya makan buah dan minum air kosong selama tujuh hari sebelum tibanya hari tersebut.
"Menurut ustaz tersebut, puasa seperti itu perlu dibuat untuk masuk ke sana yang mana. Sesiapa jua perlu berpuasa seperti ini jika ingin ke alam mereka.
"Sukar untuk saya gambarkan bagaimana perasaan saya sebaik melangkah ke alam tersebut. Apa yang saya tahu, saya berada di perkampungan mereka selama satu jam tetapi bila kembali ke alam nyata, saya lihat tempoh saya berada di sana sebenarnya lebih kurang empat jam lamanya," kata Jantan.
Pengalaman berada di alam bunian itu turut dikongsi oleh pengarah ini dihadapan media.
"Bahasa dan tingkah laku perlu dijaga, itulah yang dipesan oleh ustaz tersebut. Dan saya tidak boleh bercakap dengan mana-mana orang bunian yang saya jumpa melainkan orang yang dibawa oleh ustaz itu untuk bertemu dengan saya.
"Setelah bertemu dengan orang tersebut, dia bertanyakan tujuan saya ke situ dan saya ceritakan tentang projek filem yang akan saya buat ini yang mana ia menyentuh tentang kehidupan bunian.
"Saya berpeluang bertemu dengan puteri bunian yang bagi saya, memang cukup cantik. Saya dapat bersalam dengan puteri tersebut tetapi dilapik dengan kain sutera.
"Berdasarkan apa yang saya lihat, tidak ada bezanya fizikal mereka dengan manusia biasa. Begitu juga dengan pakaian, tetapi majoriti wanita bunian bertudung dan mereka memakai pakaian berwarna putih.
"Tetapi sebelum saya pulang, orang bunian yang saya temui itu berpesan agar saya tidak gambarkan kehidupan sebenar mereka di alam nyata. Itu bukanlah satu perjanjian, tetapi saya tetap akan ikut pesanan tersebut.
"Jadi, apa yang saya buat di dalam filem ini bukanlah menyerupai sepenuhnya di alam bunian," kata Jantan.
Tambahnya lagi, pengalaman tersebut sebenarnya banyak mengubah hidupnya dari banyak aspek. Namun begitu, dia sekali lagi akan 'melawat' alam tersebut seminggu sebelum bermulanya penggambaran.
"Saya akan ke sana lagi untuk bertemu semula dengan orang bunian itu, sekadar untuk beritahu tentang apa yang akan saya buat nanti. Adnan ada meluahkan hasratnya untuk ikut saya, tetapi dia kemudiannya tidak dapat berbuat demikian kerana ada urusan kerja yang penting.
"Setakat ini, saya tidak terfikir pun untuk bawa pelakon ke sana. Tengoklah macam mana nanti," kata Jantan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: