Monday, January 26, 2009

Anak Erra ‘dilamar’ David Teo?


DAVID (kanan) bersama barisan pelakon drama bersiri Jangan Pandang Belakang.


BIARPUN belum lagi melahirkan cahaya mata, anak yang dikandung aktres jelita Erra Fazira khabarnya sudah dilamar penerbit filem terkenal, David Teo untuk beraksi dalam drama bersiri Mertua vs Menantu musim kedua.

Musim pertamanya yang ditayangkan di saluran Prima (saluran 105, Astro) pada setiap Rabu, pukul 10 malam bermula 22 Oktober lalu mencatat rating tertinggi apabila menerima sebanyak 880,000 jumlah penonton.

Berikutan rekod yang membanggakan itu, MIG Production Sdn. Bhd. yang diterajui David diberi kepercayaan untuk menerbitkan musim keduanya dengan tambahan 26 lagi episod.

Kemunculan bakal cahaya mata Erra di kaca televisyen menerusi Mertua vs Menantu 2 dijangka mampu meningkatkan lagi rating jumlah penonton drama bersiri berkenaan.

Masakan tidak, pastinya ramai penonton yang tidak sabar untuk menatap wajah anak sulung Erra, hasil perkahwinannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Sementelah, kandungan Erra kini sudah pun memasuki ke bulan ketujuh dan bekas ratu cantik negara itu dijangka melahirkan anak sekitar Mac ini.

“Saya sudah pun memaklumkan perkara itu kepada Erra. Jika setuju, pengambaran akan bermula sebaik Erra bersalin,’’ kata David ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Jangan Pandang Belakang di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Mertua vs Menantu diarahkan oleh Mohamed Feroz Abd. Kader Sahib dan dibintangi oleh Erra Fazira, Aqasha, Rozie Othman, Raja Farah serta ramai lagi.

Menurut David, untuk musim kedua, ia akan memaparkan babak Erra sedang mengandung dan penjagaan anaknya selepas bersalin.

“Dengan membawa anaknya bersama dalam Mertua vs Menantu 2, ia secara tidak langsung akan memudahkan Erra untuk menjaga anak sulungnya itu di lokasi pengambaran,’’ jelasnya.

Sementara itu, selain Mertua vs Menantu, David berkongsi kegembiraan apabila drama bersiri Intan Asmara yang ditayangkan di TV3 terbitan MIG mencatat jumlah 2.8 juta penonton.

Sepanjang 2008 pula, lima buah filem terbitannya berjaya mengumpul RM13 juta kutipan yang didahului Congkak (RM5.5 juta), Senario Episod 1 (RM4.6 juta), I’m Not Single (1.5 juta), Selamat Pagi Cinta (RM1 juta) dan Brainscan (RM1.2 juta).

Cerita Jangan Pandang Belakang

Dalam pada itu, diajak berbicara tentang drama bersiri Jangan Pandang Belakang (JPB) pula, David menjelaskan, ia merupakan kesinambungan daripada filem JPB yang ditayangkan di pawagam pada April 2007.

Drama 13 episod itu memulakan pengambaran pada 7 Januari lalu dan dijangka ditayangkan di TV2 pada pertengahan tahun ini.

Saya sudah lama mendapat tawaran daripada TV2 untuk menghasilkan drama bersiri JPB selepas filem tersebut mencatat jumlah box office.

Untuk drama, ia akan menampilkan Abdul Azizi Awang Ghazali selaku pengarah. Ini merupakan drama pertama arahannya.

Saya mengharapkan agar ia akan menaikkan rating TV2,’’ jelasnya.

Drama JPB membariskan pelakon seperti Ashraf Muslim, Sharifah Shahora, Aznah Hamid, Mas Muharni, Wan Hanafi Su, Almy Nadia dan Ezany Nizariff.

Kata David, menerusi drama bersiri, menceritakan dengan lengkap mengenai asal-usul saka dalam filem terbabit.

Ditanya mengapa tidak mengekalkan pelakon asal untuk drama bersiri, David berkata: “Saya mahu membentuk team baru, pelakon baru dan muka baru.’’

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: