SANDAKAN: Pelakon terkenal, Ako Mustapha atau nama sebenarnya, Muhaizad Ahmad Mustapha, 37, selamat diijabkabulkan dengan Kartina Shuaib, 29, di rumah keluarga pengantin perempuan di Taman Mawar, di sini, semalam.
Dengan sekali lafaz, Kartina sah menjadi isteri Ako Mustapha yang diijabkabulkan oleh Imam Masjid Kariah Taman BDC, di sini, Sarahan Ar Bain.
Kartina dinikahkan dengan berwalikan ayahnya, Shuaib Abdullah dan bersaksikan bapa saudaranya, Alasi Sansuat dengan mas kahwin RM100.
Hadir sama, ibu Kartina, Shantanina Abdullah dan ibu bapa Ako Mustapha, iaitu Ahmad Mustapha Hassan dan Normah Osman serta pengarah filem terkenal, Afdlin Shauki. Majlis itu turut dihadiri kira-kira 200 anggota keluarga terdekat pasangan pengantin.
Terdahulu, Ako Mustapha yang yang popular melalui drama Dalam Hati Ada Cinta dan Sephia, tiba di rumah pengantin perempuan pada jam 11.40 pagi dengan membawa tujuh dulang hantaran dan menerima balasan sembilan dulang hantaran pengantin perempuan.
Ako berpakaian baju Melayu cekak musang dan sampin putih serta bersongkok hitam, manakala Kartina memakai baju kurung bermanik sifon sutera dan bertudung putih.
Acara menyarung cincin oleh Ako Mustapha kepada isterinya dan sebaliknya turut menyerikan majlis.
Majlis persandingan berlangsung dua kali, iaitu di kediaman pengantin perempuan yang bertemakan kebudayaan etnik Kadazandusun dan Bajau, malam kelmarin dan disusuli di Hotel Sanbay, di sini malam ini dengan berkonsepkan budaya Kadazandusun dan Suluk.
Shuaib berketurunan Kadazandusun dan Suluk manakala Shantanina campuran Tagalog dan Bajau.
Ako Mustapha yang ditemui berkata, beliau dan isteri belum memilih lokasi berbulan madu tetapi ingin mendapat anak secepat mungkin.
“Kalau boleh biarlah bunting pelamin,” katanya kepada Berita Minggu sambil diperhatikan isterinya yang tersenyum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: