PERSEMBAHAN finalis Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) termasuk artis jemputan iaitu One Nation Emcees, M. Nasir, Jamal Abdillah, Jaclyn Tahir, Wada, Haqiem dan Hafiz berjaya memukau 15,000 penonton di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Rata-rata penonton yang hadir memberikan sorakan dan tepukan gemuruh kepada penyanyi yang membuat persembahan.
Persembahan 'opening' One Nation Emcees berjaya memukau penonton dengan rentak rap mereka. -foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN Band Sofaz yang berjaya layak ke peringkat akhir AJL dua tahun berturut-turut bagaikan sudah selesa walaupun membuat persembahan pertama. Dengan lagu hits Bukan Di Sini, Sofaz berjaya menghiburkan penonton dengan persembahan yang sederhana. Dengan bertemankan gitar, Aizat yang pertama kali bergelar finalis AJL menyanyikan Lagu Kita dengan sepenuh jiwa sehingga membuatkan penonton terpukau dengan persembahannya yang bersahaja itu. Aiman, penyanyi kelahiran Akademi Nasyid ini juga tidak ketinggalan bersaing di dalam kategori Etnik Kreatif menerusi lagu Dusta Berkalang. Dari segi persembahan, vokal Aiman masih perlu digilap dan menyebut bait lirik dengan betul selain kostum yang dipakainya agak tidak sesuai serta berserabut dan menyebabkan Aiman kelihatan kurang selesa ketika beraksi di pentas. Faizal Tahir mengalunkan lagu Cuba dengan persembahan yang ringkas dan bersahaja memandangkan lagu tersebut merupakan lagu pertamanya. Namun, kehebatan vokal Faizal memang tidak perlu disangkal lagi. Sama seperti Sofaz, Estranged yang kali kedua bergelar finalis AJL23 memberikan persembahan yang unik dengan menggunakan kain tirai putih. Walaupun gagal mengulangi kejayaan mereka pada tahun lalu, Estranged masih berjaya memukau penonton dengan vokal mantap dan paduan muzik bertenaga. Ayu yang mendapat jolokan Whitney Houstan oleh pengacara Ally Iskandar, Cheryl Samad dan Faizal Tahir pada malam tadi tidak kalah dengan vokal 'Hanya Di Mercu'nya namun nasib tidak menyebelahinya. Walaupun menggantikan Mawi, Zahid masih berjaya menyanyikan lagu Doa Dalam Lagu mengikut identitinya sendiri. Heliza pula tampak selesa dengan gandingan barunya itu. Faizal memang hebat! Itulah yang berjaya diluahkan selepas menonton persembahan keduanya menerusi lagu Sampai Syurga. Tidak hairanlah persembahan ini berjaya meraih Persembahan Terbaik dengan kerana menonton persembahan Faizal ibarat melihat klip video. Spider yang kali terakhir membuat persembahan menerusi lagu Rela Ku Pujuk pada 2004 kembali bersaing dengan mempertaruhkan lagu Bila Nak Saksi. Tam menyampaikan lagu tersebut dengan bersahaja tetapi aura Spider masih ada apabila persembahan mereka berjaya memikat hati penonton. Lagu Aku Stacy memang tepat dan tercipta untuk penyanyinya, Stacy! Dengan kelincahan tarian dan paduan vokal bertenaga daripada Stacy, dia telah berjaya menggamatkan suasana sehingga ada penonton yang bangun berdiri di akhir persembahannya. Ziana Zain yang enam tahun 'berehat' daripada AJL kini kembali bersaing menerusi lagu Dingin. Ternyata vokal Ziana masih utuh dan bertenaga sehingga ramai penonton yang bersorak memberikan sokongan ketika beliau melontarkan 'high pitch'. Tahniah Ziana! Contengan pada muka vokalis Meet Uncle Hussein, Lan ini memberikan satu daya penarik. Keunikan tersebut mengiringi persembahan bertenaga dan gempak melalui Lagu Untukmu sehingga penonton tidak berhenti memberikan sorakan dan tepukan dari awal mereka mula membuat persembahan. Farawahida tidak kalah dengan persembahan bertemakan Cina bertepatan dengan lagu Persoalan Cinta yang menggunakan peralatan muzik 'ehu'. Dengan vokal yang lantang, kejayaan Farawahida menerusi kategori Etnik Kreatif tidak perlu disangkal lagi. Persembahan Elyana menerusi lagu Kalis Rindu tidak kalis dengan props yang menarik. Walaupun hanya duduk di atas tangga, Elyana berjaya melakukan persembahan dengan cara tersendiri. Elyana juga tidak lupa mengenakan kasut hitam sesuai dengan tema persembahannya berwarna pink itu. Jaclyn Victor menyampaikan lagu Gemilang dengan adik Wada, Juara Idola Kecil. Jamal Abdillah diundang menyanyikan lagu Gadis Melayu dengan adik Haqiem Idola Kecil. Persembahan mereka mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. M. Nasir menyanyikan lagu Andalusia bersama adik Hafiz Idola Kecil. Paduan nyanyian antara Hafiz, Haqiem, Wada, Jaclyn Victor, Jamal Abdillah dan M. Nasir menerusi lagu Isabela berjaya menawan hati penonton sehingga ramai yang tidak henti bersorak.Ternyata persembahan 'interlude' semalam merupakan persembahan penutup yang terbaik. Tidak salah jika dikatakan, AJL23 adalah yang terbaik setakat ini! Selain bebas kontroversi, hampir semua persembahan finalis malam tadi cukup menarik.
Malah, dari aspek teknikal juga, pihak penerbitan nampaknya sudah lebih teliti dan tidak mempunyai sebarang masalah.
Bertemakan Iluminasi Muzik, AJL23 berjaya menampilkan konsep yang sesuai dengan tema "cahaya" itu di samping set pentas yang menarik.
Antara finalis yang mendapat sorakan paling gemuruh adalah Faizal Tahir yang menyampaikan dua buah lagunya iaitu Cuba dan Sampai Syurga, Stacy (Aku Stacy), Ziana Zain (Dingin) dan Meet Uncle Hussein (Lagu Untukmu).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: