Thursday, January 1, 2009

2008 Penuh Kenangan, Episod Tersendiri

DUNIA hiburan tempatan pada musim 2008 ternyata tidak dapat lari daripada pelbagai kenangan pahit manis, ceria dan teruja, duka dan lara serta mempunyai episod yang tersendiri. Sepanjang tahun ini juga memperlihatkan banyak peristiwa menarik dan tidak disangka berlaku terutama membabitkan kehidupan artis popular, insan seni yang pergi buat selama-lamanya dan kisah artis bukan saja berdepan konflik peribadi tetapi juga mencetuskan kontroversi berpanjangan.

Tahun ini juga akan dikenang sebagai musim yang menyaksikan begitu ramai pasangan artis terpaksa menempuh badai rumah tangga berikutan banyak kes perceraian membabitkan golongan ini dilaporkan dan pada masa sama yang menariknya, tahun ini juga memperlihatkan ramai artis menaiki pelamin termasuklah yang terkini sebagai pengantin artis penutup tirai 2008, Mawi dan Ekin yang bernikah minggu lalu.

Paling mengejutkan tentulah perkahwinan Rusdi Ramli dan Sharon Paul kerana dalam diam-diam saja, tiba-tiba mereka buat pengumuman untuk kahwin. Lagi terkejut apabila pengakuan kahwin membabitkan pemain bola sepak, Aidil Zafuan dengan aktres, Rita Rudaini. Mereka kahwin lari di selatan Thailand pada Februari lalu. Begitu juga Cico dan Elle yang bernikah di Thailand tetapi pasangan ini bukan kahwin lari kerana Elle atau Norfuziana adalah warga Thai. Pernikahan pelakon veteran, Rosnah Mat Aris dengan jejaka muda berusia 27 tahun, Tajul Effendie Isa juga memeranjatkan peminat dunia hiburan.

Artis lain yang mula menikmati alam rumah tangga sepanjang musim ini termasuklah Nabila Huda dengan Zaidy Zailani, Rich dan Velvet, Ashraff Siclair dan Bunga Cinta Lestari, Nik Nor Azura dengan Shaffique serta Naz dan Sheahnee. Perkahwinan lain ialah Zain Rufedge-Khazmira, Deja Moss-Azfendy, Intan Sarafina- Iskandar, Dynas-Mohd Hafizy, Khai-Rosma, Zila Bakarin-Azri, Ning Baizura-OmarShariff, Kieran-Yang Azliyang, Arash Mohamad-Nor Afidahwati serta ramai lagi termasuklah Malique too Phat dengan Melissa Maureen manakala Mayan Karin bertemu jodoh dengan pemuda Inggeris, Muhammad Ali.

Tidak boleh boleh dinafikan tahun ini menyaksikan musim artis bercerai berai. Kalau tidak silap, ada lebih 15 kes perceraian artis sama ada sudah selesai di mahkamah syariah, sedang dibicarakan dan dalam tuntutan fasakh. Ia termasuklah kes Erema-Seri Bayu, Norman Hakim-Abby Abadi, Leina Hangat, Nor Danish dengan Rizal Ashram, anis suraya, Emma Akma, Bell Ngasri, Norish Karman, Farah Asyikin, Azharina Azhar, Noraniza Idris, Nash, Beego dan Siti Fairuz.

Rentetan kontroversi yang berlaku tahun ini tidak akan dilupai peminat dunia hiburan terutama apabila pelakon atau dramatis, Wan Nor Azlin kini kembali dalam industri hiburan sesudah lima tahun ‘menyembunyikan diri’ gara-gara isu aksi seks dirinya dan suami yang dirakam, selain isu gambar bogel pelakon Zarina An-Julie.

Kelibat Faizal Tahir membuka baju dalam satu konsert hingga beliau digantung daripada kemunculan di stesen TV selama tiga bulan juga menarik perhatian dan menjadi polemik, termasuklah isu Persatuan Karyawan Malaysia yang didakwa menyeleweng dalam pengurusan dan kewangannya hingga seorang ahli jawatan kuasa persatuan itu, Datuk Aziz Sattar membuat laporan polis. Malangnya, persatuan itu bertindak sebaliknya apabila memecat Aziz.

Kontroversi yang tidak kurang menariknya ialah isu gadis misteri, Maya Darina yang dikaitkan dengan Pierre Andre, pergaduhan antara pasangan Syamsul dengan Diana Danielle serta kes tangkap khalwat Norman Hakim dan Memey serta pergolakan cinta Darling Ngasri dengan Adam Salleh.

Setiap yang hidup akan mati, begitu jugalah insan di dunia ini. Anak seni yang meninggal dunia pada tahun ini nyata satu kehilangan buat industri hiburan dan semoga roh mereka dicucuri rahmat. Mereka yang pergi buat selama-lamanya termasuklah Yusni Jaafar, Loloq, Yazdi Sobrani, Datuk Ahmad Mahmud, Man Toba, Raffi Hussein, Sudiro Sukiman, Nassier P Ramlee, Samad Lefthanded, Nasir Ali, Datuk Syed Alwi, selain anak Saloma. Turut pergi ialah suami kepada pelakon Mas Anizan, Datuk Ali Bapoo serta bekas isteri Imuda, Rozalina Rosli.

Selamat tinggal buat 2008 yang cuma tinggal tiga hari lagi. Insya-Allah jika dipanjangkan umur, kita akan menghirup udara 2009. Semoga tahun baru Hijrah yang juga Awal Muharam esok serta tahun baru Masihi bermula 1 Januari ini akan menjanjikan lebih banyak kebaikan dan keindahan untuk industri hiburan, penggiat dan peminatnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: