Sunday, June 2, 2013
Senaman pelvik atasi masalah terkucil
MASALAH lemah kawalan kencing (LUL) dalam kalangan wanita adalah perkara yang cukup merimaskan memandangkan ketirisan air kencing boleh berlaku tanpa mengira tempat dan waktu.
Percaya atau tidak, hampir 70 peratus wanita di negara ini mengalami masalah LUL.
Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Kimberly-Clark mengenai senario lemah kawalan kencing dalam kalangan wanita di negara ini mendapati, satu daripada empat wanita berusia 35 tahun ke atas mengalami LUL sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Kajian pada tahun 2010 itu juga mendapati, rawai wanita bergantung kepada penyelesaian jangka pendek yang kurang berkesan dalam merawat LUL.
“Jika sebelum ini kajian mendapati wanita berusia 40-an ke atas yang mengalami LUL, namun pada hari ini, wanita lewat 20-an juga sudah berdepan dengan masalah yang sama.
“Kebanyakan wanita bergantung kepada pelapik seluar dalam atau tuala wanita biasa untuk menghadapi masalah LUL. Malangnya, produk seperti itu tidak dapat menyerap cecair dengan cepat atau dalam jumlah yang banyak. Ia juga tidak menyah bau.
“Akibat menggunakan produk yang salah, wanita yang mengalami LUL mudah mengalami kebasahan, kebocoran dan berbau.
“Keadaan ini tidak menyenangkan dan menyebabkan mereka tidak selesa, malu dan bimbang apabila berada bersama rakan sekerja, kawan-kawan, keluarga mahupun orang tersayang,” ujar Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Soo Woon Yee.
Kemut
Lebih merungsingkan, ketirisan air kencing boleh berlaku disebabkan aktiviti yang tidak dapat dikawal seperti bersin dan batuk.
Bagi penyampai radio, pelakon dan juga pelawak, Raja Azura Ahmad Tajudin, dia terpaksa mengakui bahawa pada usia menjangkau 40-an, LUL adalah kenyataan yang perlu diterimanya.
“Pada usia sebegini, saya tidak dapat lari daripada LUL. Ia sangat tidak selesa, tidak menyenangkan dan menjejaskan kerjaya dan rutin harian saya.
“Begitupun, saya berjaya menangani masalah ini dengan memilih pelapik seluar dalam yang memberi lebih serapan.
“Kini saya tampil lebih yakin dan tenang walaupun ketika dilanda LUL,” ujarnya yang juga duta produk Poise keluaran Kimberly-Clark.
Menurut Pakar Runding Obstetrik dan Ginekologi dari Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Seri Suniza Sufian, LUL bukanlah satu penyakit sebaliknya ia simptom masalah kesihatan.
“Masalah LUL biasa berlaku dalam kalangan wanita kerana sistem urinari mereka berbeza daripada lelaki dalam pelbagai aspek.
“Wanita juga lebih mudah terdedah kepada masalah seperti kecederaan saraf semasa bersalin, berat badan yang berlebihan, jangkitan dan banyak punca lain yang menjerumus kepada masalah kawalan kencing ini.
“Selain itu, LUL juga berlaku akibat kesan pengambilan ubat-ubatan tertentu.
“Justeru, untuk menangani LUL, individu tersebut perlu mengenal pasti jenis punca LUL yang mereka alami dan memahaminya secara mendalam.
“Ini secara tidak langsung dapat membantu individu berkenaan mencari langkah terbaik untuk mengurus dan merawat LUL,” katanya.
Terdapat beberapa punca yang mendorong kepada wujudnya masalah lemah kawalan kencing antaranya tekanan, desakan, campuran, melimpah dan penggunaan ubat-ubatan.
“Bagi LUL yang disebabkan oleh tekanan, wanita terdorong untuk terkucil ketika batuk, bersin, ketawa, bersenam, menangkat bebanan atau melakukan aktiviti lasak.
Otot
“Melahirkan anak dan menjalani sesetengah pembedahan juga melemahkan otot lantai pelvik iaitu otot yang berada di bawah pundi kencing.
“Ini menyebabkan kebocoran urin semasa abdomen mengalami tekanan. Kedaan ini selalunya berlaku pada perempuan yang masih muda terutamanya yang mengalami sfinkter atau otot pencerut yang lemah.
“Otot-otot ini tidak dapat memastikan tiub pengaliran keluar pundi kencing tertutup apabila melakukan aktiviti yang memberi tekanan pada abdomen,” jelas Suniza.
Bagi LUL jenis desakan pula, ia terjadi apabila seeorang wanita itu mempunyai pundi kencing yang terlebih aktif di mana ia berkontraksi sebelum individu betul-betul bersedia untuk membuang air. Dengan istilah mudahnya, tidak sempat untuk ke bilik air.
“Ramai wanita yang mempunyai iritasi pada pundi kencing, sembelit, strok, kecederaan saraf tunjang, nyanyuk atau penyakit lain yang mempunyai kesan terhadap sistem saraf seperti Parkinson dan sklerosis berganda juga terdedah kepada risiko LUL.
“Selain itu, wanita yang suka menahan kencing atau terlalu kerap kencing juga berdepan dengan masalah LUL,” jelas Suniza.
Cara mudah untuk menangani masalah LUL ialah dengan rajin mengamalkan senaman otot lantai pelvik atau kegel.
“Senaman kemutan di otot lantai pelvik dapat memberikan anda bantuan yang paling efektif dalam mengawal kembali masalah lemah kawalan kencing kerana senaman ini menguatkan kembali otot-otot yang menyokong pundi kencing dan uretra anda.
“Ia 100 peratus berkesan menguatkan otot di bahagian vagina jika diamalkan dengan betul dan kerap,” ujar pakar fisioterapi kesihatan wanita Pusat Perubatan Prince Court, Neng Shahidah Sabullah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: