|
SEBAIK suis mesin pemotong dihidupkan, Harun Sulaiman, 60, pantas menolak sekeping kayu beruti ke arah mata gergaji di hadapannya. Kerja itu dilakukan dengan penuh berhati-hati kerana tidak mahu sejarah lama berulang.
Dalam kejadian ngeri empat tahun lalu itu, ibu jari tangan kanan Harun terbelah dua 'dimakan' mesin. Ia mengakibatkan Harun terpaksa menerima 14 jahitan.
Tahun lalu, jari telunjuk tangan yang sama hampir putus gara-gara kecuaiannya mengendalikan mesin gergaji tersebut. Kali ini, dia menerima 21 jahitan selain terpaksa menerima kenyataan saraf jari telunjuknya sudah kehilangan fungsi sekali gus tidak boleh dibengkokkan.
"Tidak mengapa kerana saya masih boleh menunjukkan simbol 1Malaysia," ujar lelaki yang mesra dipanggil Pak Harun itu sambil mengangkat jari telunjuknya seraya tersenyum lebar.
Pak Harun merupakan seorang pengusaha kraf tangan kapak di Kampung Buluh Lima, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Namun, kapak yang dihasilkan bukan seperti kapak biasa yang digunakan bagi tujuan menebang pokok atau membelah kayu.
Sebaliknya, ia sejenis kapak yang mempunyai keunikan tersendiri. Selain saiz dan bentuknya yang berbeza, fungsi kapak Pak Harun lebih tertumpu untuk kerja-kerja di dapur.
Dalam erti kata lain, inovasi kapak ciptaan Pak Harun membolehkan ia digunakan sebagai alat memotong daging, menyiang ikan dan sayur serta mengupas buah-buahan.
Bentuk mata kapak direka sedikit melengkung dan tajam manakala bahagian pemegang dan sarungnya diperbuat daripada kayu dengan pelbagai ukiran corak menarik. Ada sarung yang berbentuk ikan, burung serta berunsur flora.
Berkecimpung dalam perniagaan membuat kapak sejak sedekad yang lalu, kini jenama kapak Pak Harun di bawah syarikat Harga Kraf Enterprise semakin dikenali ramai.
Menceritakan detik awal penglibatannya, bapa kepada lapan cahaya mata itu mengakui dirinya seorang yang tidak boleh duduk diam. Sejak muda, dia sentiasa aktif bekerja untuk menjana pendapatan keluarga.
Sebelum ini, Pak Harun bekerja sebagai tukang rumah. Apabila usianya semakin meningkat, beliau merasakan kerjaya bertukang sudah tidak relevan
"Waktu itu saya berusia 50 tahun. Hendak dijadikan cerita pisau kesayangan yang saya buat sendiri, 'hilang' kerana diambil oleh anak. Justeru, dengan sedikit kemahiran yang ada, saya cuba membuatnya sekali lagi secara manual," imbaunya.
|
Siapkan pisau
Pak Harun mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan sebilah pisau. Tanpa disangka, rupa-rupanya ada permintaan daripada penduduk kampung yang mahu menempah pisau. Sejak itu beliau mula serius dalam bidang ini sekali gus tampil dengan idea baharu membuat kapak.
Rentetan daripada itu, pada tahun 2004, dia tidak teragak-agak untuk membeli sebuah mesin pencanai murah yang berharga RM250.
Kemudian, Pak Harun sekali lagi mengeluarkan modal sebanyak RM2,000 untuk membeli meja gergaji dan mesin pencanai yang lebih berkualiti kerana minatnya yang semakin bercambah.
Selain mengambil tempahan daripada penduduk kampung, datuk kepada 13 cucu itu menggunakan platform berniaga di pasar minggu di Kota Sarang Semut dan Kampung Berjaya sebanyak empat kali sebulan untuk memperkenalkan produknya.
Kurangnya sambutan pada peringkat awal menyebabkan Pak Harun mendapat ilham untuk melakukan demonstrasi cara-cara menggunakan kapak tersebut.
"Saya memilih lobak dan daging sebagai bahan untuk dipotong menggunakan kapak di pasar. Akhirnya, baru pelanggan menyedari keistimewaan kapak ini dan berminat untuk membelinya," terang Pak Harun yang juga merupakan pemangku imam di masjid kampungnya.
Sementara itu, atas nasihat anak sulungnya, Harmiza yang terlebih dahulu terlibat dalam kraf tangan jahitan dan sulaman, Pak Harun membuat keputusan untuk mendaftar sebagai pengusaha kraf dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) pada 2009.
Dapat sambutan
Menurut Harmiza, dia sentiasa memberi galakan kepada ayahnya untuk meneruskan perniagaan tersebut. Tambahan pula, dia juga telah berdaftar dengan Kraftangan sebagai pengusaha.
"Suami, Mohd. Zulkifli Ismail juga banyak membantu menguruskan perniagaan ayah. Kami gembira melihat ayah seronok dengan kerja-kerja membuat kapak.
"Ayah juga selalu berpesan, jika kita melakukan sesuatu, buatlah dengan bersungguh-sungguh sehingga ke tahap tertinggi kerana kelak hasilnya pasti ada," kata Harmiza yang bersara awal sebagai kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Cawangan Kedah.
Selepas menyertai Kraftangan pada 2009, Pak Harun masih tidak aktif disebabkan kekurangan produk siap untuk dijual. Selepas dua tahun, baru dia bersetuju menyertai promosi sempena Hari Kraf Kebangsaan (HKK).
Sejak itu, produk kapaknya terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Dijual pada harga RM130 sehingga RM300, kapak Pak Harun dibuat menggunakan beberapa jenis kayu seperti serian, pokok ciku, nyireh, kayu penawar hitam dan halban belak iaitu sejenis kayu yang kulitnya berbelang-belang bak harimau.
Kayu-kayu tersebut diperoleh dari beberapa tempat termasuk Padang Rengas, Perak dan Bukit Ibam di Chini, Pahang. Biasanya modal setiap kali membeli kayu mencecah antara RM1,000 hingga RM2,000. Setiap bulan, Pak Harun mampu menyiapkan kira-kira 55 unit kapak.
Hasil pendapatan menjual kapak, Pak Harun memberitahu, dia amat bersyukur kerana dengan wang itulah dia dapat menunaikan rukun Islam kelima iaitu mengerjakan ibadah haji di Mekah pada tahun 2011.
Tongkat biji pinang
"Saya juga baru pulang daripada menunaikan umrah pada awal Mei lalu menggunakan pendapatan hasil jualan kapak ini. Alhamdulillah, semuanya rezeki daripada Allah," ungkap Pak Harun tanda mensyukuri nikmat yang dikurniakan kepadanya.
Selain kapak, Pak Harun juga ada membuat pisau, parang dan tongkat istimewa menggunakan biji pinang. Proses membuat tongkat ini unik kerana ia mengambil masa sehingga dua tahun untuk disiapkan.
"Saya perlu menunggu biji pinang kering yang diletakkan di bawah tempat redup. Kemudian, barulah ia diproses untuk ditampal di batang kayu johar bagi dijadikan tongkat.
"Setiap batang tongkat menggunakan kira-kira 65 biji pinang. Ia dijual pada harga RM800 sebatang. Inilah yang dikatakan, barang berharga dua kupang boleh menjadi ratusan ringgit. Apa yang penting, kreativiti kita untuk menciptanya," terang Pak Harun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: