|
KIM JONG-KOOK mungkin bukan nama popular seperti bintang K-pop dari Korea Selatan. Dia bukan seorang penyanyi atau pelakon.
Bagaimanapun, jika anda merupakan peminat program paling popular di Asia, Running Man, pasti cukup mengenali lelaki bertubuh sasa dan bersuara halus ini.
Dia antara peserta yang paling digeruni dalam program tersebut kerana ketangkasan dan kekuatannya menumbangkan lawan dalam setiap permainan.
Namun, ramai yang tidak tahu, asalnya lelaki yang dikenali sebagai Sparta atau Komando dalam program tersebut merupakan seorang penyanyi dan pernah menyertai kumpulan Turbo kira-kira 10 tahun lalu.
Populariti program Running Man di serata Asia secara tidak langsung telah mempopularkan Jong-kook serta mengembalikan kerjaya nyanyiannya.
Running Man merupakan sebuah program pertandingan realiti yang melibatkan sekumpulan peserta bertarung ketangkasan fizikal dan mental.
Hadir ke Malaysia sempena Sparta Kim Jong Kook First Malaysia Showcase 2013 di Pusat Konvensyen HGH, Sentul, Kuala Lumpur Jumaat minggu lalu, sambutan yang diberikan peminat cukup luar biasa.
“Ini kali pertama saya ke Malaysia, tidak sangka akan disambut peminat sebegini ramai. Terima kasih kerana sudi hadir ke showcase pertama saya,” katanya yang muncul di atas pentas tepat pukul 8.45 malam.
Bergaya santai dengan hanya berseluar pendek, Jong-kook menghiburkan peminatnya selama dua jam dengan tujuh buah lagu hitnya bermula dengan lagu Today More Than Yesterday diikuti lagu Men Are All Like That, Don’t Be Too Goo To Me, Star, Wind, Sun And Love, Loveable dan sebuah lagu daripada kumpulan Turbo, Twist King.
Tidak mahu menghampakan peminat, Jong-kook turut mendendangkan lagu terakhir berjudul One Men.
Ketika sesi temu bual berlangsung di hadapan peminat, lelaki berusia 37 tahun tersebut menjawab dengan penuh berhati-hati dan petah berbahasa Inggeris.
Katanya, imej gagah dan seorang yang baran dalam program Running Man tidak menggambarkan dirinya yang sebenar. Hakikatnya, Jong-kook seorang pemalu dan ini jelas kelihatan apabila dia lebih banyak terdiam apabila diusik oleh pengacara.
“Mereka menggelarkan saya Sparta mungkin kerana tubuh saya yang sasa. Bagaimanapun saya tidaklah sekuat seperti penonton fikirkan.
“Sebenarnya saya lelaki yang sangat pemalu dan saya tetap perlukan tuah untuk memenangi setiap permainan dalam Running Man,” balasnya.
Jong-kook juga meluahkan rasa terkejutnya kerana tidak menyangka Running Man yang pada mulanya hanya untuk siaran di Korea Selatan begitu diminati di serata Asia.
“Mula-mula menyertai program itu memang kami semua tidak sangka sambutannya akan sebesar hari ini. Saya sangat bersyukur kerana peluang seperti ini tidak datang selalu. Program itu berjaya menjadikan semua ahli Running Man popular.
“Terima kasih semua, saya harap anda terus memberi sokongan kepada saya dan semua ahli Running Man,” katanya.
Selain menghiburkan peminat dengan nyanyian dan tariannya, Jong-kook juga meluangkan masa bermain permainan seperti dalam Running Man bersama peminat yang bertuah. Sehari selepas itu, Jong-kook meluangkan masa bertemu peminat di Paradigm Mall, Petaling Jaya, Selangor.
Sebelum itu, penonton dihiburkan terlebih dahulu oleh persembahan dua penyanyi jemputan Virus Wu dan Henley Hii.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: