Sehari sebelum berlangsungnya kemuncak program realiti Sehari Berdansa, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita dua hosnya, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya ditahan dalam operasi polis di sebuah kelab malam ‘haram’ di Bukit Bintang. Bagaimanapun, kedua selebriti yang sedang digosipkan bercinta ini sudah pun memberikan penjelasan tentang isu terbabit dalam sebuah majlis sidang media khas diadakan sejurus tamatnya malam kemuncak Sehati Berdansa, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Sabtu malam lalu.
Saya tidak mabuk: Scha
Menurut Scha, kehadirannya di kelab tersebut (Rootz Club) sebenarnya tidak dirancang kerana pada awalnya, dia mahu meraikan majlis hari jadi sahabat baiknya yang baru tiba dari Melbourne, Australia di sebuah kelab berhampiran (Teeq). Namun setelah mendapati kelab tersebut tidak beroperasi, maka mereka telah membuat pertukaran lokasi di saat-saat akhir di Rootz Club dan tidak menyangka dia terjerat pula dengan serbuan polis yang diadakan ketika itu.
“Saya sampai di situ, tak sampai setengah jam. Baru nak masuk, saya tiba-tiba ditarik sama dengan pengunjung lain untuk menjalani ujian air kencing. Masa tu, saya tak takut, dan tak ada sebab saya nak risau sebab saya tahu saya tak bersalah. Alhamdulillah, setelah buat ujian, hasilnya negatif dan saya dibebaskan,” kata Scha yang ketika itu baru pulang dari menjalani penggambaran drama Awan Dania.
Dalam pada itu, Scha turut menafikan sekeras-kerasnya tentang dakwaan yang mengatakan dia mabuk ketika serbuan itu. Malah pengacara dan pelakon yang semakin meningkat naik ini juga menafikan yang dirinya suka bersosial di kelab-kelab malam ekoran penahanan itu.
“Saya bukannya ‘kaki minum’ dan saya tidak mabuk ketika itu. Terus-terang, sejak akhir-akhir ini saya terlalu tertekan dengan masalah yang sering menimpa saya, sehinggakan saya jatuh sakit, selalu deman dan harus mengambil ubat setiap masa. Jadi masakan orang yang sakit dan sedang mengambil ubat seperti saya akan ‘minum’? Tak adil jika saya dituduh melakukan perkara yang saya tak buat. Saya ada bukti dan saya boleh tunjukkan surat doktor,” luah Scha sambil menitiskan air mata.
Akui tetap melakukan kesilapan kerana berkunjung di pusat hiburan sebegitu, Scha, secara terbukanya memohon maaf kepada khalayak ramai masyarakat dan juga seluruh peminatnya. Bagi Scha ini merupakan pengalaman paling pahit pernah menimpanya dan dia selepas ini dia akan lebih berhati-hati mengatur langkah demi menjaga nama baiknya.
Awal bukan elak beri sampel air kencing
Sementara itu, Awal turut memberikan penjelasan tentang keengganannya menjalani ujian air kencing sehingga terpaksa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, sejurus serbuan yang diadakan di kelab tersebut.
“Saya bukannya suka-suka untuk ke kelab itu kerana saya sebenarnya menerima undangan daripada Scha. Dia yang ajak saya untuk menemaninya meraikan majlis hari jadi kawannya yang datang dari Melbourne. Cuma masa itu, saya datang terlebih awal dan sementara menunggu Scha saya lepak dengan kawan-kawan saya yang kebetulan ada di situ. Lagipun saya tak kenal dengan kawan-kawan Scha.
“Ketika saya sedang bersembang-sembang, tak sangka tiba-tiba lampu dinyalakan dan saya dimaklumkan ada sedikit operasi. Ketika itu, saya disuruh beratur bersama-sama pengunjung lain untuk menjalani ujian air kencing. Tapi bila tiba giliran saya, saya tak boleh nak kencing. Walaupun dah berkali-kali cuba, saya tetap gagal mengeluarkan apa-apa.
“Suasana kemudiannya menjadi semakin kecoh apabila pihak media sedar akan kewujudan saya dan mereka mula mengasak saya. Situasi ini membuatkan saya terlalu tertekan dan akhirnya saya rela dibawa ke IPK. Sampai di sana, sayalah orang pertama yang dipanggil membuat ujian air kencing. Itu pun setelah saya minum dua ke tiga botol air mineral. Bila ujian menunjukkan negatif, saya akhirnya dibebaskan pada jam 11.30 pagi dan bukannya 1.30 petang seperti mana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak,” katanya.
Dalam sidang media itu juga, Awal turut menegaskan bahawa dia tidak terlibat dengan najis dadah. Malah ketika itu juga dia tidak berada dalam pengaruh alkohol.
“Kebetulan semasa serbuan itu ada seorang pelakon dan juga pengacara seperti saya didapati positif dadah dan bila keluar berita tentangnya, ramai yang menyangka itu adalah saya. Sehingga saya menerima banyak panggilan daripada keluarga dan juga rakan-rakan. Di sini, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya, saya tidak mengambil dadah dan saya benci dadah.
“Kalau anda tak percaya, anda boleh tanyakan sendiri kepada Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superintendan Sharifah Hawariah Syed Idrus yang ketika itu menguruskan kes saya. Malah beliau pun turut meminta maaf kepada saya, kerana terpaksa membawa saya ke IPD,” katanya.
Dalam pada itu, Awal turut menyelar tindakan sebuah portal berita online yang memaparkan berita tidak benar tentang penahanannya ketika itu. Jelas Awal, dia kecewa apabila portal tersebut mendakwa dia tidak mengaku terlibat dalam serbuan di pusat hiburan itu.
“Dalam tempoh penahanan itu, saya tidak pernah memberikan sebarang kenyataan atau informasi pun dan saya tidak tahu siapa yang memberikan maklumat tentang perkara ini. Setahu saya, pengurus saya ada menjelaskan pada mereka yang saya tidak terlibat dengan dadah, bukannya tidak terlibat atau tidak mahu mengaku tentang serbuan dan penahanan itu seperti mana yang dipaparkan dalam portal mereka,” kata Awal, terkilan dengan apa yang berlaku ke atas dirinya.
Kontroversi Scha, Awal beri kesan pada Sehati Berdansa: Zainir
Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah, yang juga berada dalam sidang media itu turut diminta memberi penjelasan tentang kontroversi yang menimpa hos mereka. Menurut Zainir, apa yang berlaku ke atas Scha dan Awal adalah di luar kawalan pihaknya. Namun beliau tidak menafikan perkara yang menimpa mereka itu akan turut mempengaruhi program Sehati Berdansa memandangkan setiap penonton mempunyai persepsi yang pelbagai.
“Saya hanya mahu tumpukan pada perjalanan program ini dan berharap program ini berjalan dengan lancar. Apa pun, saya berpuas hati dengan perjalanan malam kemuncak Sehati Berdansa dan saya gembira dengan persembahan pasangan Sein dan Nana, juga Sazzy dan Nazrin yang begitu bertenaga. Tentang apa yang berlaku kepada mereka adalah di luar jangkaan kami,” katanya.
Menyentuh tentang penglibatan kedua hos itu dalam program Sehati Berdansa yang seterusnya, Zainir bagaimanapun memberitahu, ia masih terlalu awal untuk dibicarakan.
xsangka artis yg ku minati selama ini berperangai sedemikian rupa. sssssshhhh....sudah2 la tue
ReplyDelete