IPOH - Pusat Rekreasi Lubuk Timah Hotspring di Simpang Pulai bakal dinaik taraf menjadi pusat pelancongan kelas pertama.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, naik taraf itu meliputi jalan masuk ke pusat rekreasi itu sejauh 900 meter, bekalan elektrik dan menambah bilangan chalet bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.
Menurutnya, penambahbaikan pusat rekreasi itu perlu dilakukan kerana ia mempunyai potensi untuk menarik lebih ramai pelancong terutama dari luar negara.
“Jalan masuk ke pusat perkelahan ini masih belum berturap, bila hujan jalan becak dan bila panas jalan akan berdebu.
“Selain itu, antara yang perlu dibina ialah tempat penginapan seperti calet bagi membolehkan pelancong tinggal lebih lama” katanya semasa membuat lawatan kerja ke pusat rekreasi itu, kelmarin.
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan kementerian lain untuk melaksanakan kerja menaik taraf pusat pelancongan itu dan ia dijangka siap sebelum Tahun Melawat Perak 2017.
Mohamed Nazri menambah, pihaknya akan memaklumkan kepada Tourism Perak agar Lubuk Timah Hot Spring dipromosikan sebagai pusat pelancongan yang wajib dikunjungi.
“Lokasinya sangat strategik, terletak di antara laluan ke Cameron Higlands. Sebelum nak naik boleh singgah mahupun lepas balik dari sana.
“Saya akan minta Tourism Perak bantu promosikan tempat ni memandangkan kawasan ini sudah dibangunkan dan bersedia menerima pelancong dalam dan luar negara," katanya.
Sementara itu Pengurus Projek Lubuk Timah Hot Spring, Fadzil Akhma Mohd Yusoff berkata, Pusat Rekreasi Lubuk Timah yang berkeluasan 4.046 hektar di Simpang Pulai, bakal merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.