SIAPA sangka bermula sekadar suka-suka, penyampai radio Suria FM, Amirah Sakhia Samsuddin sudah mempunyai ratusan koleksi kad daripada karakter Marvel Comics dan juga siri televisyen X-Files.
Menurut gadis yang mesra disapa Myra itu, minat mengumpul koleksi kad berkenaan dipupuk sejak berusia lapan tahun kerana dia cuba untuk menyaingi abangnya.
"Memandangkan kami hanya ada dua beradik, saya sentiasa ingin menyaingi apa sahaja yang dilakukan abang dan dari situlah bermulalah pengumpulan koleksi kad saya.
“Malah saya sanggup menyimpan duit semata-mata ingin mengumpulkan semua koleksi kad tersebut sehinggakan ada di kalangan kawan-kawan di sekolah yang cemburu apabila melihat koleksi kad kesayangan saya ini,” kata pengendali segmen Menu Ceria Suria ini.
Tambah Myra, kepuasan memiliki set koleksi kad adalah tidak ternilai apatah lagi jika memiliki kad edisi khas sesuatu keluaran tersebut.
“Saya pernah mempunyai kad karakter Marvel Comics lutsinar keluaran khas. Tapi saya telah menjualnya.
“Saya juga turut menyimpan ratusan duit syiling 50 sen yang diberikan oleh ibu kepada saya untuk dijadikan koleksi peribadi dan mungkin akan diwariskan kepada anak-anak saya apabila sudah berkahwin kelak.
“Di samping itu saya juga mempunyai koleksi dua syiling perak edisi khas Michael Jordan dan ia masih tersimpan dengan baik hingga kini,” katanya sambil menyusun kad koleksinya.
Berkongsi cerita, Myra meberitahu dia pernah mengutus surat kepada pelakon Hollywood, David Duchovny.
“Saya sememangnya sangat menyukai lakonan Duchovny. Setiap watak dibawakannya memberi kesan kepada saya tambah-tambah lagi melalui siri X-Files yang menjadi siri kegemaran saya.
“Tapi sehingga kini, Duchovny tidak pernah membalas surat yang saya kirimkan itu,” katanya sambil tergelak besar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: