|
|
DUIT saya bergayut atas penyangkut-penyangkut itu,” kata Tuan Rabiah Raja Awang, 42, sambil menunjuk ke arah palang besi tempat dia meletakkan deretan pakaian pelanggan yang telah siap dijahit.
Tuan Rabiah baru sahaja selesai membuat jahitan sembat untuk beberapa helai baju kurung ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Seri Melati, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Ibu kepada empat anak berusia antara 7 hingga 19 tahun ini perlu segera menyelesaikan kemasan akhir baju-baju yang sudah siap dijahit memandangkan tempahan baju raya sudah mula diterima sejak bulan April lagi.
Pendapatannya kini melebihi RM2,000 sebulan berbanding lima tahun lalu yang hanya bergantung kepada pendapatan tidak menentu suami, Aminuddin Ismail, 45, sebagai buruh kampung.
Tuan Rabiah dan suaminya pernah menetap di Shah Alam, Selangor ketika kedua-duanya bekerja di sebuah kilang komponen penghawa dingin kereta di sana sebelum kembali ke Kelantan pada tahun 1997 berikutan kemelesetan ekonomi.
Mereka kemudiannya membuka kedai runcit di pekan Peringat tetapi perniagaan itu lingkup dalam tempoh setahun sahaja dan sejak itulah kehidupannya ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
“Saya tahu saya kena buat sesuatu untuk mengubah keadaan ekonomi keluarga. Pada 2007 saya mengambil keputusan mengikuti kursus menjahit di Kolej Komuniti Kok Lanas (KKKL) dengan bayaran RM20 sebulan diikuti kursus fesyen selama enam bulan di bawah program miskin tegar,” katanya.
Selesai kursus tersebut Tuan Rabiah menerima sebuah mesin jahit kapasiti laju sebagai permulaan membuka bengkel jahitan di rumahnya setelah sekian lama bergantung kepada mesin jahit lama yang dibeli sendiri dengan harga RM250.
Kini dia sudah mempunyai lima mesin jahit termasuk mesin jahit tepi yang digunakannya untuk mengajar anak-anak muda menjahit secara sukarela dan menerima tempahan.
Tempahannya tidak lagi terbatas kepada baju kurung seperti dahulu tetapi meliputi pelbagai fesyen lain termasuk kebaya, jubah, baju Melayu dan langsir.
Ditanya perancangan masa depan, Tuan Rabiah berkata, jika diberi peluang, dia mahu membesarkan lagi bengkelnya agar layak menjadi sebuah Pusat Latihan Sijil Latihan Dual-Nasional (SLDN).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: