Monday, June 20, 2011

Sukan gengster diterima arus perdana


SEORANG pemandu memeriksa tayar keretanya buat kali terakhir sebelum memulakan aksi lagak ngeri di hadapan ratusan penonton.


SEBUAH kereta BMW kelihatan terapung di atas trek khas ketika ia membuat pusingan 360 darjah hingga tayarnya mengeluarkan asap dan bau hangit selain bunyi deruman enjin yang menggila.

Kereta tersebut meluncur seakan-akan hampir merempuh kumpulan penonton yang berlindung di sebalik benteng tayar lama di sekeliling arena tersebut.

Berlangsung di atas jalan raya perbandaran Afrika Selatan, peminat aksi kereta 'berpusing' yang merupakan sukan bermotor urban itu begitu teruja. Mereka bersorak dan memberikan tepukan gemuruh sepanjang menyaksikan pengalaman yang boleh membawa maut itu.

"Periksa jaraknya! Persembahannya sempurna!" kata seorang penonton yang terpesona dengan aksi pemandu berusia 25 tahun, Sunesh Pursad, selepas dia meninggalkan pusingan kaki lima yang dikenali sebagai lantai tarian.

Pursad merupakan sebahagian daripada kumpulan pemandu yang mahu membersihkan imej sukan itu daripada dianggap sebagai aktiviti jenayah golongan muda oleh masyarakat.

Terdapat stigma di Afrika Selatan yang mengaitkan aktiviti sukan kereta yang bermula di Soweto itu. Di bandar tersebut, suatu masa dahulu, penduduk kulit putih Johannesburg menahan buruh kulit hitam mereka semasa zaman aparteid.

Beberapa elemen bahaya telah meresapi sukan berkenaan iaitu skil atau helah yang sering sahaja dilarang dalam manual pemanduan. Helah tersebut dinamakan sebagai The Burnout, The Snake dan The Drift.

Aksi yang paling 'dihormati' ialah aksi lagak ngeri iaitu pemandu akan membiarkan kereta berpusing dalam bulatan, kemudian keluar daripada kereta yang sedang bergerak itu, seterusnya berjalan di sekeliling sambil membuat beberapa aksi tarian sebelum melompat masuk semula ke dalam kereta itu.

Pengebumian gengster

Pemandu aksi berkenaan memberitahu, persembahan tersebut bermula dalam sebuah majlis pengebumian gengster suatu masa dahulu. Ahli-ahli kumpulan samseng itu melakukan aksi berkenaan sebagai salah satu cara memperingati si mati.


SUKAN aksi 'berpusing' ini diharap dapat menjauhkan golongan muda daripada menyertai kumpulan gengster.


Terdapat banyak majlis pengebumian untuk lelaki muda di Soweto sepanjang tempoh akhir tahun 1980-an hingga awal tahun 1990-an. Bandar berkenaan merupakan kawasan jenayah yang menyaksikan peristiwa berdarah ketika pemerintahan kaum minoriti kulit putih di ambang kemusnahan. semua itu akhirnya meninggalkan kejiranan kaum kulit hitam.

Pemilikan kereta adalah perkara yang begitu jarang terjadi di Soweto ketika peristiwa pemisahan kaum tersebut.

Seorang pemandu aksi lagak ngeri itu, Pule Motloung, 28, memberitahu semasa ahli gengster mati, ahli yang masih tinggal akan mencuri kereta dan melakukan aksi berpusing di majlis pengebumian dan membiarkan lampunya menyala.

"Sekiranya seorang gengster pernah mencuri kereta, begitulah cara pengebumiannya diraikan. Semua rakan-rakannya akan datang dan melakukan aksi kereta berpusing itu. Ia adalah satu budaya," kata Motloung, yang juga seorang pembuat filem dari Soweto yang pernah menghasilkan dokumentari mengenai sukan itu bertajuk Love 4 The Box Shape.

Profil tinggi


BERMULA sebagai ritual penghormatan pengebumian gengster, aksi kereta berpusing kini dijadikan acara sukan popular.


Kisah-kisah berprofil tinggi terkini telah meningkatkan kesedaran awam mengenai perhubungan antara budaya kereta urban dengan aktiviti jenayah.

Tahun lalu, bintang hip hop Molemo Maarohanye atau lebih dikenali sebagai Jub-Jub yang bermaksud gula-gula marshmallow, telah dituduh melakukan perlumbaan haram dengan seorang kawannya di Soweto apabila salah sebuah kereta Mini Cooper yang mereka pandu melanggar sekumpulan murid sekolah.

Empat kanak-kanak mati manakala dua yang lain mengalami kecederaan serius termasuk kerosakan otak. Kedua-dua pesalah berkenaan dikenakan tuduhan cubaan membunuh dan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Satu lagi kemalangan semasa perlumbaan haram di Pretoria membunuh tiga orang pada April lalu.

Motloung dan beberapa pelumba lain kini berjuang untuk memisahkan sukan mereka dengan aktiviti haram dan cuba mencipta lebih banyak ruang arus perdana untuk sukan itu.

Tahun lalu mereka berjaya menyertai sukan bermotor Afrika Selatan anjuran badan kerajaan yang membenarkan sukan kereta 'berpusing' itu beraksi secara sah. Badan itu telah menganjurkan acara sukan berkenaan secara berlesen dan menaja pertandingan dengan hadiah bernilai sehingga AS$8,700 (RM26,500).

"Kami cuba mewujudkan imej baharu," kata Motloung.

"Anda boleh menjadi duta kepada komuniti hanya dengan melakukan perkara ini dan merombaknya agar ia kelihatan suatu yang positif," katanya.

Bagi Pursad pula, sukan itu merupakan aktiviti sihat bagi golongan muda berbanding melibatkan diri dengan kumpulan-kumpulan gengster tertentu.

"Perkara penting mengenainya ialah ia mencipta suasana gembira yang sihat," ujarnya.

Dia berpendapat bahawa dengan membenarkan acara sukan tersebut berlangsung, ia membantu mengatasi masalah keganasan di Soweto.

Berbanding bergaduh di jalanan, dia menambah: "Lebih baik kami lakukannya di lantai tarian."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: