![]() |
| NIK Wafdi Nik Jaafar bersama Dr. Zahazan Mohamed (kanan). |
BOLEHKAH kartun dijadikan sebagai medium dakwah? Itulah persoalan utama yang sempat diutarakan kepada Kartunis Nik atau nama sebenarnya, Nik Wafdi Nik Jaafar, rentetan daripada karya uniknya, 101 Rekreasi Hati.
Buku yang berkonsep lain daripada yang lain itu, tidak keterlaluan jika dikatakan membawa satu dimensi baru dalam usaha penyampaian dakwah secara santai dan humor.
Istimewanya, buku berkenaan bukan sahaja dipetik daripada buku 300 Hadis Bimbingan karya Dr. Zahazan Mohamed dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam tetapi diolah begitu menarik dan berbeza daripada mana-mana buku hadis sedia ada di pasaran. Ini kerana 101 hadis yang terpilih itu turut diiringi dengan 101 lakaran kartun.
Menurut Nik, keyakinannya dalam penghasilan buku itu bertitik-tolak daripada pepatah Inggeris yang bermaksud sekeping gambar lebih bermakna daripada seribu perkataan.
"Bagi saya kartun adalah satu medium yang paling luas capaiannya dan atas sebab itulah kita perhatikan, kebanyakan daripada kita tidak terlepas mengikuti kartun di akhbar-akhbar kerana ia paling mudah dicerna akal.
"Kerana itu jugalah saya percaya bahawa a hadith is worth more than thousand picture, sebabnya banyak yang boleh digambarkan, diambil pengajaran serta mesej daripada setiap hadis. Mungkin dengan pendekatan kartun, dakwah kita akan lebih mudah.
"Malah kita melihat ada segelintir pendakwah yang menggunakan pendekatan atau sentuhan humor untuk mencapai hati-hati pendengarnya secara tidak langsung dan berlapik," kata Nik yang ditemui di pejabat Telaga Biru Sdn. Bhd. di Sri Damansara, Selangor baru-baru ini.
Nik yang meminati dunia kartun sejak sekolah rendah turut mengakui hadis Nabi SAW menjadi pilihannya kerana keperluan mengetengahkan kepentingan hadis dalam kehidupan seharian, waima dengan cara yang agak berbeza dan bukan kebiasaan dalam berdakwah.
"Saya mungkin seperti segelintir orang lain yang tidak mempunyai koleksi hadis di rumah. Tetapi sebaik membeli buku 300 Hadis Bimbingan, tergerak dalam hati saya untuk melakarkan kartun satira berlandaskan hadis-hadis dalam buku ini.
"Apabila lakaran-lakaran ini saya kumpulkan, saya sendiri tidak menyangka ada dalam 101 lakaran terhasil. Namun pada masa itu masih belum ada perancangan untuk mencari penerbit.
"Alhamdulillah, teman lama saya, Azam Supardi memanjangkan hasil kerja saya ini kepada Dr. Zahazan dan pada masa yang sama beliau bersetuju mengambil hasil kerja dengan tajuk sekarang," kata Nik yang bersyukur 101 Rekreasi Hati adalah buku kartun yang pertama diterbitkan berlandaskan hadis nabi.
Menjawab cabaran dalam menyiapkan buku tersebut, Nik akui terpaksa memilih hadis-hadis daripada buku asalnya bagi memastikan mesej yang cuba disampaikan jelas serta menepati sasaran.
"Pada asalnya ada 111 lakaran tetapi oleh kerana hendak menggunakan tajuk 101 maka hanya sejumlah 101 lakaran yang dipilih dalam terbitan sulung saya ini. Pun begitu, baki lakaran itu akan diusahakan untuk terbitan akan datang. Insya-Allah...
"Setiap lakaran bagi satu hadis saya ambil masa kiri-kira sehari untuk disiapkan. Oleh itu, untuk menyiapkan 101 lakaran, ia memakan masa hampir empat bulan campur hari malas dan hari kering idea," katanya yang pernah bernaung dengan majalah humor terkemuka negara sebelum bergerak secara solo.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: