KOTOR...Aripin menunjukkan lantai pangsapuri yang dicemari air sisa kumbahan.
BERTAKUNG...air sisa kumbahan yang bertakung di PPR Hicom di Seksyen 26, Shah Alam.
SHAH ALAM: ‘Rumahku Syurgaku’ bukan lagi slogan sesuai digunakan penduduk pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom di Seksyen 26, Jalan Bukit Belimbing, di sini, berikutan kawasan letak basikal di perumahan itu ditakungi air najis dan sisa makanan daripada saluran paip sisa kumbahan yang tersumbat.
Keadaan itu diburukkan dengan sikap segelintir penduduk yang membuang sampah dari tingkat atas rumah mereka.
Menurut penduduk, Aripin Abu Bakar, 60, selain itu keadaan sekeliling kawasan pangsapuri itu juga tidak diselenggara dengan baik oleh pihak berkenaan.
Aripin mendakwa, selama enam tahun menetap di situ, jarang sekali pihak berkuasa atau pihak bertanggungjawab lain menjalankan rondaan di kawasan itu.
“Selama ini, masalah takungan air diuruskan dengan inisiatif kami sendiri. Namun, lama-kelamaan keadaan menjadi buruk dan pelbagai cara dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Menurut Aripin, pernah berlaku beberapa bahagian terutama dinding surau di bawah pangsapuri itu dicemari bau busuk dari air najis yang bertakung dan sisa makanan sehingga mereka terpaksa menukar tikar dan karpet dalam surau itu.
Tinjauan Metroplus mendapati, pengurusan kutipan sampah di kawasan itu tidak sistematik. Sampah-sarap bersepah di tepi tong sampah.
Aripin berkata, hanya kadangkala pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) datang mengutip sampah-sarap itu.
“Lebih membimbangkan ialah pembiakan aedes di takungan air Blok A,” katanya.
Tinjauan juga mendapati keadaan pangsapuri berkenaan tidak diselenggara dengan baik termasuk keadaan lif usang, ditambah pula bau busuk dan hanyir disebabkan takungan itu.
Malah, Aripin turut mendakwa terdapat ramai warga asing yang menetap di PPR berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, ketika dihubungi berkata pihaknya akan memantau kawasan berkenaan berikutan aduan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: