Friday, June 24, 2011

Rabbani teroka bisnes


RABBANI kini memiliki perniagaan berkaitan perkahwinan dibawah label Rabbani Wedding Planner (RWP).


SELAIN berdakwah menerusi lagu, Rabbani terus mendekati peminat melalui perniagaan. Selepas menubuhkan Rabbani Travel & Tours Sdn Bhd (RTT), mereka kini meneroka cabang perniagaan baharu pula sebagai perancang perkahwinan iaitu Rabbani Wedding Planner (RWP) yang beroperasi di Bangi, Selangor.

Azadan Abdul Aziz yang mewakili anggota kumpulan nasyid itu berkata, selama bergiat aktif dalam arus perdana dunia seni, mereka selalu mendapat undangan membuat persembahan nyanyian dan membaca doa pada majlis perkahwinan. Dari situlah lahir ilham membuka RWP yang termasuklah pakej lengkap bertunang, katering, berinai dan kostum pengantin yang mengikut syariat Islam.

"Adakala kami turut bermain kompang bagi memeriahkan lagi majlis perkahwinan. Lalu kami terfikir elok juga membuka perniagaan baru ini yang menyediakan pakej lengkap.

"Selama berbelas tahun kami berada dalam bidang seni, Rabbani sudah ada ramai kenalan yang dapat membantu kami melancarkan lagi perjalanan RWP. Pakej lain yang kami tawarkan termasuk mengadakan majlis pertunangan, berbulan madu, cukur jambul dan akikah. Kami mahu menjadikan RWP sebagai pusat setempat buat seisi keluarga yang mahu mengadakan pelbagai majlis.

"Kami ingin apa yang kami usahakan ini dapat diteruskan generasi Rabbani yang seterusnya. Semua anak anggota Rabbani kian membesar dan kami mahu meninggalkan sesuatu buat mereka bagi meneruskan perjuangan. Malah kalau Allahyarham Asri (Asri Ibrahim) masih ada, tentu dia juga merestui apa yang kami usahakan ini," katanya.

Kepada mereka yang memerlukan perkhidmatan walimatulurus, hubungi Rahmat atau Mazlan Omar di talian 03-8925 4781 atau 013-3852895.

"Apa yang penting segala yang kami sediakan mengikut kehendak agama. Dalam kita bergembira meraikan insan yang disayangi, apa saja yang kita lakukan mestilah mematuhi kehendak Allah dan rasul-Nya," katanya lagi.

Di samping itu, Rabbani juga terbabit dalam perniagaan emas yang dinamakan Dinar Rabbani. Sekeping syiling emas seberat 4.25 gram dijual pada harga RM710. Ia adalah dinar emas 999 yang berkualiti tinggi.

Menurut Azadan, wang emas sudah digunakan sejak zaman Rasulullah lagi kerana pada waktu itu orang Arab menyamakan harga seekor kambing dengan satu dinar emas.

Dengan dua perniagaan baru ini, jelas Azadan, Rabbani turut menawarkan kepada bakal pengantin baru yang membeli 10 keping Dinar Rabbani sebagai mas kahwin atau wang hantaran dan RWP akan menaja majlis perkahwinan mereka. "Sebenarnya, fungsi Dinnar Rabbani sebagai adalah untuk menggalakkkan kita sebagai orang Islam mengikut sunnah Rasulullah. Sebab di akhirat harta benda tak bernilai kecuali dinar emas."

Dalam kesibukan Rabbani menguruskan dua perniagaan baru itu, mereka turut menganjurkan Pakej Umrah Bersama Rabbani yang dijadualkan pada 5 hingga 18 Julai pada harga berpatutan. Hubungi 03-8927 5928.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: