Monday, June 20, 2011

Program pengantarabangsaan sekolah Brunei


KUMPULAN pelajar dan guru dari Brunei bersama keluarga angkat di Sekolah Menengah Kebangsaan Mohd. Khalid, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 19 Jun - Seramai 46 warga sekolah dari Brunei menyertai Program Pengantarabangsaan Sekolah-Sekolah Brunei ke Johor selama seminggu yang berakhir Jumaat ini.

Rombongan 15 murid sekolah rendah dan 15 pelajar sekolah menengah serta pegawai dan guru itu diketuai oleh Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Jabatan Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Brunei, Awang Cheong Huat Joo.

Sepanjang program lawatan balas Kementerian Pendidikan Brunei ke Pejabat Pendidikan Johor Bahru ini, pelbagai acara telah disusun antaranya para pelajar Brunei tinggal bersama keluarga terpilih di daerah ini.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd. Nor A. Ghani berkata, antara objektif program pengantarabangsaan itu bertujuan menimba pengalaman dan pengetahuan baru yang membolehkan sekolah-sekolah menjadi lebih cemerlang di peringkat antarabangsa.

"Selain itu ia membolehkan para pelajar dan guru berpeluang berinteraksi secara efektif dan produktif bersama rakan-rakan dari latar belakang dan tradisi berbeza.

"Para pelajar dan guru yang terlibat mempunyai keupayaan dan kemahiran untuk menyelesaikan masalah dan situasi yang mencabar dengan lebih matang dan kreatif," katanya dalam ucapan pada majlis jamuan resepsi meraikan peserta rombongan yang tiba petang semalam di Sekolah Menengah Mohd. Khalid.

Teks ucapannya yang dibacakan oleh Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Johor, Aziz Ridzuan di sini malam tadi, turut menekankan persediaan untuk berinteraksi bersama rakan-rakan dari luar negara.

Sementera itu, Huat Joo berkata, antara objektif lawatan itu untuk memberi pendedahan, perkongsian ilmu dan amalan terbaik yang terdapat di sekolah-sekolah cemerlang dan berprestasi tinggi (SBT) yang terdapat di daerah ini.

Justeru katanya, pihaknya tidak mahu ketinggalan mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Bandar UDA 2 (SKBU 2) dan Sekolah Menengah Tun Fatimah yang masing-masing diiktiraf sebagai SBT pada 2009.

"Apa yang kami mahukan dan harapkan para pelajar dan guru-guru dapat menceduk kaedah pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan di sekolah itu sehingga mencapai satu pencapaian yang cukup membanggakan," katanya.

Menurut Huat Joo lagi, program pengantarabangsaan ini merupakan satu strategi untuk mendokong usaha-usaha dalam merealisasikan visi dan misi Kementerian Pendidikan Brunei bagi melahirkan para pelajar berkemahiran pendidikan tinggi dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa seperti yang dihasratkan dalam Wawasan Brunei 2035.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: