ELOP...pasaran terbuka luas
DENGAN lebih tiga bilion pengguna telefon bimbit di seluruh dunia belum memiliki telefon pintar, Nokia yakin potensi pasaran dalam kategori itu masih terbuka luas untuk diteroka sambil mengatur beberapa strategi untuk menguasai sebahagian besar daripadanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Nokia, Stephen Elop berkata, antara strategi yang sudah diatur sejak awal tahun ini ialah pembangunan telefon pintar baru dengan platform sistem operasi Symbian Anna dan memperkenalkan 10 model baru telefon pintar Symbian dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Awal tahun ini, kami merangka strategi komprehensif untuk mengubah tawaran serta penampilan di pasaran. Inovasi adalah tunjang strategi kami dan hari ini Nokia mengorak langkah penting untuk mempamerkan sesuatu yang baru.
“Antara strategi lain termasuk telefon pintar ke telefon bimbit; daripada perkhidmatan ke reka bentuk antaramuka dan daripada pengalaman peranti yang ditambah baik ke peralatan pembangunan,” katanya dalam ucaptamanya sempena pameran dan persidangan Nokia Connection 2011 di Singapura, semalam.
Nokia Connection 2011 yang berlangsung di republik itu menyaksikan pengeluar telefon bimbit terbesar dunia itu menampilkan telefon pintar N9 dengan sistem operasi Meego bergerak di atas platform Qt dijangka menjengah pasaran tidak lama lagi.
Menurut Elop, bermula Julai ini juga, Nokia akan memulakan pasaran model terdahulu, tetapi dikemas kinikan dengan Symbian Anna termasuk Nokia N8, E7, C7 dan C6-01 manakala menjelang Ogos, pemilik sedia ada telefon model itu boleh mendapatkan kemas kini perisian Symbian Anna dengan beberapa penambahbaikan.
Pada masa sama, Nokia turut memperkenalkan tiga telefon bimbit mampu milik Series 40 iaitu model Nokia C2-02, Nokia C2-03 dan Nokia C2-06. Antara keunikan ketiga-tiga model ini ialah menyokong pengguna dua kad SIM, pengalaman baru melayari laman web, peta dan skrin peka sentuhan.
Mengenai pasaran di Malaysia, Naib Presiden Jualan Nokia Asia Tenggara dan Pasifik, Neil Gordon berkata, ianya sangat dinamik walaupun sedar di Malaysia kian dihujani dengan pelbagai jenama telefon pintar.
“Penguasaan Nokia di Malaysia masih signifikan dan ramai yang setia dengan Nokia termasuk mereka yang gemar dengan telefon bimbit dilengkapi pad kekunci Qwerty,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: