Thursday, June 16, 2011

Perkim ziarah pesakit cilik


Kakitangan Perkim bersama Mohd. Zakri Saimon dan keluarga semasa menziarahi mereka di Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (al-Hajj: 77)

Amalan kebajikan yang dilakukan oleh seseorang sebenarnya adalah untuk kebaikan dirinya dan untuk manfaat dalam kehidupannya.

Sempena bulan Rejab yang penuh barakah ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mempergiatkan lagi ziarah kebajikan dengan menziarahi anak saudara Muslim.

Dengan keprihatinan penderitaan dan bebanan yang ditanggung oleh anak kepada saudara Muslim yang terlantar dan tidak bermaya akibat sawan, Perkim menziarahi Nur Zetty Sazlily Mohd. Zakri, 4.

Ziarah itu dilakukan oleh Unit Dakwah dan Kebajikan Hal Ehwal Sosial Perkim diketuai oleh Amran Abdullah dan beberapa kakitangan di Flat Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur pada 9 Jun lalu.

Nur Zetty ialah kanak-kanak yang aktif dan riang tatkala bermain bersama rakan-rakannya. Kini anak comel itu hanya terbaring dan kaku serta tidak bermaya seolah-olah tidak mempunyai kudrat.

Menurut bapanya, Mohd. Zakri Saimon, 35, anaknya menghidap sawan selepas tiga bulan dilahirkan dan mendapat rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, Nur Zetty sering diserang penyakit tersebut secara tiba-tiba dan akan pulih seperti sedia kala selepas beberapa ketika.

"Namun demam panas dan sawan empat bulan lalu menyebabkan dia tidak berdaya lagi untuk bangun dan menjadi orang kelainan upaya (OKU)," jelas Zakri yang memeluk Islam di Perkim Kebangsaan pada tahun 2007.

Kanak-kanak malang itu kurang keupayaan setelah tidak sedarkan diri selama sehari di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL.

"Saya sedih kerana hingga kini pihak hospital belum dapat mengesahkan jenis penyakit yang membelenggu anak saya setelah membuat rawatan pemeriksaan pada saraf, mata dan mulut," kata Zakri.

Beliau yang bekerja di sebuah restoran terkemuka di Bukit Bintang terpaksa bekerja lebih masa untuk mencari wang tambahan bagi membiayai kos rawatan Nur Zetty melalui kaedah perubatan biasa dan tradisional.

Bagaimanapun, setakat ini usaha tersebut belum menampakkan hasil yang memuaskan.

Ekoran peristiwa itu, isterinya, Zahrah Jamian, 27, terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Nur Zetty dan anak bongsunya Nur Zati Adhani, enam bulan.

"Kami berharap agar dia sembuh dan pihak yang prihatin dapat membantu kami," jelas Zakri yang masih menginap dengan ibunya di rumah pangsa yang dihuni bersama 10 ahli keluarga lain termasuk anak-anak buahnya.

Ketika menziarahi Nur Zetty, Amran, Pegawai Dakwah Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Zubaedah Husen Jawas Awad menyampaikan sumbangan RM100.

Nur Zetty mendapat bantuan sewa rumah, sumbangan lampin pakai buang dan susu tajaan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Selain itu, penduduk setempat dan beberapa organisasi menziarahinya dan menghulurkan sumbangan sebagai tanda keprihatinan terhadap anaknya.

Mereka yang ingin membantu keluarga Nur Zetty boleh menghubungi Zakri di talian 013-201 7392.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: