Friday, June 17, 2011

Peranti teknologi di dalam bilik darjah




DALAM tempoh dua dekad, transformasi teknologi komunikasi beransur-ansur menenggelamkan komunikasi tradisional. Sebagai contoh, jika dahulu surat menghubungkan banyak pihak hari ini ramai yang beralih kepada e-mel atau Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) melalui telefon bimbit dan Internet.

Kecanggihan teknologi tersebut bukan sahaja diaplikasi untuk tujuan komunikasi malah turut diserapkan dalam bidang pendidikan.

Dengan teknologi ini, anak-anak tidak lagi perlu membawa beg berat yang sarat dengan pelbagai buku teks dan buku latihan ke sekolah.

iPad misalnya, sudah mengambil alih peranan buku teks dan buku nota di beberapa buah sekolah di Asia.

Baru-baru ini, para pelajar di Singapura menggunakan iPad ketika mengikuti kelas seni bahasa di Sekolah Tinggi Perempuan Nanyang.

Transformasi ini menyebabkan kehidupan persekolahan lebih ribuan pelajar di Asia menjadi lebih mudah kerana tidak perlu membawa muatan yang berat ke sekolah.

Pada masa akan datang, pelajar hanya membaca melalui komputer tablet.

Komputer tablet berbentuk kepingan kaca mudah dimasukkan ke dalam beg. Ia juga mampu menyimpan ribuan buku teks yang membuatkan para pelajar tidak lagi perlu menyandang beg sekolah yang berat dengan buku, pen dan buku catatan.

Tidak keterlaluan jika menggelarkan iPad sebagai peranti magik kerana mempunyai kemampuan melayari internet, menghantar dan membaca e-mel, melihat foto, video, mendengar lagu, membaca e-buku, bermain permainan dan pelbagai lagi.

“Saya suka iPad kerana ia mudah dibawa ke mana-mana dan kami tidak perlu membawa banyak beg dan fail ke hulu dan ke hilir,” kata Nicole Ong, 13, yang kini menulis nota yang diberikan guru pada iPad di Sekolah Tinggi Perempuan Nanyang, Singapura.

Seramai 120 pelajar dan 16 guru di sekolah tersebut diberikan iPad sebagai kumpulan sampel dengan kos lebih RM245,780. Dijangkakan pada tahun 2013, semua pelajar di sekolah tersebut memiliki komputer tablet setiap seorang.


BUKU teks merupakan medium tradisional yang masih digunakan di kebanyakan sekolah di Malaysia.


Jumlah perisian yang boleh digunakan untuk tujuan pendidikan pada komputer tablet kini sudah bersedia meledak di pasaran.

Ia merupakan satu bentuk perniagaan baharu yang dianggap semakin berkembang dan berpotensi tinggi oleh orang yang paling berpengaruh dalam media iaitu Rupert Murdoch.

Teknologi pendidikan

Murdoch dalam ucapannya pada Persidangan Usahawan Internet dan Pembuat Dasar Eropah di Paris bulan lalu memberitahu, kumpulan News Corp miliknya akan memasuki pasaran teknologi pendidikan.

Beliau menggambarkan pendidikan sebagai sesuatu yang terakhir bertahan daripada revolusi digital dan visi untuk memperibadikan pembelajaran dengan pelajaran yang disampaikan oleh guru-guru terbaik dunia kepada ribuan pelajar melalui Internet.

“Bilik darjah hari ini kelihatan sama seperti bilik darjah pada zaman Victoria,” tambahnya.

Hari ini banyak sekolah di Asia sudah ke hadapan dalam permainan ini.

“Proses pembelajaran bahasa tidak lagi bergantung kepada tunjuk ajar guru terutama berhubung kerja-kerja sekolah. Rakan sekelas boleh memberikan maklum balas,” kata Dekan Kurikulum Nanyang, Seah Hui Yong.

Rene Yeo, Ketua Jabatan Teknologi Maklumat, Sekolah Menengah Tampines, Singapura memberitahu dia mengajar subjek Sains dengan menggunakan iPad.

Para pelajarnya belajar mengenai pemfaktoran dengan hanya menggerakkan nombor-nombor di atas skrin.

“Mereka juga membaca mengenai sel-sel haiwan dan melihat struktur otak manusia dengan mengklik pada bahagian-bahagian tertentu.

“Komputer tablet ini juga boleh membuat struktur heliks ganda dua asid deoksiribonukleik (DNA) manusia yang nampak hidup,” katanya.

Dalam pada itu, iPad yang digunakan mengandungi aplikasi untuk mata pelajaran bahasa Inggeris dan matematik. Para pelajar juga boleh melakukan analisis sebab dan kesan dengan menggunakan iBrainstorm, mempersiapkan diri untuk peperiksaan lisan dan pidato dengan AudioNote serta belajar memetik gitar untuk pelajaran muzik di GarageBand.

“Kemunculan teknologi bilik darjah ini menggambarkan pembangunan masyarakat secara menyeluruh,” kata Sam Han yang merupakan pakar dalam teknologi pendidikan yang berpusat di Amerika Syarikat.

Han yang juga felo teknologi sistem pengajaran di Macaulay Honors College, City University di New York berharap beberapa negara di Asia dapat mendahului negara-negara Barat.


SEKOLAH Tinggi Perempuan Nanyang Singapura satu-satunya sekolah yang menggunakan iPad untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kelas seni bahasa.


“Sungguhpun internet dilahirkan di Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Korea Selatan misalnya melebarkan sayap mereka dalam akses internet dan jalur lebar jauh lebih pantas daripada AS,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi Jepun telah memberikan komputer tablet kepada lebih 3,000 pelajar bawah 12 tahun di 10 buah sekolah rendah dan melengkapkan bilik darjah dengan papan tulis interaktif elektronik di bawah projek perintis sekolah masa depan.

Di Korea Selatan, sekolah-sekolah di negara itu dilengkapi dengan zon jalur lebar tanpa wayar (WiFi).

Geran untuk sekolah

Kementerian Pendidikan Singapura telah menguji buku teks digital di beberapa buah sekolah sejak tahun 2007. Pada tahun 2012, kementerian dijangka membuat keputusan sama ada mahu membekalkan komputer tablet di semua sekolah di seluruh negara.

Singapura mempunyai sistem pendidikan yang sangat kompetitif terutama pengajian matematik dan sains peringkat tinggi. Kementerian Pendidikan negara tersebut turut menyediakan geran kepada sekolah-sekolah untuk membeli peralatan yang berkaitan, perisian dan perkhidmatan.

Banyak sekolah sudah dilengkapi dengan WiFi kerana ia memudahkan para pelajar mengakses internet

Namun, di sebalik kecanggihan ini, beberapa orang guru mengakui bahawa ada antara pelajar yang menyeleweng dengan bermain permainan komputer, melayari Facebook dan laman media sosial seperti Twitter.

Ahli Psikologi Pendidikan, Qiu Lin memberi amaran terhadap sekolah-sekolah yang terlalu ghairah mempromosi dan menggunakan peranti teknologi membabi buta sehingga mengabaikan tujuan sebenar pendidikan.

“Kecenderungan mengintegrasikan teknologi ke dalam pendidikan pasti akan meningkat.

“Tetapi selepas sebulan, keghairahan penggunaan iPad menurun, kurikulum dan bahan pengajaran yang baik dapat meningkatkan pemikiran dan penyelesaian masalah seperti biasa,” kata Timbalan Profesor di Nanyang Technological University.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: