IBU TUNGGAL...penerima Anugerah Ibu Tunggal, Fatimah (tengah) bersama anak-anak pada majlis Anugerah Hari Ibu Harian Metro 2011.
MEREKA wanita hebat juga ibu cemerlang. Mempunyai kisah dan cerita menarik untuk diselami yang tentunya memberi inspirasi kepada sesiapa saja.
Seramai 12 peserta dengan empat kategori iaitu Ibu Tunggal, Mithali, Kerjaya dan Amal diraikan dalam majlis gilang-gemilang Anugerah Hari Ibu Harian Metro-Softlan 2011 yang diadakan di Hotel Holiday Villa Subang, kelmarin.
Setiap kategori diwakili tiga peserta dan setiap peserta mempunyai latar belakang membanggakan dalam bidang masing-masing.
Bagi pemenang kategori Ibu Tunggal, Fatimah Adnan, 76, dia tidak pernah mengharapkan balasan daripada anak-anaknya walaupun semua anaknya seramai 11 orang) berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi dan memegang jawatan penting.
Ini kerana walau bagaimana susah payah sekali pun membesarkan anak-anak, semua itu harus dilakukan kerana tekadnya cuma satu ingin melihat anak-anak berjaya di dunia dan akhirat.
Menurut Fatimah, tiada rahsia kejayaan membesarkan anak-anak cuma perlu sabar dan ikhlas kerana Allah. Dia turut mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran ke atas ubun-ubun anaknya pada setiap malam ketika mereka masih kecil dan mendoakan kejayaan mereka dalam pelajaran.
Paling penting setiap pagi sebelum ke sekolah dia akan menepuk-nepuk belakang anak, kemudian berkata, ‘pandang wajah ibu, belajar bersungguh-sungguh dan jangan hampakan harapan ibu.’
“Kata-kata ini memang saya lafazkan setiap kali mengiring anak-anak ke sekolah sehinggalah mereka melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.
“Malah, walaupun mereka sudah mendirikan rumah tangga saya masih mendoakan kejayaan serta kebahagiaan mereka,” katanya yang kematian suami pada 1987.
Walaupun sudah lanjut usia, Fatimah masih kuat ke kebun menoreh getah sekadar ingin mengeluarkan peluh dan mengambil tempahan kuih tradisional serta aktif mengikuti aktiviti kemasyarakatan seperti kumpulan Yasin dan marhaban di kampung.
Esah Daud, 61, pemenang kategori Ibu Mithali mengakui hingga saat ini dia masih terkilan dan terkenangkan saat ketika tidak mampu membelikan sebatang aiskrim untuk anaknya.
Ketika itu hidupnya susah, duit sangat berharga dan hanya digunakan untuk membeli keperluan penting saja.
“Apabila melihat dua anak yang masih kecil hanya mampu memandang kawan-kawan menikmati ais krim saya hampir menitiskan air mata.
“Namun saya pujuk hati dan kuatkan semangat untuk mendidik anak-anak menjadi insan berguna supaya mereka tidak merasa kesusahan seperti mana saya alami dulu,” katanya.
Kejayaan mendidik 13 anak sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi adalah kerana dorongan daripada diri sendiri untuk melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.
“Walaupun hidup susah, dengan pendapatan suami yang tidak seberapa namun saya tekad mahu anak-anak mengubah nasib keluarga dan menjadi insan berguna di dunia dan akhirat.
“Saya sentiasa memberi tumpuan pada pelajaran mereka, biar tidak makan, tetapi pelajaran tetap diutamakan,” katanya yang dua anak sudah meninggal dunia.
Seri Dewi Mohd Ibrahim, 48, pemenang kategori Ibu Berkerjaya memberitahu bijak membahagikan masa dan mampu membezakan di antara perkara peribadi dan kerjaya adalah prinsip yang diamalkan sehingga dia berjaya bukan saja sebagai ibu mendidik anak-anak, malah guru besar cemerlang.
Buktinya pada 2010 dia mampu menaikkan Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 menjadi sekolah contoh di Kelantan kerana mendapat keputusan terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila 87 muridnya berjaya memperoleh 5A.
“Dalam hal ini saya bertindak mengikut situasi saya boleh menjadi guru yang garang dan tegas, rakan dan ibu kepada pelajar-pelajar di sekolah. Apa yang penting saya sentiasa menerapkan sikap toleransi dengan semua pelajar dan menggunakan pendekatan berhemah,” katanya yang menerima Anugerah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Guru Besar Cemerlang pada 28 Februari 2010 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohammad Yassin.
Sebagai ibu dan juga isteri, Seri Dewi mendapat sokongan kuat daripada suami yang banyak membantu terutama dari segi memberi didikan kepada anak-anak.
Dia juga meneruskan kesinambungan ibunya pada 2008 yang pernah menerima Anugerah Ibu Mithali Harian Metro.
Bersyukur dengan setiap kurniaan Allah walaupun cacat namun setiap daripada mereka mempunyai kelebihan masing-masing.
Itulah kata-kata azimat pemenang anugerah kategori Ibu Amal Azlina Mohamed Isa, 45, yang sanggup memberikan kelas tambahan percuma kepada pelajar pekak berbangsa Melayu, Cina dan India di rumahnya.
Bagi Azlina, setiap orang mempunyai potensi diri masing-masing. Sekiranya diberi tunjuk ajar dan bimbingan tidak mustahil mereka mampu mencipta kejayaan tersendiri.
“Saya terkesan apabila melihat golongan istimewa ini yang tentunya memerlukan dorongan daripada orang lain. Dengan pendidikan yang ada saya mahu menghulurkan bakti setakat termampu,” katanya yang turut menjalankan khidmat penterjemahan percuma kepada pihak polis bagi kes jenayah seksual membabitkan golongan pekak dan bisu serta membuat penterjemahan percuma untuk kursus bina insan.
Selain pemenang empat kategori utama, turut dipilih Anugerah Khas Softlan Love dimenangi Jamilah Bujang, 40, yang turut tercalon untuk Ibu Amal. Dia baru saja kehilangan anaknya Iqbal Fahreen, 4, akibat penyakit jantung. Sepanjang di Institut Jantung Negara (IJN), Jamilah bukan saja menjaga anaknya malah membantu rakan-rakan lain dengan cara tersendiri.
“Saya memasukkan cerita anak-anak yang kurang bernasib baik di dalam akhbar dan majalah dengan harapan kisah ini mendapat perhatian masyarakat dan kita sama-sama membantu meringankan bebanan mereka,” katanya. Acara gilang-gemilang ini dirasmikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.
Dalam ucapan perasmian Mustapa berkata Anugerah Hari Ibu Harian Metro-Softlan 2011 diadakan sebagai pengiktirafan jasa dan pengorbanan ibu dalam empat kategori iaitu Ibu Tunggal, Mithali, Kerjaya dan Amal yang setiap satunya mempunyai kriteria tertentu.
“Ibu Mithali pemenang dipilih berdasarkan pengorbanan ibu dan pencapaian keseluruhan ahli keluarga, Ibu Kerjaya mengetengahkan wanita berjaya dalam kerjaya yang berjaya menyeimbangkan tuntutan kerjaya dan keluarga.
“Kategori Ibu Tunggal memberi pengiktirafan kepada wanita yang mampu mendidik anak-anak sehingga berjaya tanpa suami di sisi manakala Ibu Amal memberi pengiktirafan kepada wanita yang banyak menabur jasa dalam melakukan kerja kebajikan demi untuk kepentingan orang lain,” katanya.
Mustapa berharap penganugerahan berkenaan menjadi pemangkin kepada semua wanita untuk menjadi yang terbaik kepada keluarga.
Turut hadir, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Sdn Bhd, Chris Pikhonis dan Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail dan Pengarang Wanita Harian Metro, Rahayu Mohamad Salleh.
Selain pemenang hadiah utama, antara lapan peserta akhir yang turut tercalon ialah Che Su Arifin, 65, yang mewakili Ibu Tunggal berjaya mendidik enam anaknya menjawat jawatan penting dalam syarikat antaranya eksekutif, akauntan, guru dan eksekutif bioteknikal.
Embun Md Chakali, 63, pula yang hanya berbekalkan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berjaya membesarkan anaknya walaupun dalam serba kepayahan bergelar ibu tunggal.
Bagi kategori Ibu Mithali, Kudsiah Omar, 70, kesabaran serta semangat adalah kunci utama sehingga dia berjaya membesarkan 14 anak, 10 anak berjaya memegang jawatan penting antaranya jurutera, pensyarah, guru, ustazah manakala seorang masih menuntut dan dua meninggal dunia. Begitu juga dengan Rohana Ibrahim, 55, walaupun tidak berpelajaran namun dia mampu memberi pendidikan sempurna kepada sembilan daripada 12 anaknya sehingga berjaya ke menara gading.
Noriah Bakar, 54, dan Norzita Yunus, 34, mewakili kategori Ibu Berkerjaya turut mempunyai pencapaian hebat dalam kerjaya masing-masing. Noriah Bakar pernah menerima anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pendidikan Malaysia 1999 manakala Norzita bergelar dekan termuda pada usia muda 34 tahun manakala bagi anugerah Ibu Amal diwakili oleh Roslida Che Wail, yang menubuhkan rumah perlindungan Nur Qaseh untuk kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.
Pemenang utama bagi setiap kategori menerima wang tunai RM5,000, pakej percutian ke Bali untuk dua orang, barangan elektrik, plak anugerah, hamper barangan Softlan dan jambangan bunga. Selain itu seramai lapan peserta akhir dan Anugerah Khas Softlan Love menerima wang tunai RM1,000 dan barangan elektrik.
Majlis turut diserikan dengan pertandingan fesyen ibu dan anak yang disertai 10 peserta dengan gaya tersendiri.
Pemenang pertama dimenangi Azian Mazwan Safuan dan anaknya Anastasia Zayra, 5, tempat kedua Nurhayati Muhamad dan anaknya Wan Nurazra Marsya, 10, manakala Ramlah Zainal dan anaknya Nur Lovelyana, 5, mendapat tempat ketiga.
Masing-masing menerima hadiah tajaan Avon.
Selain itu, pada sebelah pagi turut diadakan pertandingan memasak anak untuk ayah serta gubahan bunga suami kepada isteri.
Pertandingan memasak dimenangi oleh Norashfareena Ibrahim,14, Nurul Hikmah Abd Wahab,14, dan Khairiyah Amira Kamarusin, 17, yang masing-masing menerima hamper dan dapur gas.
Gubahan bunga suami untuk isteri pula dimenangi oleh Morshidi Madi, Muhammad Hafiz Hussin dan Mohd Erwan Othman. Turut menerima hadiah dua pemenang khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu Rohayu Hamzah dan Norhisham Idris yang menerima pakej percutian ke Australia.
Majlis diserikan dengan nyanyian Nora dan Haiza sebagai pengacara majlis.
Bila lagi pertandingan ini dilaksanakan?
ReplyDelete