Thursday, June 23, 2011

Penghuni Arizona dikejar api


ANGGOTA bomba menggunakan peralatan canggih termasuk bom air daripada helikopter untuk memadamkan kebakaran.


HAMPIR 2,000 orang penduduk di bandar Eager yang terletak di timur Arizona, Amerika Syarikat (AS) diperintah supaya mengosongkan kawasan tersebut minggu lalu selepas kebakaran besar hutan mula merebak ke kawasan bandar dan kejiranan Springville.

Dijangka lebih banyak lagi perintah pengosongan akan dibuat. Pegawai bomba berhempas-pulas untuk menyediakan benteng pertahanan bagi dua buah bandar tersebut.

Pihak berkuasa sherif mengeluarkan arahan tersebut pada pukul 4 petang, manakala pegawai polis kelihatan berada di jalan sekitar bandar bagi melancarkan operasi pemindahan sebaik sahaja orang ramai mula keluar dari Eager.

Kebakaran mula dikesan pada rabung gunung di tenggara Springerville selepas beberapa kepulan asap jingga menjulang naik dari celah bukit-bukau.

Bandar Eager mempunyai kepadatan penduduk kira-kira 4,000 orang, manakala Springerville pula mempunyai 2,000 orang penduduk.

Itu menjadikan sejumlah 7,000 orang telah diperintah supaya keluar dari kawasan berbahaya itu.

Api yang marak telah membakar kawasan hutan pain seluas 1,258 kilometer persegi sejak ia mula dikesan terbakar pada 29 Mei lalu. Kebakaran berkenaan merupakan kedua terbesar dalam sejarah Arizona.


LALANG di kawasan lebuh raya dibakar lebih awal bagi mengelakkan api merebak ke kawasan bandar.


Beberapa bandar resort berdekatan Hutan Simpan Apache-Sitgreaves telah diarah supaya mengosongkan tempat tersebut lebih awal.

Terbaru, kelihatan beberapa buah jentolak menolak semak dan pokok-pokok bagi membentuk penghadang bagi menghalang api yang sedang marak menghampiri bandar-bandar.

Krew-krew lain pula dilihat sedang mengalih belukar dari sekeliling rumah dan ahli bomba turut dihantar bagi melindungi bangunan daripada dijilat api.

Kebanyakan penduduk di sana telah bersedia untuk menerima arahan supaya keluar pada bila-bila masa sahaja.

"Saya hanya akan keluar jika ada arahan supaya berbuat sedemikian. Kami sudah pun berkemas sejak semalam," kata salah seorang penduduk Eager, Gerald McCardle.

Pusat pemindahan

Menurut jurucakap Palang Merah AS, Mark Weldon, mereka mempunyai sebuah pusat pemindahan yang mampu menampung beberapa ribu orang. Pusat itu terletak di sebuah sekolah tinggi, 24 kilometer dari barat Lakeside, Arizona.

Pusat tersebut dibuka selepas operasi evakuasi minggu lalu apabila 2,700 orang dari komuniti yang tinggal di kawasan bukit berhampiran ke Blue Ridge.

Sejumlah kain selimut dan katil lipat dikejarkan ke sekolah tersebut pada Selasa lalu selepas ancaman bahaya semakin meningkat.

Ketika itu, nyalaan api yang marak sudah berada 16 kilometer dari kawasan bandar.

Keadaan menjadi semakin parah apabila tiupan angin telah membawa api mendekati kawasan khemah pusat pemindahan dan bandar.

Pada petang Selasa lalu, angin kencang sekali lagi bertiup, tetapi nasib menyebelahi petugas keselamatan apabila ia kurang mengundang bahaya seperti apa yang dijangkakan.

Beribu-ribu ahli bomba dari bahagian barat Amerika seperti New York diarah ke tempat bencana dengan harapan dapat mengawal kebakaran yang sedang berada di pinggir hutan daripada menyambar bandar berdekatan.

Bakar lalang


SEORANG warga emas tidak dapat menahan kesedihan selepas rumahnya dijilat api.


Para petugas hanya boleh mengalihkan laluan api supaya tidak merebak ke penempatan penduduk dengan menggunakan sumber semula jadi.

Mereka membakar semua bahan semula jadi seperti lalang yang mudah terbakar secara terkawal daripada disambar api sedia ada yang boleh memburuk lagi keadaan.

Selain itu anggota bomba juga menimba air bagi menghalang api mara ke rumah-rumah dan kabin.

Di lebuh raya berdekatan Springerville sepanjang 3.2 kilometer, berpuluh-puluh ahli bomba sedang berusaha membakar bahan-bahan yang mudah terbakar seperti tumbuh-tumbuhan di sepanjang jalan sebagai usaha mengelakkan api dari merebak ke seberang seterusnya menghala ke bandar.

Hujan abu dengan ruang udara yang dipenuhi asap tebal memenuhi Springerville, manakala cahaya matahari sukar dilihat serta kelihatan seperti warna merah darah.

Sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan tetapi setakat ini, lima buah bangunan dilaporkan hangus terbakar.

Nasib bandar-bandar tersebut juga sukar diramal kerana tiada tanda-tanda angin akan berhenti bertiup dan hujan akan turun dalam masa beberapa hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: