Monday, June 20, 2011

MPPP tunda kereta halang jalan


MPPP kini bertindak tegas dengan mengunci dan menunda kereta yang diparkir di bahu jalan sesuka hati.


KEDEGILAN serta sikap ambil mudah segelintir pemandu yang gemar meletak kenderaan mereka di kaki lima kedai dan laluan pejalan kaki di George Town, Pulau Pinang sering menimbulkan kemarahan orang ramai.

Sama ada kereta, lori, motosikal atau beca, sikap tidak berhati perut pemiliknya itu menyebabkan pemandu-pemandu lainmerasa marah.

Bagaimanapun sejak 21 Mei lalu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah memutuskan satu tindakan penguatkuasaan tegas diambil.

Melalui Unit Trafik Bahagian MPPP, anggota penguat kuasa yang meronda itu akan bertindak mengunci dan menunda kenderaan diletakkan di kawasan yang dilarang serta menghalang lalu lintas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Lalu Lintas MPPP, Ramlah Bee Asiahoo berkata, tindakan tegas itu antara usaha MPPP mendisplinkan pemandu yang sering mengambil ringan kesalahan meletak kereta sesuka hati.

Tiup wisel, kunci dan tunda

Katanya, buat permulaan penguatkuasaan itu akan difokuskan di lima zon di bandar itu iaitu Komtar, Pulau Tikus, Jalan Burmah, Jalan Larut dan Jalan Chow Thye.

“Sekiranya ada kenderaan yang diletak menghalang lalu lintas, anggota Unit Trafik MPPP akan meniupkan wisel amaran selama satu minit, jika tiada pemilik yang datang barulah roda kenderaan itu dikunci.

“Kompaun RM50 dikenakan bagi kesalahan ini dan sekiranya pemilik tidak muncul selepas empat jam, kenderaan akan ditunda ke pejabat penguatkuasan MPPP di Kampung Jawa,” ujarnya.

Bayaran menunda sebanyak RM150 dikenakan kepada pemiliknya, manakala RM300 pula bagi kenderaan berat termasuk bas dengan tambahan caj RM5 sehari jika kenderaan lewat dituntut.

Sebagai permulaan, Unit Trafik MPPP akan menjalankan kempen mendidik selama dua minggu bermula 7 Mei ini bagi menyebarkan maklumat kepada para pemandu sebelum tindakan penguatkuasaan dilakukan.

“Sebenarnya, semua lokasi ini telah pun dipasang papan tanda zon mengunci sejak Ogos tahun lalu tetapi, masih ramai yang tidak mengendahkannya,” ujar Ramlah.

Kebanyakan pesalah yang terlibat adalah penduduk tempatan di negeri ini, jadi seharusnya tiada alasan untuk mereka mengulangi kesalahan sama.

Sementara itu, Yang Dipertua MPPP, Patahiyah Ismail semasa melancarkan majlis memperkenalkan penguatkuasaan itu baru-baru ini mengakui tindakan mengeluarkan kompaun atau saman tidak berkesan.

Katanya, rata-rata pemandu degil tidak mengendahkan saman yang dikeluarkan oleh pihak MPPP.

“Tindakan ini bukan untuk mengaut keuntungan. Jika kita tidak bertegas sekarang, pengguna yang menghadapi kesesakan cakap kita (MPPP) tidak menjalankan tugas.

“Pesalah pula mampu bayar kompaun dan mengambil mudah melanggar peraturan lalu lintas.

“Jadi MPPP tiada pilihan selain menjalankan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap pesalah untuk melancarkan lalu lintas terutamanya di kawasan tumpuan,”katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu tindakan lebih tegas diambil ke atas pesalah trafik yang dilabel menyumbang kepada sisi negatif bandar George Town.

Presiden CAP, S.M Mohamed Idris berkata, tidak perlu tiupan wisel selama seminit sebagai amaran sebelum mengunci tayar kerana tindakan itu boleh dijadikan alasan kepada pesalah nanti.

“CAP tidak mahu wisel amaran itu hanya bertujuan menakut-nakutkan pemandu tapi tiada tindakan diambil,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: