MILIK KAMI... Formosa Crew membuktikan mereka antara pasukan B-Boy terunggul.
DUA kumpulan dianggotai lima hingga lapan penari membuat persembahan tarian secara berdepan dengan mempamerkan pelbagai teknik dan aksi tarian.
Berdiri, meniarap dan terlentang hingga badan terbalik antara aksi dilakukan bagi mencatat mata tambahan, sekali gus dapat mengalahkan lawan.
Adakalanya, tarian dilakukan seakan-akan mahu bergaduh, namun itu hanya teknik provokasi untuk mencabar pasukan lawan.
B-Boy atau lebih dikenali sebagai penari jalanan kini bukan hanya dipersembahkan di jalanan semata-mata, tetapi diangkat tarafnya dan dikomersialkan hingga menjadi ikutan golongan muda seluruh dunia.
Pertandingan Akhir Asia Tenggara R16 yang diadakan di depan pusat beli-belah Pavilion baru-baru ini menyaksikan tujuh negara mengambil bahagian.
Ia adalah kemuncak kepada pusingan kelayakan yang diadakan di tujuh negara Asia iaitu Malaysia, Laos, Singapura, Indonesia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Pertandingan itu anjuran Korea Tourism Organization (KTO) dengan kerjasama LG Electronics Malaysia sempena tahun melawat Tahun Melawat Korea Selatan 2010-2012.
Pengarah Urusan KTO, Yun Jae Jin berkata, perkataan 'R' pada R16 diambil daripada perkataan 'Respect' iaitu sikap menghormati sesama pasukan.
"Ia adalah tema bagi pertandingan ini, di mana setiap pasukan berkongsi sasaran sama iaitu mewujudkan perpaduan di seluruh dunia tanpa mengira perbezaan negara, agama, bangsa dan bahasa.
"Malah, ia menjadi platform bagi Korea Selatan untuk bertukar budaya dengan negara lain di seluruh dunia," katanya.
Sebanyak lapan pasukan berentap bagi melayakkan diri ke pertandingan utama iaitu R16 World B-Boy Masters Championship yang akan diadakan di Seoul, Korea Selatan awal bulan depan.
Pada pertandingan akhir itu, Malaysia selaku tuan rumah menghantar dua pasukan iaitu Famous Crew dan Giller Battle Crew untuk merebut peluang ke negara yang terkenal dengan muzik K-Pop itu.
Seawal jam 4 petang lagi kawasan di depan Pavilion yang menempatkan pentas utama sesak dengan kehadiran peminat tarian itu, walaupun pertandingan dijadualkan bermula 6.30 petang.
Semua pasukan yang bertanding menunjukkan teknik dan kemahiran tarian mereka secara solo pada peringkat awal dengan formasi menarik.
Biarpun hanya sekadar persembahan pembukaan, jeritan peminat kedengaran di segenap kawasan berkenaan dengan melaungkan sorakan nama pasukan kegemaran mereka secara tidak langsung menghangatkan suasana.
Pusingan pertama menuntut dua pasukan berentap sesama mereka dalam tempoh tujuh minit dan mereka perlu menunjukkan teknik yang mencabar bagi menarik perhatian juri.
Sekali lihat, ada aksi dipersembahkan seakan-akan mahu mencetuskan pergaduhan, namun ia hanya berlaku dalam tempoh tujuh minit diberi.
Bagi menarik perhatian juri, ada pasukan menari dengan pelbagai aksi yang boleh dikategorikan sebagai berbahaya sehingga menimbulkan rasa kagum penonton.
Penonton juga sporting apabila turut memberi sorakan kepada pasukan yang mempamerkan aksi terbaik dan tidak hanya tertumpu pasukan negara.
Pusingan kedua pula menyaksikan hanya empat pasukan layak dan 'bertarung' selama 10 minit sebelum hanya dua pasukan ke peringkat pertarungan terakhir.
Suasana bertambah panas dan gamat dengan jeritan penonton apabila memasuki peringkat akhir, malah kawasan berkenaan bertambah padat dengan kebanjiran penonton.
Lebih menarik, bagi meredakan suasana, tiga jaguh B-Boy iaitu Dyzee dari Kanada, Physicx (Korea Selatan) dan Lil G (Venezuela) yang juga juri pertandingan mempersembahkan tarian hebat mereka.
Tiada kata-kata mampu diungkap apabila melihat persembahan tiga anak muda itu kerana penonton seakan-akan tergamam dan kagum.
Kemuncaknya, pentas akhir menemukan pasukan Formosa Crew dari Taiwan dan Big Toe Crew dari Vietnam yang berentap selama 15 minit.
Kemenangan berpihak kepada Formosa Crew selepas diberi tentangan sengit oleh pasukan lawan dan melayakkan pasukan itu mewakili Asia Tenggara ke Korea Selatan pada 2 hingga 3 Julai depan.
Bagi Azhar Mustapha, 27, dari Giller Battle Crew (GBC), kekalahan kepada Big Toe Crew sukar diterima kerana perbezaan jumlah mata yang tipis.
Katanya, bukan mahu memenangkan pasukannya tetapi jika dilihat daripada persembahan mereka, GBC sebenarnya lebih mantap dan kuat.
"Big Toe Crew hanya mantap apabila persembahan berkumpulan tetapi pincang jika penarinya melakukan persembahan solo.
"Walaupun kecewa, kami menerima kekalahan ini dan menganggap ia bukan rezeki untuk pergi lebih jauh dalam pertandingan ini," katanya.
Menurutnya, pasukan yang ditubuhkan sejak 2003 itu dianggotai 20 penari dari pelbagai latar belakang dan sering mengadakan pelbagai persembahan B-Boy.
"Tidak dapat dinafikan ada yang menganggap tarian ini tidak membawa penarinya ke peringkat lebih jauh, malah ada juga yang mengaitkannya dengan budaya gangstarisme.
"Namun, kami tetap memperjuangkan tarian ini kerana bagi kami ia bukan hanya sekadar tarian, sebaliknya berbentuk senaman dan mengajar kami supaya lebih kreatif untuk melakukan aksi menarik," katanya.
Ketua penyandang juara, Liu Chih Ching, 32, berkata pada mulanya dia tidak menaruh harapan untuk memenangi pertandingan itu namun apabila diumumkan layak ke akhir, dia mula meletakkan harapan.
Katanya, saingan pasukan lawan sungguh sengit sehingga memaksa mereka berentap ke pusingan penentuan selepas terikat jumlah mata diperoleh.
"Kami mempersembahkan tarian terbaik bagi memancing hati juri sehingga ada aksi dilakukan menguji kemampuan kami sebenarnya dan akhirnya ia berbaloi.
"Pada pertandingan di Korea Selatan bulan depan, kami akan merangka teknik dan aksi baru supaya dapat memberi saingan kepada pasukan lain," katanya.
Sementara itu, satu lagi pasukan Malaysia yang kecundang awal iaitu Famous Crew menyifatkan rasa gementar dan aksi agresif memberi kesan pada persembahan mereka.
Ketuanya, Tan Chong Min, 29, berkata ini kali pertama mereka beraksi di peringkat antarabangsa dan kebanyakan penarinya tidak biasa berdepan tekanan sedemikian.
"Pasukan ini baru ditubuhkan tiga tahun lalu dan peluang beraksi pada pertandingan seumpama ini membuatkan kami tidak mampu 'membaca' pergerakan lawan.
"Namun, kami tidak kecewa, malah bersyukur kerana mampu layak ke peringkat ini dan ia menjadi pengalaman berharga bagi kami," katanya.
>INFO
> Pertandingan Akhir Asia Tenggara R16 disertai lapan pasukan
> Dianjurkan oleh Korea Tourism Organization (KTO) dengan kerjasama LG Electronics Malaysia sempena Tahun Melawat Korea Selatan 2010-2012
> Juara akan berentap di R16 World B-Boy Masters Championship pada 2 dan 3 Julai depan
> Malaysia diwakili oleh Famous Crew dan Giller Battle Crew
> Pasukan Formosa Crew dari Taiwan muncul juara
>PROFIL
NAMA: Azhar Mustapha
UMUR: 27 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
PASUKAN: Giller Battle Crew
>PROFIL
NAMA: Tan Ching Min
UMUR: 29 tahun
ASAL: Pendang, Kedah
PASUKAN: Famous Crew
>PROFIL
NAMA: Liu Chih Ching
UMUR: 32 tahun
ASAL: Taiwan
PASUKAN: Formosa Crew
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: