Thursday, June 23, 2011

Imam Muda dalam penghayatan integriti


Para imam mesti mempunyai integriti dan akhlak yang baik sesuai dengan tugasnya yang diikuti oleh para jemaah. - Gambar hiasan


SESUNGGUHNYA matlamat utama Allah SWT menciptakan manusia di atas muka bumi ini adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya, dalam pelbagai bentuk ibadah dan amal soleh termasuk tanggungjawab dan amanah untuk memakmurkan bumi ini mengikut acuan dan panduan yang telah digariskan oleh syarak.

Sesungguhnya Allah SWT tidak memperoleh apa-apa faedah atau keuntungan daripada apa yang dilakukan oleh manusia melainkan semua kebaikan daripada amalan tersebut akan kembali untuk diri mereka sendiri.

Perkara ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah, Dialah sahaja Yang Memberi rezeki, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya. (adz-Zaariyat: 56-58)

Selain daripada pendedahan kepada teknik berucap, saya juga mengisi ruang minda para Imam Muda (IM) supaya sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki yang bersih lagi halal demi kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan Negara apabila mereka keluar ke dada masyarakat tidak berapa hari lagi.

Islam melarang keras umatnya yang tidak bertanggungjawab, malas bekerja, menipu atau menyeleweng di dalam pekerjaannya.

Namun persoalan besar timbul, adakah kerja yang kita lakukan selama ini bertepatan dengan syariat Islam iaitu sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna, menyelesaikan tugasan dengan sebaik mungkin dan dalam masa yang sama menjauhkan diri daripada sebarang bentuk penipuan, pemalsuan, manipulasi, penyelewengan dan seumpamanya, atau dengan kata lain, adakah kita berintegriti?

Dalam bahasa yang mudah, integriti membawa maksud kejujuran, ketelusan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Prinsip ini akan membawa kepada setiap pekerja untuk melaksanakan sesuatu tugasan dengan betul dan sempurna pada setiap masa walau di mana mereka berada.

Penghayatan integriti juga adalah sejajar dengan tuntutan Islam yang mengajar umatnya supaya menghayati akhlak yang mulia sebagaimana diperjuangkan oleh junjungan besar Nabi Muhamad SAW dalam sebuah hadis yang maksudnya: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak. (riwayat al-Bukhari)

Sebagai peserta IM musim ke-2, mereka diterapkan agar benar-benar menghayati prinsip integriti, akan sentiasa beramanah, jujur, telus dengan penuh rasa tanggungjawab di samping menyerlahkan sifat-sifat mahmudah yang lain seperti rajin, tekun, berdisiplin dan mengutamakan kualiti dan kesempurnaan dalam setiap tugasan.

Sebaliknya, mereka juga diingatkan kesan dan akibat buruk yang bakal menimpa mereka jika tidak menjadi seorang manusia yang tidak berintegriti bahkan tidak beramanah dan memungkiri janji, tidak jujur, tidak amanah dan tidak telus dalam apa jua tindakan.

Lebih parah lagi jika kita terlibat pula dalam sebarang bentuk penyelewengan, penipuan, manipulasi, rasuah, salahguna kuasa dan seumpamanya.

Untuk melahirkan IM yang berintegriti sudah tentu asasnya adalah mempunyai sikap dan fikiran yang positif.

Dalam menempuh kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran, dugaan dan rintangan, kita sebagai umat Islam dituntut untuk sentiasa berfikiran positif dengan banyak bersabar, bersemangat waja dan tidak mudah berputus asa serta sentiasa menjauhi dari berprasangka buruk dan negatif sesama kita.

Ini kerana segala dugaan tersebut merupakan fitrah atau lumrah di dalam kehidupan manusia. Ia juga merupakan ujian daripada Allah SWT untuk mengenal pasti siapakah di kalangan hamba-Nya yang terbaik dari segi amal ibadah mereka di dunia.

Allah SWT telah menjelaskan kepada hamba-Nya kenapa manusia itu dituntut agar berfikiran positif dan menjauhi dari bersangka buruk sesama manusia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (al-Hujurat: 12).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: