SABAN hari media melaporkan perihal kejadian buli atau samseng sekolah menunjukkan belang mereka sama ada secara terang-terangan mahupun secara tersembunyi membuli pelajar yang lemah atau lebih kecil kudratnya.
Malah, guru pun tidak terlepas daripada menjadi mangsa buli segelintir pelajar yang 'nakal' ini.
Kejadian seperti merosakkan harta benda sekolah, membakar bilik guru, mengeluarkan kata-kata kesat terhadap guru, merosakkan kenderaan guru, menumbuk guru dan lain-lain lagi sudah biasa kita dengar.
Tentu kita masih ingat kisah bagaimana seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Perlis, menumbuk muka seorang guru wanita sehingga mangsa patah hidungnya.
Laporan akhbar memetik, guru wanita tersebut ingin membawa pelajar berkenaan berjumpa guru disiplin kerana kesalahan bergaduh di koridor sekolah.
Banyak lagi kejadian buli atau samseng pelajar yang berlaku sama ada dapat dihidu oleh pihak media atau diselesaikan dalam majlis permuafakatan di peringkat sekolah.
Pihak sekolah akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran dalam isu menangani buli di sekolah.
Gejala ini jelas membuktikan bahawa disiplin pelajar sudah berada di tahap yang menggerunkan.
Guru bukan lagi insan yang dihormati dan ditakuti apatah lagi insan untuk disayangi dan disegani atau dijadikan idola.
Imbas kembali sewaktu zaman bersekolah dahulu, guru dibenarkan merotan.
Apabila dirotan atas kesalahan tertentu seperti tidak menyiapkan kerja sekolah, ponteng kelas atau tidak lulus mata pelajaran tertentu, kita tidak berani bercerita kepada ibu bapa.
Hal ini kerana bimbang simpati yang ditagih tetapi 'roti panjang' yang diterima.
Dalam hati pula, tidak ada sedetik pun berasa dendam terhadap guru tersebut.
Malahan, rasa terima kasih dan syukur kerana ada insan bernama guru yang sanggup mengawal kenakalan kita.
Kalau bukan kerana guru sudah pasti kita akan lebih nakal daripada pelajar nakal yang ada pada hari ini.
Amat berbeza pada zaman alam siber ini, guru-guru tidak lagi sesuka hati boleh merotan pelajar. Kalau guru mahu merotan pelajar, pastikan ada punca kuasanya dahulu.
Ikut prosedur yang telah ditentu dan ditetapkan oleh pihak sekolah. Kalau sesuka hati merotan pelajar, tanggung sendiri akibatnya.
Ibu bapa pada hari ini terlalu memanjakan pelajar dan tidak mahu menerima hakikat anak mereka nakal.
Sikap ibu bapa seperti inilah yang mendorong pelajar kita menjadi samseng. Tidak dinafikan, setiap ibu bapa sememangnya sayangkan anak tetapi sayang tidak bertempat akan memakan diri sendiri.
Ibu bapa sering menyalahkan pihak sekolah yang tidak dapat menjaga disiplin pelajar tanpa menyedari disiplin pelajar bermula di rumah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: