Thursday, June 2, 2011

Harapan kepada bakal Imam Muda

KETIKA kita sedang sibuk mengejar kesempurnaan hidup, kita tidak sepatutnya lupa akan nasib generasi muda pada hari ini yang sentiasa mengharapkan bimbingan daripada para cendekiawan Islam terutamanya ustaz-ustaz muda yang sebaya dengan mereka atau dalam erti kata lain dikenali sebagai Imam Muda.

Perlu diingati bahawa golongan muda inilah sebenarnya yang akan membesar, membentuk dan memimpin negara pada suatu masa nanti. Oleh sebab itulah, kita perlu berusaha untuk mendekati golongan ini di samping memberi didikan sewajarnya seperti mana yang diajar oleh Nabi SAW kepada para sahabat r.a. di peringkat awal dakwah Baginda.

Kesan daripada didikan nubuwah tersebut, Islam terus berkembang walaupun baginda telah tiada di muka bumi ini. Maka benarlah janji Nabi SAW terhadap ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kepada golongan yang sentiasa menjaga amal ibadah tanpa mengira usia muda ataupun tua.

Sabda Nabi SAW dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bermaksud: Tujuh jenis golongan yang akan berada di bawah rahmat Allah di akhirat kelak, yang mana pada ketika itu tiada pelindung yang lebih baik daripada perlindungan Allah SWT. Pemimpin yang adil, anak muda yang sentiasa beribadah pada Allah dalam semua urusan kehidupannya, lelaki yang hatinya sungguh terikat dengan masjid, dua orang sahabat yang saling menyayangi antara satu dengan lain kerana Allah dan berpisah kerana Allah, lelaki yang diajak oleh seorang perempuan kaya dan cantik rupanya untuk melakukan zina, lalu dia berkata dengan tegasnya: sesungguhnya aku takutkan Allah, lelaki yang bersedekah dengan tangan kanan manakala tangan kiri tidak mengetahuinya dan seorang lelaki yang duduk berseorangan apabila mengingati Allah maka air matanya akan mengalir.

Cuba kita perhatikan, masyarakat Islam pada hari ini begitu tercabar apabila era globalisasi telah disalah gunakan oleh sebahagian pihak dengan menonjolkan pelbagai unsur-unsur negatif yang sememangnya bercanggah dengan budaya ketimuran, apatah lagi dengan ajaran Islam. Senario ini amat dikhuatiri akan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku umat Islam di masa akan datang khususnya generasi muda.

Hal yang sama juga pernah disuarakan oleh kebanyakan para ulama dalam ucapan dan karya-karya mereka antaranya; Prof. Dr. Yusof al-Qardawi, Muhammad al-Ghazali, Prof. Dr. Abdul Karim Zaydan, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli, Prof. Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buty, Prof. Dr. Muhammad al-Baltagi dan ramai lagi. Justeru, langkah-langkah pencegahan perlu diusahakan bagi menyelamatkan anak bangsa daripada terus hanyut dengan segala jenis hiburan yang melampau sehingga menyebabkan mereka alpa terhadap tanggungjawab sebenar mereka di muka bumi ini.

Golongan agamawan kini ternyata amat diperlukan dalam sebuah negara maju seperti mana yang diimpikan oleh para pemimpin di Malaysia. Cuba kita perhatikan sejenak firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat sembilan dan surah Muhammad ayat tujuh.

Kedua-dua ayat di atas dengan jelas membuktikan bahawa Allah SWT akan memelihara golongan ilmuwan Islam yang telah berusaha menjaga dan menyebarkan agama Allah SWT di seluruh muka bumi ini. Maka wajarlah saya katakan di sini, bahawa usaha melahirkan golongan pendakwah yang bergelar Imam Muda ini boleh dianggap sebagai satu jihad yang perlu disokong oleh semua pihak yang beragama Islam.

Rentetan daripada usaha ini, kita akan dapat melahirkan golongan-golongan berikut:

Pertama: Golongan pemimpin (khalifah) yang bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.

Sebagaimana dalam surah al-Zariyat ayat 56. Jika diperhatikan pada ayat di atas, didapati bahawa matlamat sebenar kehidupan manusia di muka bumi ini adalah untuk mendapat keredaan Allah SWT dengan menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan Allah ke atas umat manusia.

Namun, sekiranya hidup kita yang penuh dengan tanggungjawab ini tidak dipandu oleh Islam, maka ia akan menyebabkan semua amalan kita ditolak Allah SWT, sekali gus menafikan sifat pengabdian kita kepada-Nya melalui tugasan yang dilakukan. Oleh sebab itulah, dengan wujudnya para ulama sama ada tua ataupun muda akan dapat membantu memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada masyarakat dari semua lapisan agar bertepatan dengan kehendak syariat Islam.

Kedua: Golongan profesional yang bertakwa.

Islam tidak semestinya dibawa atau disampaikan oleh golongan ustaz dan ustazah sahaja. Akan tetapi ia juga boleh disampaikan oleh golongan profesional yang mempunyai asas-asas agama yang kuat. Di negara-negara Timur Tengah sebagai contoh, kita dapat melihat sebahagian pendakwah mereka terdiri daripada golongan jurutera, arkitek, anggota tentera, polis dan seumpamanya. Kesemua mereka itu mampu berkhutbah dan memberi ceramah berhubung isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam di samping menyelang-nyelikan dengan bidang kepakaran mereka.

Jika dibandingkan dengan Malaysia, saya hampir yakin bahawa adalah tidak mustahil bagi sebuah negara seperti Malaysia ini dapat melahirkan golongan-golongan profesional dalam pelbagai bidang pekerjaan dan kemahiran di samping menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat sama ada dalam lingkungan yang kecil ataupun yang lebih besar.

Nabi SAW bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: Tiada bayi yang dilahirkan melainkan dia dilahirkan mengikut fitrah, lalu kedua ibu bapanya yang akan menentukan sama ada dia menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi, sebagaimana terhasilnya daripada seekor binatang itu anak yang sempurna, kamu tidak akan mendapati sebarang kecacatan padanya.

Ketiga: Golongan yang berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah.

Islam merupakan agama yang dihormati kerana prinsip dan undang-undangnya yang tidak pernah bercanggah antara satu sama lain. Ini kerana setiap perkara yang hendak dilakukan itu wajib dirujuk terlebih dahulu daripada al-Quran dan Sunnah.

Oleh sebab itulah Nabi SAW bersabda dalam sepotong hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Imam Malik dan ia bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selama mana kamu berpegang dengan keduanya, iaitu al-Quran dan Sunnahku."

Keempat: Golongan yang mempunyai benteng pertahanan diri yang kuat.

Sebagaimana dalam surah al-Hijr ayat 39-40. Oleh yang demikian, adalah menjadi satu kewajipan ke atas semua umat Islam tanpa mengira usia tua atau muda untuk mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai benteng pertahanan diri dan jiwa bagi menghadapi sebarang bentuk godaan kemodenan dan globalisasi yang semakin rancak tanpa mengira halal dan haram.

Sehubungan dengan itulah, Shikh Fathi Yakan dalam bukunya yang bertajuk, Apa Ertinya Saya Menganut Islam, menegaskan bahawa setiap negara Islam perlu melahirkan satu kumpulan "gerakan Islam" yang mampu menjadi ikon kepada masyarakat Islam khususnya dari kalangan generasi muda.

Bagi mencapai matlamat ini, gerakan tersebut perlu menggunakan pelbagai kaedah dakwah agar ia boleh diterima oleh semua pihak tanpa menimbulkan sebarang provokasi dan perpecahan di kalangan umat Islam.

Semoga dengan kehadiran golongan para ulama dari pelbagai lapisan khususnya di kalangan generasi muda seperti kumpulan Imam Muda dan golongan pendakwah yang lain, akan dapat membantu negara bagi melahirkan generasi al-Quran yang mampu mengubah paradigma masyarakat Malaysia ke arah sebuah negara Islam yang sempurna dan dihormati oleh semua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: