Friday, June 17, 2011

Fahami selok-belok pemanduan




WANITA sering dilabel sebagai insan yang naif mengenai hal-hal berkaitan kereta. Bahkan ada yang menganggap golongan wanita hanya tahu memandu kereta tanpa mengetahui selok belok teknikal jentera yang mereka pandu.

Meskipun tidak semua wanita begitu, tidak dinafikan sebahagian yang lain perlu menelan sahaja dakwaan itu bulat-bulat.

Di atas jalan raya, majoriti pemandu wanita sering diperlekeh kerana mereka dibelenggu sentimen ketidakcekapan ketika memandu.

Walaupun sudah ramai wanita yang mempunyai cukup kemahiran memandu, adalah lebih baik sekiranya mereka menambahkan lagi pengetahuan dan skil-skil yang berkaitan dengan kereta mereka.

Prihatin dengan isu tersebut, salah sebuah syarikat tayar terbesar di dunia, Goodyear, telah melancarkan program Goodyear Women with Drive khusus untuk wanita baru-baru ini.

Goodyear juga telah memulakan bengkel latihan survival pertama yang dianjurkan di Nusajaza Goodyear Autocare Centre di Shah Alam.

Bengkel khidmat masyarakat percuma itu bertujuan untuk mendidik dan memperkasa wanita dengan pengetahuan dan kemahiran selok-belok penjagaan kereta dan keselamatan jalan raya.

Seramai 23 orang peserta yang terdiri daripada rakan media dan orang awam menghadiri bengkel yang berlangsung selama lima jam tersebut.

Dalam tempoh itu, peserta diajar mengenai penjagaan asas kereta seperti fungsi komponen yang berlainan di bawah hud kereta, menetapkan kedudukan memandu dengan betul, amalan memandu terbaik dan pemeriksaan asas enjin kereta dan tayar.

Dalam pada itu, peserta juga mendengar penjelasan tentang aspek teknikal dan berkongsi masalah yang pernah mereka hadapi.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh tiga panel jemputan iaitu jurulatih automotif Mohd. Henzee Hamzah, 29; Azlizal Suli, 27, dan Pengarah Nusajaza, Adenan Masul dengan bantuan daripada mekanik Mohd. Ridzuan Jopri, 25.

Postur duduk


PARA peserta tekun mendengar penerangan Azlizal mengenai penjagaan enjin kereta.


“Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda tidur dan rehat yang secukupnya.

“Pastikan anda tidak terlalu kenyang atau terlalu lapar kerana ia akan mengganggu konsentrasi ketika memandu dan elakkan memulakan perjalanan dalam keadaan tergesa-gesa.

“Apa yang penting, pastikan postur badan ketika memandu betul kerana ia mempengaruhi keadaan anda ketika memandu,” kata Mohd. Henzee.

Sesekali ketika memandu, katanya, pemandu digalakkan membuat regangan pada tangan, badan dan otot-otot kaki serta mengubah posisi pemanduan beberapa kali bagi mengelakkan kelesuan akibat posisi statik.

Tambah Mohd. Henzee, ramai yang memandang remeh mengenai posisi memandu. Posisi yang betul sangat penting bagi memaksimumkan kawalan pemanduan.

“Jangan duduk terlalu jauh dari stereng kerana tangan anda mungkin tidak mampu bertindak pantas mengawal situasi ekstrem jika hilang kawalan pemanduan,” ujarnya.

Tumit tinggi

Mohd. Henzee juga berpesan kepada pemandu wanita agar mengelakkan memandu menggunakan kasut tumit tinggi ketika memandu kerana reka bentuk aksesori kebanggan wanita itu hanya akan mengurangkan keberkesanan memijak pedal.

Untuk tujuan memandu, wanita digalakkan memakai sandal atau kasut tapak rata.

“Selain itu, jangan meletakkan kasut serta botol air di bawah kerusi pemandu kerana dikhuatiri ia tersekat di bawah pedal brek yang menyebabkan anda tidak boleh menekan pedal brek sepenuhnya jika berlaku kecemasan,” terangnya.

Para peserta bengkel latihan itu juga didedahkan mengenai penyelenggaraan minyak enjin. Menukar minyak enjin mengikut tempoh yang ditetapkan merupakan langkah terbaik bagi meningkatkan prestasi kereta.

Pengabaian langkah yang mudah itu akan menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan bil yang tinggi apabila enjin kereta rosak.

Para peserta diberitahu, terdapat tiga jenis minyak enjin iaitu minyak enjin berasaskan mineral, semi sintetik dan sintetik penuh. Penggunaan sesuatu minyak enjin itu bergantung kepada hayat sesebuah kereta.

“Penggunaan minyak enjin yang tidak sesuai akan menyebabkan prestasi enjin menurun, susah untuk dihidupkan, hayat enjin tidak lama dan keberkesanan bahan bakar menurun,” kata Mohd. Henzee.

Sistem penyejuk

Rakannya, Azlizal pula memberitahu mengenai kepentingan sistem penyejuk yang berfungsi untuk menyejukkan enjin.

“Ramai yang tidak tahu kedudukan bekas sistem penyejuk dan ramai juga yang salah anggap dengan hanya meletakkan air tanpa meletakkan sebarang bahan pendingin walhal ia penting untuk sistem penyejukan enjin.

“Anda perlu meletakkan 50 peratus air dan 50 peratus bahan pendingin supaya ia lebih berkesan. Tidak seperti minyak enjin, ia tidak perlu kerap ditukar kerana ia mampu bertahan sehingga 10 tahun. Anda hanya perlu tambahkan air atau bahan pendingin sahaja jika ia berkurangan,” ujarnya sambil menunjukkan komponen yang ada di bawah hud kereta itu kepada peserta.

Periksa tayar

Seterusnya, para peserta juga diberi penerangan mengenai kepentingan penjagaan tayar oleh Adenan.

“Tekanan tayar perlu diperiksa ketika tayar masih sejuk sekurang-kurangnya apabila sesebuah kereta itu diletakkan selama tiga jam dan tidak dipandu melebihi 1.6 kilometer. Jika tekanan diambil apabila tayar masih panas, bacaannya tidak tepat.

“Periksalah tayar kereta anda. Jika ia kelihatan luar biasa, maka anda perlu menggantikan tayar tersebut dan anda perlu periksa sama ada jumlah angin dalam tayar kereta mencukupi sekurang-kurangnya dua minggu sekali,” katanya.


Pemeriksaan tahap kualiti tayar juga diajar dalam bengkel Goodyear Women With Drive.


Tambahnya, jika hari hujan dan keadaan jalan raya yang basah, jangan memandu melebihi 80 kilometer sejam. Sebaliknya cukup sekadar kelajuan 60 kilometer sejam kerana permukaan jalan yang berair akan menyebabkan tayar terapung dan tidak mencengkam sekali gus hilang kawalan pemanduan.

Selesai sahaja kelas teori, para peserta diajar cara-cara untuk menggantikan tayar yang pancit.

Bagi seorang peserta, Johncy Vijayarani, 54, walaupun dirinya dikategorikan agak berumur namun dia berpendapat ilmu pengetahuan tentang kereta wajar dipelajari tanpa mengira usia.

“Saya juga memandu seperti anda dan saya perlu tahu sekurang-kurangnya perkara-perkata asas melibatkan masalah kereta. Wanita-wanita di luar sana juga patut mendaftarkan diri untuk mengikuti bengkel sebegini pada masa akan datang.

“Saya pernah menggantikan tayar kereta saya sendiri dan membantu mereka yang memerlukan bantuan jika melihat kereta mereka tersadai di tepi jalan,” katanya yang mempelajarinya melalui pemerhatian tugas mekanik tempat dia selalu menghantar keretanya.

Nisha Santharasagaran, 26, pula memberitahu, sungguhpun sudah memandu kereta sejak tahun 2008, dia tidak tahu apa-apa mengenai jentera yang dipandunya.

“Dengan menyertai bengkel ini, sekurang-kurangnya pelbagai maklumat mengenai perkara-perkara asas seperti pemeriksaan tayar, enjin, servis, cara pemanduan dan sebagainya diketahui.

“Semua wanita perlu ambil tahu tentang hal-hal sebegini. Ia bukan sahaja membantu kita mengenali kereta dengan lebih baik malah dapat mengelakkan diri daripada tertipu apabila ke bengkel seorang diri,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: