Friday, June 24, 2011

Doktor hilang sentuhan kemanusiaan

KOTA BHARU 23 Jun - Usaha memasukkan elemen kemanusiaan dalam kurikulum sekolah perubatan di negara ini harus dilakukan agar aspek tersebut tidak dipinggirkan dalam kepesatan teknologi perubatan dan kesihatan moden.

Pro Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Datuk Dr M. Jegathesan berkata, para doktor hari ini seperti semakin hilang sentuhan semula jadi mereka akibat terlalu bergantung kepada kemajuan teknologi.

Beliau berkata, kod amalan berkait sentuhan kemanusiaan dan budaya yang betul boleh diperkenalkan sebagai satu subjek agar dunia perubatan menjadi sesuatu yang holistik.

"Sentuhan dan naluri semula jadi seorang doktor adalah 'kesenian' sebenar dalam dunia perubatan yang nampaknya semakin kita ketepikan hari ini.

"Teknologi dan kepakaran klinikal amat diperlukan tetapi dalam masa sama kita tidak boleh pinggirkan elemen yang berkait rapat dengan naluri manusia.

"Kita mesti berupaya mengeksploitasi kemajuan teknologi dengan sentuhan kemanusiaan agar keseimbangan dapat dicapai," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Sains Perubatan dan Kesihatan Kebangsaan (NCMS) Kali ke -16 di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Datuk Dr. Mafauzy Mohamed dan Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Nik Abdullah Nik Mohamad.

Kira-kira 250 peserta daripada pelbagai institusi dalam negara dan serantau hadir pada persidangan yang bermula 22 sehingga 23 Jun itu.

Persidangan dengan tema, 'Memanusiakan Perubatan Dan Kesihatan Untuk Generasi Akan Datang' itu disertai 13 penceramah dan lebih 40 prosiding yang akan dibentangkan sepanjang tempoh dua hari program berlangsung.

Jegathesan berkata, selain kepesatan teknologi, dunia perubatan masa kini juga dihimpit elemen perniagaan dan keuntungan yang boleh disalahgunakan jika tidak dikawal dengan baik.

"Sebab itulah, konsep pendekatan pelbagai mesti diaplikasikan kerana bidang kesihatan bukan hak mutlak yang ditentukan hala tujunya oleh golongan perubatan sahaja.

"Semua pihak mesti mengambil berat daripada pembuat polisi di peringkat atas sehinggalah orang awam yang boleh menjadi pendesak kepada agenda 'memanusiakan' dunia perubatan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: