Tuesday, June 7, 2011

Chin Hong selesa berkhidmat dalam PDRM


BERSAMA seorang anggotanya di Balai Polis Trafik Tun HS Lee.


SETIAP rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa mempunyai kewajipan untuk mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara.

Kesanggupan rakyat berkorban untuk negara merupakan prinsip asas yang perlu diterapkan dalam setiap individu.

Itulah pegangan yang disemat dalam hati Sarjan Lau Chin Ong, 51, Penolong Pegawai Penyiasat di Cawangan Trafik Balai Polis Tun HS Lee di Kuala Lumpur.

Beliau merasakan perlu berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjaga ketenteraman awam dan keamanan negara.

"Saya berpendapat setiap dari kita rakyat Malaysia berperanan memastikan keamanan negara terus terpelihara dan itu merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh setiap individu," katanya.

Namun apa yang menariknya, sebelum ini, beliau tidak pernah menyangka apatah lagi menanam impian untuk menjadi seorang polis.

Sebaik sahaja membuat keputusan untuk memasuki PDRM, Chin Ong terus menanam tekad untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pasukan itu.

Menjalani latihan selama enam bulan pada tahun 1979, sudah cukup memberikan pengalaman awal yang menarik sebaik ditempatkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak.

"Walaupun tidak ramai anggota polis di kalangan mereka yang berbangsa Cina namun ia tidak membataskan pergaulan saya bersama rakan-rakan yang berlainan bangsa.

"Walaupun wujud perbezaan di antara kami namun perjuangan kami tetap sama. Kami bercampur dan bergaul tanpa memikirkan saya ini berbangsa Cina, dia berbangsa Melayu mahupun India," katanya lagi.

Menurut beliau, apa yang penting dalam sesebuah pasukan adalah semangat dan kerjasama di kalangan anggota.

Menyiasat

Baginya, tidak perlu wujud pemikiran perbezaan agama dan bangsa kerana apa yang lebih penting adalah semua mereka perlu bekerja sebagai sebuah pasukan.

Mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri sejak sekolah menengah lagi memberi kelebihan kepada Chin Ong untuk menjadi jurulatih Seni Silat Polis di awal perkhidmatannya dalam PDRM.

Itu merupakan jawatan pertama yang dipegangnya sebaik tamat latihan di Pulapol selama 13 tahun sejak tahun 1979.

Beliau kemudian ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras selama dua tahun dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur selama lapan tahun.

Memegang jawatan di Balai Polis Tun HS Lee banyak menuntut masa Chin Hong untuk menjalankan siasatan ke atas kes-kes membabitkan kemalangan, lumba haram dan rempuh sekatan jalan raya.

"Bidang tugas saya adalah menyiasat kesan-kesan kemalangan untuk dijadikan bukti bagi kes-kes pendakwaan terhadap seseorang pesalah jalan raya. Kemalangan boleh terjadi kerana masalah teknikal disebabkan masalah seperti tayar botak, brek tidak berfungsi dan kerosakan enjin.

"Selain itu, ia juga mungkin disebabkan kecuaian manusia seperti memandu laju atau dalam keadaan mabuk, mengantuk dan tidak mematuhi peraturan jalan raya," jelasnya.

Tambahnya, sebelum sebarang kes-kes pendakwaan dilakukan terhadap pesalah trafik, beliau bertanggungjawab mengenal pasti punca-punca kemalangan untuk dijadikan bukti pendakwaan.

"Selepas menerima aduan mengenai sesuatu kemalangan, polis akan merakam percakapan saksi serta mangsa yang terlibat.

"Sebaik sahaja selesai mengambil keterangan mereka barulah kita akan melihat keadaan kereta yang terlibat bagi mengenal pasti kesan-kesan kemalangan tersebut untuk dijadikan bukti," jelasnya.

Katanya, dia juga perlu turun ke lokasi kejadian untuk melihat dan memerhati keadaan jalan raya dan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan.

"Gambar akan diambil untuk di bawa ke pejabat bagi meneliti setiap kesan-kesan kemalangan secara terperinci," ujarnya.

Cabaran utama beliau di dalam mengendalikan kes-kes kemalangan ialah apabila berlaku pertelingkahan di antara pengadu yang terlibat di dalam kemalangan.

"Biasanya mereka akan mempertahankan diri mereka dan menyalahkan antara satu sama lain. Ini adalah satu kesukaran yang perlu dihadapi dan ditangani dengan bijak.

"Kita tidak boleh berpihak kepada satu pihak. Siasatan perlu dilakukan secara adil dan saksama berdasarkan bukti-bukti yang diperolehi melalui kesan-kesan kemalangan," katanya.

Tambahnya, saksi kejadian seperti orang awam yang melihat kemalangan berlaku juga memainkan peranan di dalam membantu pihak polis untuk mendapatkan bukti.

"Apabila bukti sudah cukup barulah kita akan dakwa mereka atau mengenakan mereka saman berdasarkan kesalahan yang dilakukan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: