STADIUM Merdeka sekali lagi bakal menjadi saksi penggabungan dua kumpulan muzik legenda, Sweet Charity dan Blues Gang yang pernah disatukan 27 tahun lalu dalam sebuah konsert mega yang diberi nama Konsert Raksasa.
Lima tahun merencana rancangan untuk kembali bersatu, hanya tahun ini barulah hasrat itu terlaksana. Selain kesibukan menjadi kekangan utama, ketiadaan penaja juga menjadi punca kenapa ia tidak dapat segera direalisasikan.
Pada ketika itu, konsert anjuran Showmasters yang diuruskan Ali Bakar itu diadakan di hampir seluruh negeri secara berperingkat-peringkat bermula dengan Kuala Lumpur, mereka kemudian menjelajah ke utara meliputi Ipoh, Kangar dan Pulau Pinang. Peringkat kedua pula berlangsung di pantai timur meliputi Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Dungun dan Besut.
Konsert berkenaan berakhir di selatan tanah air dengan lokasi di Kuala Pilah, Segamat, Kluang, Johor Bharu, Batu Pahat dan Mersing menjadi pilihan. Dengan 30 lokasi secara keseluruhan, konsert itu menjadi konsert terbesar dalam sejarah muzik tanah air kerana disaksikan puluhan ribu penonton. Malah mereka boleh dikatakan pelopor kepada konsert rock di Malaysia.
Bagi mereka yang sempat menonton konsert mega gabungan dua kumpulan ini, pastinya ia menjadi kenangan paling manis. Malah masih segar di ingatan vokalis Sweet Charity, Ramli Sarip bagaimana pentas mereka roboh gara-gara dirempuh peminat, malah pernah berlaku kebakaran kecil sewaktu konsert berlangsung. Semua itu menyimpul sejarah yang terus segar di ingatan sehingga ke akhir hayatnya.
Namun masih mampukah dua kumpulan lagenda yang masing-masing membawakan genre rock & roll dan Blues itu menghimpun kembali peminat mereka 27 tahun lalu? Atau mampukah mereka menarik peminat generasi muda untuk membanjiri konsert mereka?
Bagi Ramli Sarip, beliau begitu optimis, Konsert Raksasa 2 yang bakal berlangsung 9 Julai depan bakal mendapat sambutan sebagaimana konsert mereka sebelum ini.
“Saya bukan hendak mendabik dada, jauh sekali mahu meninggi diri tetapi daripada pengalaman mengadakan konsert di Singapura dua tahun lepas sempena 40 tahun Sweet Charity dalam industri, tiket menyaksikan konsert kami habis dijual seawal tiga minggu daripada tarikh konsert.
“Jadi saya yakin, Konsert Raksasa 2 ini juga pasti mendapat sambutan yang sama. Pada 1996 juga kami pernah mengadakan konsert, ketika itu kita tidak sempat mengundang Blues Gang. Konsert itu juga berjaya apabila disaksikan lebih 25,000 walaupun peminat perlu mengeluarkan duit membayar tiket. Itu bermakna, lagu kita masih mempunyai tarikan semangat yang kuat dan meninggalkan banyak sejarah di hati peminat," kata Ramli.
Tidak perlu gimik
SEKALIPUN memiliki nama besar, namun Blues Gang dan Sweet Charity juga tidak terkecuali menghadapi masalah mendapatkan penaja. Situasi itu amat berbeza sekali kata mereka jika dibandingkan dengan 27 tahun lalu, ketika itu tajaan dari syarikat rokok masih dibenarkan. Justeru mereka tidak perlu risau untuk mendapatkan penaja.
“Tajaan memainkan peranan penting kepada artis yang berhasrat untuk mengadakan konsert besar. Oleh kerana syarikat rokok tidak dibenarkan menjadi penaja, penganjur konsert terpaksa mengharapkan tajaan daripada syarikat telekomunikasi dan sumber lain. Bagaimanapun tidak ramai yang berminat untuk menaja konsert kami walaupun permintaan peminat sangat besar.
“Akibatnya, sekarang ini kebanyakan penganjur akan menggabungkan seramai mungkin artis dalam sebuah persembahan sehingga konsert itu menjadi konsert yang pelbagai tanpa menumpukan pada genre tertentu.
“Kita sudah nyanyi lebih 30 tahun, tiada apa yang akan menjadi penghalang kepada kami. Malah kami tidak pernah berkecil hati atau patah semangat untuk terus mendapatkan penaja,” kata Ito.
Pada konsert selama dua jam setengah itu, Blues Gang yang dibarisi Ito Mohd, Shaik Abdul Karim Shaik Ahmad, Jim Madasamy, Abdul Ghani Talip dan Julian Mokthar akan mempersembahkan kira-kira 10 buah lagu. Antara lagu popular yang bakal mereka dendangkan seperti Apo Nak Dikato, Khatulistiwa serta banyak lagi.
Manakala Sweet Charity yang dimantapkan oleh Ramli Sarip, Rosli Mohalim, Ahmad Jaafar Jawahir dan Rahman Sarbani akan dibantu oleh Hamid Ahmad, Kudin Ramly dan Kamarulbahrin Hussin pula masih belum memutuskan berapa lagu bakal mereka persembahkan. Namun pastinya lagu seperti Batu, Teratai, Kamelia, Jangan Tunggu Lama-Lama tidak ketinggalan akan dipersembahkan.
Biarpun mendapatkan khidmat pemuzik undangan bagi menggantikan dua anggota kumpulan iaitu Syed Hassan Al Attas dan Masrom Hamid yang sudah meninggal dunia, Ramli yakin dengan kemampuan mereka yang amat menghormati ketulenan kumpulan itu.
Sementara itu, siapa yang bakal membuka persembahan pada malam itu masih menjadi rahsia dua vokalis kumpulan ini. Mereka juga berkata, tidak memerlukan gimik pada malam itu dan berkemungkinan berduet dalam konsert berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: