BERSEMANGAT...Adnan bakal berbasikal secara solo ke London.
DARI Petaling Jaya merentasi laluan sutera di Kunming, China, turun ke India, kemudian menjelajah Iran, Turki, Greece, Yugoslavia, Austria, Jerman, Perancis dan berakhir di London, England.
Itulah laluan yang bakal ditempuhi pesara guru, Mohammed Adnan Osman, 69 yang mahu melakar sejarah mengembara dengan basikal bagi menyaksikan Sukan Olimpik, London 2012 akan datang.
Bukan dekat perjalanan yang akan dilalui Adnan itu nanti, ia membabitkan perjalanan kira-kira 20,000 kilometer (km). Timbul juga tanda tanya, apakah Adnan mampu berbasikal secara solo sejauh 20,000 kilometer itu sedangkan kemampuan dan usianya yang sudah semakin lanjut boleh dipertikaikan?
“Jangan nilai seseorang dari usianya saja? Usia bukan ukuran, kekuatan fizikal diikuti azam dan keinginan itu adalah penentu. Bak kata pepatah, jika ada kemahuan di situ ada jalan,” kata Adnan.
Hasrat merealisasikan misi berbasikal ke London itu adalah impian yang cukup besar maknanya buat Adnan. Selain mahu menyeduk pengalaman di perantauan, beliau mahu meraikan sambutan ulang tahun ke 70 tahun usianya ketika temasya olimpik di London itu berlangsung.
Sebelum ini, beliau sudah pun membuktikan kemampuannya berbasikal menjelajah Indo Cina, dari Petaling jaya ke Thailand, Kemboja dan Vietnam dengan jarak perjalanan kira-kira 9,000 km. Jadi, bukanlah satu masalah bagi beliau untuk mencuba cabaran yang lebih besar menuju ke kota London nanti.
“Ketika itu, saya berhasrat hendak menyaksikan Sukan Olimpik Beijing 2008, tetapi impian itu tidak kesampaian sebab dihalang kerajaan China kerana masalah visa dan birokrasi di sempadan China.
“Saya yakin, misi ke London ini kali ini tidak akan ada masalah, lagipun saya sudah membuat persiapan rapi mengenainya. Di segi persiapan fizikal pula, saya sudah lama bersedia,” katanya.
Adnan akan memulakan misi berkenaan pada September ini dan dijangka mengambil masa sembilan hingga 10 bulan untuk tiba ke London.
Bagi beliau, misi ini bukanlah semata-mata untuk membuktikan kemampuannya saja, malah beliau mahu membuka mata masyarakat, terutama di kalangan warga emas supaya melakukan sesuatu yang berfaedah dan positif melalui aktiviti riadah untuk tatapan generasi muda.
“Tidak bermakna, apabila usia kita sudah meningkat, bererti kita perlu berehat saja di rumah. Tanggapan begini salah sama sekali, sepatutnya kita cuba lakukan sesuatu yang boleh dijadikan teladan untuk generasi akan datang.
“Sepanjang perjalanan nanti, saya akan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai pembakar semangat untuk menamatkan misi ini,” katanya.
Menyingkap sedikit pengalaman hidup Adnan, bekas guru di Maktab Tentera Diraja Malaysia, Sungai Besi ini bukan saja aktif berbasikal, malah aktiviti kecergasan lain seperti maraton, berkayak dan mendaki gunung.
Beliau pernah menyertai larian maraton antarabangsa di gurun Sahara, Maghribi selama tujuh hari pada 2009, sekali gus menjadikan beliau antara tiga individu dari Malaysia yang pernah menyertai kejohanan terbabit.
Selain itu, beliau sudah pun mendaki semua gunung di Malaysia dengan ketinggian melebihi 2,100 meter. Beliau mendaki Gunung Tahan sebanyak 15 kali dan tiga kali menawan puncak gunung Kinabalu.
Menurut Adnan, beliau mula aktif dengan sukan ekstrem dan riadah bermula sejak tekad berhenti merokok kira-kira 23 tahun lalu ketika berusia 46 tahun.
“Selepas berhenti merokok, saya mahu lakukan sesuatu yang berfaedah, apa lagi membabitkan kesihatan saya. Kini saya semakin sedar, kesihatan dalam usia yang semakin lanjut ini cukup penting.
“Keputusan yang saya ambil (berhenti merokok) 23 tahun lalu benar-benar mengubah hidup saya, dan banyak hikmah yang saya terima berikutan keputusan saya itu,” katanya.
>PROFIL
NAMA: Mohammed Adnan Osman
LAHIR: 7 November 1942 di Parit Buntar, Perak
PENDIDIKAN: Kolej Perguruan, Prinsford Lodge, England
KARIER TERAKHIR: Guru
BERSARA: 1997
PENGALAMAN: Pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Garing, Rawang (dulu dikenali sebagai Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Rawang) dan Maktab Tentera Diraja Malaysia, Sungai Besi
ISTERI: Marina Abdullah, 67
ANAK: Aedewan, 31 dan Aedly, 27
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: