Sunday, November 15, 2009

Zizan tukar karier jadi tukang masak

Minatnya begitu mendalam terhadap bidang masakan tetapi ayahnya pula beranggapan sebaliknya. Bagi ayahnya, kerjaya arkitek merupakan karier yang boleh dibanggakan dan melambangkan simbol kejayaan hidup. Namun Rahman berkeras memilih jalan yang bercanggah dengan impian ayahnya.

Watak Rahman direalitikan oleh pelakon kacak Zizan Nin yang memerlukannya banyak beraksi di ruang dapur sebagai seorang tukang masak. Drama ini turut dijayakan Sharifah Nadia, Abu Bakar Juah, Kartina Aziz, Atie AF, Shahronizam dan Ruminah Sidek.

Dapur menerusi 4 episod yang bersiaran mulai esok jam 12 malam di TV2 berkongsi babak menarik watak Abdullah yang tidak faham mengapa beliau dihadiahkan sebuah dapur sempena hari pencennya. Kehadiran dapur telah menyebabkan kemarahan Abdullah memuncak. Abdullah tidak dapat melihat keistimewaan yang dimilikinya lantaran pegangan hidupnya menganggap memasak adalah tanggungjawab dan bukannya perniagaan.

Beliau tidak menyedari kebolehannya sebagai tukang masak nasi beriani yang dipuja ramai oleh masyarakat setempat telah menjadi inspirasi kepada anak-anaknya untuk mendalami bidang masakan, terutamanya Rahman.

Minat Rahman terhadap masakan juga menyebabkan isterinya Azizah terasing dan tersisih, beliau merasakan kemahiran Rahman menutup ruang untuknya membelai hati suaminya. Tanggungjawab menyediakan makan minum semuanya diambil oleh Rahman sehingga Azizah tidak pernah berpeluang untuk memasak bagi Rahman.

Kepulangan Rahman ke kampung untuk meraikan hari pencen ayahnya menjadi sebaliknya. Tindakan Rahman telah menggunakan dapur baru dan mengetepikan dapur lama seolah-olah mencabar Abdullah sebagai ketua rumah. Aminah isterinya yang setia juga menerima tempias kebencian Abdullah sehingga beliau sanggup menghalau Aminah keluar dari rumah.

Kekosongan yang ditinggalkan Azizah diisi oleh Siti, pembantu Rahman di Cafe Sinar Jiwa. Tugas dan minat yang sama membibit bunga-bunga cinta dan akhirnya disaksikan sendiri oleh Azizah. Adakah Azizah mahu mengalah atau mempertahankan cintanya dan adakah Abdullah dapat menerima takdir segala-galanya hanya boleh dirancang dan takdir adalah milik ketentuan Tuhan?

Jangan ketinggalan menonton drama yang diselitkan unsur kelucuan ini kerana ia sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: