Monday, November 2, 2009

Universiti perlu isytihar purata gaga

LONDON - Kursus universiti di Britain perlu memiliki pelbagai maklumat tambahan termasuk purata kegagalan pelajar yang mengambil kursus tersebut, pendapatan yang akan diperoleh bakal graduan dan jumlah masa tunjuk ajar pensyarah, lapor sebuah akhbar semalam.

Langkah tersebut bertujuan untuk menambah baik sistem pendidikan tinggi di negara itu di samping menjadikan ia lebih kompetitif dan mesra pelanggan.

Apabila pelan itu dikuatkuasakan kelak, para pelajar akan diberi layanan sebagai pelanggan berbayar dan diberikan maklumat lebih baik berhubung kursus-kursus yang ditawarkan oleh sesebuah universiti.

Pelan itu turut membariskan agenda-agenda utama yang perlu diutamakan oleh universiti Britain pada masa hadapan.

Antaranya termasuk saranan agar universiti meningkatkan kerjasama komersial sebagai sumber pendapatan selain menambah kuota pelajar miskin bagi memecah dominasi kelas pertengahan di pusat-pusat pengajian tinggi utama Britain.

Menjelang pengumumannya minggu ini, timbul spekulasi bahawa pelan tersebut akan dijadikan alasan untuk menaikkan yuran pengajian tinggi di Britain selepas pilihan raya umum terbaru nanti.

Kerajaan Britain dijangka turut melakukan rombakan besar-besaran terhadap sistem tabungan pelajar di negara itu bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Semakin ramai pelajar di Britain berang serta mahu mengetahui cara universiti membelanjakan yuran £3,225 (RM18,180) setahun.

Pada Mei lalu, para pelajar Universiti Bristol mengadakan bantahan terhadap yuran serta bersungut terhadap jumlah jam kuliah yang semakin pendek manakala tugasan tidak disemak pensyarah.

Sejumlah 600 pelajar jurusan ekonomi dan kewangan juga mengadu mengenai mutu pendidikan yang mendatar walaupun yuran dinaikkan lebih £3,000 (RM16,900) pada 2006.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: