Monday, November 9, 2009

‘Saya bukan disingkir’...Nora Danish


KONTROVERSI membabitkan drama bersiri Spa Q musim ketiga yang kini dikenali sebagai Spa Qistina nampaknya masih belum reda. JIka sebelum ini kecoh mengenai barisan pelakon yang akan membarisi drama yang kini berpindah siaran ke Astro apabila watak utama, Qistina tidak lagi disandang Norish Karman.

Apabila pengganti Norish ditemui dengan menyerahkannya kepada Umie Aida, sekali lagi timbul masalah apabila bintang Embun itu dikatakan tarik diri saat akhir dan akhirnya tempatnya digantikan Nanu Baharudin. Tidak cukup kekecohan pengganti watak Qistina, langkah membawa dua watak baru dijayakan Fasha Sandha dan Nora Danish juga menjadi topik hangat. Pelakon ini mengatakan tiada masalah berlakon bersama kerana mereka profesional.

Apabila penggambaran dimulakan sejak 19 Oktober lalu, Nora Danish pula dikatakan disingkirkan daripada siri popular itu kerana bersikap tidak profesional. Cerita itu juga disebarkan pihak yang mendakwa dirinya orang dalam produksi Spa Qistina menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada wartawan Harian Metro, Jumaat lalu.

Menurut SMS itu, Nora bukan saja dikatakan ada masalah disiplin (sering datang lewat ke lokasi), malah dia juga tidak dapat menjiwai watak yang diserahkan dengan baik kerana lupa skrip.

Antara petikan dalam SMS itu ialah semua orang kecewa dengan sikap Nora yang seperti lupa diri. Mentang-mentang dia bekas menantu Tan Sri, sudah mula tidak profesional ketika bekerja. Lebih teruk lagi, semua pelakon dalam drama bersiri itu juga dikatakan marah kepada Nora kerana babak mereka terpaksa dibuat semula.

Tidak cukup dengan itu, pihak Global Station Sdn Bhd juga dikatakan sudah menyerahkan surat tamat kontrak kepada Nora, Khamis lalu dan wataknya juga digantikan dengan pelakon Datin Natasha Hudson.

Ketika diminta mengulas perkara itu, Nora berkata, cerita dia disingkirkan daripada Spa Qistina kerana bersikap tidak profesional itu fitnah dan tidak berasas sama sekali.

Tegas Nora, dia tidak disingkirkan, sebaliknya terpaksa menarik diri kerana tidak dapat memberikan komitmen pada tarikh baru yang dibuat produksi baru drama bersiri itu. Drama bersiri ini memulakan penggambarannya pada 19 Oktober lalu tetapi babak membabitkan Nora bermula pada 22 Oktober.

“Saya juga sempat buat beberapa babak mengikut jadual itu tetapi produksi Spa Qistina mempunyai masalah teknikal dan terpaksa berhenti pada 29 Oktober selama empat hari. Sepanjang tempoh itu, banyak babak saya yang tidak dapat dilaksanakan.

“Saya juga tidak dapat memberi komitmen apabila Spa Qistina diambil alih team produksi baru dan penggambaran juga pada tarikh baru yang ditetapkan.

“Sepatutnya, saya selesai penggambaran pada 20 November tapi team baru pula dijadualkan tamat penggambaran pada Disember. Saya juga sudah terima tawaran daripada MIG Production Sdn Bhd untuk berlakon dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak 2 yang akan memulakan penggambarannya Disember nanti. “Sebelum ini, saya juga sempat berlakon drama bersiri Sumpah Bunian yang disiarkan TV3 kerana penggambaran Spa Qistina ditangguhkan ketika itu,” katanya.


Nora berkata, dia juga sudah berbincang dengan penerbit eksekutif drama itu, Zetty Adila Ramly dan perkara itu sudah diselesaikan secara baik.

“Saya menarik diri bukan kerana masalah bayaran kerana saya memang puas hati dengan bayaran yang sudah dipersetujui bersama dengan Global Station sebelum ini.

“Saya juga hanya sempat jayakan kira-kira 10 peratus saja babak Maya dalam drama bersiri itu. Saya juga tidak mengambil sebarang bayaran pun daripada Global Station kerana terpaksa menarik diri daripada drama bersiri ini,” katanya.

Ditanya sama ada, dia menarik diri kerana kehadiran pelakon kontroversi Fasha Sandha dalam draam itu, Nora menafikannya sama sekali.

“Sebenarnya, saya sudah lama kenal dengan Kak Ton (Zaiton Mohd Jiwa) dan memang sudah lama ingin bekerja dengan produksinya. Justeru, apabila Kak Ton tawarkan saya buat drama ini, saya tidak menolaknya kerana ada kelapangan ketika itu.

“Saya juga dapat tahu Fasha terbabit dalam drama ini sejak awal lagi dan saya juga sempat buat beberapa babak Maya sebelum team Spa Qistina menukar tarikh penggambaran yang baru,” katanya.

Tambah Nora lagi, dia kesal apabila ada pihak menyebarkan cerita dia pelakon yang tidak berdisiplin. Nora menafikan datang lewat ke lokasi penggambaran.

“Kalau ‘call time’ di lokasi penggambaran jam 8 pagi, saya sudah ada di lokasi tepat pada masanya,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa, berkata Nora terpaksa menarik diri daripada Spa Qistina kerana tidak dapat memberi komitmen pada tarikh baru penggambaran yang ditetapkan team produksi baru siri itu.

“Memang saya berasa terkilan apabila Nora terpaksa menarik diri tetapi saya juga perlu faham situasi yang dihadapinya itu dan ia perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Apa yang berlaku ini perkara biasa dalam mana-mana produksi kerana kita berurusan dengan ramai orang. Team baru produksi yang jayakan siri ini juga bagus dan bukan ‘tangkap muat’ saja,” katanya.

Zaiton berkata, pada pemerhatiannya, Nora juga tidak mempunyai masalah disiplin seperti cerita disebarkan itu dan dia juga dapat menjiwai wataknya dengan baik.

“Apapun, pihak kami juga tidak ada masalah untuk buat babak Maya (lakonan Nora) itu semula. Nora juga sudah memulangkan bayaran pendahuluan yang diambilnya sebelum ini,” katanya.

Mengenai pengganti Nora pula, kata Zaiton, buat masa ini, pihaknya masih mencari penggantinya. Katanya, memang benar mereka tawarkan watak itu kepada Natasha tetapi dia masih belum beri kata putus lagi kerana jadualnya juga padat.

Drama bersiri Spa Qistina yang bakal disiarkan di saluran berbayar Astro ini diarahkan Zulkifli Arshad dan skrip tulisan Rina Khan. Spa Qistina kali ini lebih mantap dengan gandingan pelakon berkaliber tanah air seperti Nanu (Qistina), Azizah Mahzan (Marlia), Adi Putra (Fahmi), Fasha Sandha (Frieda), Riezman Khuzaimi (Dr Zulfadzli), Farahdiya (Julia), Nik Zarith Nellydya (Melissa) dan Jasmin Hamid (Sofiera). Tidak ketinggalan, penampilan khas, band indie popular tanah air, Hujan.

Spa Qistina mengisahkan cabaran baru Qistina yang berhadapan dengan konflik keluarga terutama selepas berkahwin dengan lelaki muda, Fahmi. Mampukah dia menanganinya?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: