![]() |
| Aina menerima hadiah kemenangan daripada Datin Seri Utama Masnah Rais (tengah) sambil diperhatikan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya dan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Kamarudin Siaraf. |
SETELAH tiga bulan menimba ilmu kewartawanan penyiaran di Kolej Penyampai Ikon, akhirnya rezeki berpihak buat gadis tinggi lampai, Aina Suzaily M. Zailanny, 20.
Menewaskan lima pencabar pada Anugerah Penyampai Ikon 2009 yang berlangsung di Istana Budaya malam Sabtu lalu, pentas keramat itu menjadi saksi nama Aina dijulang sebagai juara.
Ditempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Siti Aisyhah Baslie, 24, dari Kuching, Sarawak dan Khairul Faizi Dalaiil, 23, dari Perak.
Tiga lagi peserta yang turut memberikan saingan ialah Beatrice Khrishnan, 23, Mohamed Shahril Sarapudin, 21, dan Hazel Desmond, 26.
Dengan kemenangan itu, Aina layak menerima hadiah berupa sebuah kereta Proton Saga BLM, wang tunai RM6,000, sijil penyertaan daripada Institut Akhbar Malaysia (IAM) dan sebuah trofi.
Kata orang 'melentur buluh biar dari rebungnya'. Biarpun sebelum ini dia bagaikan sudah terbiasa dengan pembawaan diri serta disiplin sebagai seorang tentera laut, namun, segalanya bukan masalah besar kepadanya.
Biarpun kewartawanan penyiaran bidang yang cukup asing buatnya, namun dalam fikirannya, segala bidang yang diceburi memerlukan keyakinan diri sebagai perkara pokok.
Itulah antara resipi yang digunakan sehingga berjaya mencambah tuah buatnya apabila gelaran juara sulung Penyampai Ikon 2009 rapi dalam genggamannya.
Ditemui sejurus selesai acara tersebut, Aina menyifatkan kemenangannya adalah kerana restu yang tidak pernah surut daripada ibu dan bapanya.
"Saya gembira kerana ini adalah rezeki Tuhan buat diri saya.
"Tanpa restu ibu bapa saya tidak akan menyertai Penyampai Ikon, tanpa Kolej Penyampai Ikon saya tidak akan dapat belajar tentang ilmu kewartawanan dan tanpa juri profesional, saya tidak akan menggenggam piala kemenangan ini," kata Aina mengulas mengenai kemenangannya.
Membuat persediaan akhir selama seminggu, bekas graduan Universiti Pertahanan Malaysia (ATMA) ini diberi tugasan laporan lokasi berkisar gempa bumi yang berlaku di Padang, Indonesia baru-baru ini.
Katanya, daripada tajuk yang diberikan, usahanya adalah mencari pelbagai input yang menarik serta bersesuaian dengan visual yang dipaparkan.
Tidak pernah terfikir oleh anak sulung daripada tiga beradik ini untuk melangkahkan kaki terlibat dalam dunia kewartawanan siaran seperti yang dilaluinya ketika ini.
"Nak katakan ini impian saya daripada kecil tidak juga sebab sebelum ini saya pernah berkhidmat sebagai tentera laut.
"Bagaimanapun, sudah rezeki saya dalam bidang ini, dan apabila sudah diangkat sebagai juara rasanya tiada salah saya meneruskan kepercayaan yang telah diberikan.
"Sebelum ini saya memang tidak terfikir langsung untuk memasuki program ini. Namun, atas nasihat ibu dan ayah saya yang mahukan saya mencuba nasib saya ikutkan juga," kata Aina sambil mengukir senyuman.
Biarpun tempoh tiga bulan di Kolej Penyampai Ikon bukanlah masa yang panjang, namun Aina mengakui pelbagai ilmu berkaitan kewartawanan yang diperoleh sudah semakin serasi dengan dirinya.
"Ini merupakan cabaran baru buat saya. Walaupun pada mulanya terasa begitu asing, namun lama kelamaan gementar berhadapan dengan kamera dapat saya atasi.
"Malah, salah satu cabaran yang tidak dapat saya lupakan sehingga kini ialah menyertai operasi polis ke pusat-pusat pelacuran.
"Dengan kemenangan ini, saya rasa setiap masa saya perlu bersedia andai dipanggil untuk segera memulakan tugas," kata Aina lagi.
Gemar aktiviti lasak, jelas Aina, sekiranya diberikan peluang untuk menjadi pengacara, dia lebih gemar mengacarakan rancangan yang mencabar dan lasak.
Penyampai Ikon capai sasaran
Sementara itu, Konsultan persembahan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Yusanani Yushak bertindak sebagai pengetua ketika ditemui menyifatkan program tersebut menepati segala yang dikehendaki oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK)
"Keenam-enam peserta akhir ini adalah bakat-bakat yang bukan sahaja berkebolehan menyampai berita tetapi lengkap dengan ilmu kewartawanan termasuk membuat laporan lokasi.
"Bukan mudah melakukan seperti apa yang telah ditonjolkan dalam persembahan mereka.
"Terus -terang, saya kagum dengan prestasi mereka. Ketika-tiga pemenang ini adalah terbaik di kalangan yang baik," katanya.
Barisan juri yang terlibat pada malam anugerah tersebut ialah pensyarah di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah yang juga ketua juri, Ketua Pegawai Eksekutif IAM, Datuk Chamil Wariya dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.
Enam peserta akhir Penyampai Ikon adalah antara 17 peserta rancangan itu yang disenarai pendek daripada lebih 6,000 peserta yang hadir di peringkat uji bakat.
Mereka turut menjalani pengajian di Kolej Penyampai Ikon dalam bidang kewartawanan siaran anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak 12 Ogos lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: