Friday, November 20, 2009

Pementasan amal Natrah


NASIB malang yang menimpa kanak-kanak dibuang ibu bapa kandung mereka mendapat perhatian pengarah, Erma Fatima. Menerusi pementasan teater Natrah yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 30 November hingga 9 Disember ini, pengarah dan pelakon terkenal itu mengadakan pementasan amal untuk mengisi dana kanak-kanak kurang bernasib baik itu.

Sumbangan pementasan amal yang berlangsung pada malam 30 November itu akan diserahkan kepada Rumah Lindungan Iman, Kuala Lumpur di bawah naungan Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menerusi Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia.

Menurut Erma, persiapan kru produksi untuk pementasan itu ketika ini berjalan lancar. Di samping pementasan utama, pihak produksi termasuk pelakon yang membintangi teater berkenaan cukup teruja menjayakan persembahan itu. Selain menghiburkan penonton yang hadir, mereka juga dapat turut serta dalam program amal ini.

"Sebelum ini, golongan kanak-kanak ini kurang mendapat perhatian dari segi bantuan. Justeru, sudah menjadi sebahagian daripada matlamat kami di samping menjayakan pementasan, ia juga dapat membantu golongan yang memerlukan. Tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan rumah kebajikan seperti ini.

"Secara tidak langsung mengingatkan kita kepada mereka yang kurang bernasib baik. Barisan pelakon dan pasukan yang menjayakan pementasan teater ini turut sama-sama membantu menjayakan program kebajikan ini. Mereka juga mempunyai kuota tertentu dari segi sumbangan terhadap pembelian tiket," katanya.

Tambahnya, kebanyakan kanak-kanak yang menghuni rumah berkenaan menjadi mangsa ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Akibatnya, kehidupan kanak-kanak ini terabai tanpa kasih sayang keluarga. Ramai lagi individu yang mahukan anak yang dapat memberi kasih sayang kepada golongan ini. Sepatutnya kanak-kanak ini dibesarkan atau dijaga mereka yang benar-benar mahu berkongsi kasih sayang bersama anak-anak itu.

Mengulas lanjut mengenai persediaan pementasan Natrah yang ditunjangi Maya Karin, Remy Ishak, Umie Aida, Sofia Jane dan Norman Hakim, Erma berkata, semuanya berjalan lancar dan tidak membabitkan perubahan besar dalam produksi.

"Setakat ini, kami giat menjalani latihan sebagai persediaan untuk pementasan yang bakal berlangsung nanti. Pada kami pementasan Amal itu cukup penting dalam usaha menarik lebih ramai penonton menyaksikan teater ini. Begitupun, kita nantikan saya kejutan yang akan kami persembahan pada malam pementasan nanti," katanya.

Sementara itu, Maya yang membawakan karakter Natrah berasa seronok dan sangat berpuas hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada mereka yang menjayakan pementasan teater. Malah kebanyakan masyarakat hanya tahu tahu kisah Natrah ketika zaman muda berbanding pada usia emas. Baginya, Natrah wanita hebat dan masih menjadi tumpuan ramai.

"Memang tumpuan kami ketika ini memantapkan aksi lakonan. Apatah lagi masa pementasan yang semakin hampir. Rutin harian saya menjalani latihan bermula dari petang sehingga tengah malam. Kadangkala latihan berlarutan sehingga lewat pagi. Terus terang, saya berdebar-debar dan seram sejuk memikirkan mengenai pementasan di IB nanti.

"Begitupun, saya percaya dengan pengalaman dan bantuan daripada rakan dan pengarah, semuanya pasti berjalan lancar."Di samping menghiburkan penonton yang hadir, boleh sama-sama menyokong kerja amal dengan menyaksikan pementasan yang berlangsung pada malam pertama nanti," katanya.


Bagi Remy Ishak pula, dia percaya naskhah berkenaan mempunyai kekuatan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Membaca beberapa helaian awal naskhah itu sudah cukup membuat dia tertarik untuk membuat kemunculan pertama menerusi pentas teater.

Tambah meyakinkan Remy yang kini popular dengan penampilan menerusi drama bersiri Nur Kasih dan Suraya di TV3, Natrah mempunyai kekuatan apabila dipentaskan kepada umum kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: