Sunday, November 15, 2009

KWSP Lancar Kempen Kemaskini Penamaan Simpanan

KUALA LUMPUR Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengadakan kempen kesedaran bagi mengingatkan anggotanya supaya membuat penamaan simpanan ekoran hanya 23 peratus daripada 12.4 juta anggotanya yang sudah berbuat demikian ketika ini.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata kempen kesedaran yang bermula esok itu bertujuan melindungi kebajikan keluarga sekiranya seseorang anggota meninggal dunia.

Beliau berkata dengan adanya penamaan, proses urusan bayaran pengeluaran kepada waris anggota dapat dipercepatkan, sekaligus dapat mengelak orang yang tersayang daripada menderita.

"Sejajar dengan kempen ini, KWSP akan menyiarkan iklan radio dan akhbar mulai 16 November hingga 21 Disember bagi mengingatkan anggota supaya membuat dan mengemaskini penamaan KWSP mereka.

"Penamaan yang dikemaskini dapat memastikan simpanan anggota dibayar kepada waris yang dinamakan dengan segera," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Nik Affendi berkata tanpa penamaan, waris anggota perlu mengemukakan pelbagai dokumen seperti surat kuasa mentadbir, surat probet atau perintah pembahagian pengeluaran simpanan anggota dan proses bagi mendapatkan dokumen-dokumen itu mengambil masa yang lama.

"Sebagai anggota KWSP, adalah penting untuk mereka sentiasa mengemaskini penamaan terutamanya jika berlaku sebarang perubahan di dalam hidup seperti berkhawin, berlaku penceraian atau mendapat cahaya mata," katanya.

Menurutnya untuk membuat penamaan, anggota hanya perlu mengisi borang KWSP 4 dan menghantarnya kepada pejabat KWSP berdekatan, dan borang ini boleh didapati di pejabat-pejabat KWSP atau dimuat turun dari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: