Friday, November 13, 2009

Kelainan yang cacamarba


ENOT dan Sham menerima trofi penghargaan masing-masing.


MINGGU lalu, Sehati Berdansa musim ketiga (SB3) menyaksikan lagu-lagu nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad diangkat sebagai tema.

Sesuatu yang cukup menarik apabila lagu-lagu tersebut dijadikan sebagai cabaran untuk pasangan selebriti melunaskan tanggungjawab mereka.

Tetapi, apa yang tidak sedapnya apabila lagu-lagu tersebut telah disuntik dengan elemen muzik tradisional kaum-kaum di Malaysia lantas menjadikan ia kelihatan sedikit janggal.

Kerana itu juga, persembahan lapan pasangan yang meneruskan perjuangan mereka pada minggu ketiga itu dilihat begitu kelam-kabut sewaktu mereka menukar rentak tarian mereka mengikut ritma lagu tersebut.

Menjawab persoalan ini, perunding persembahan dan tarian SB3, Farah Sulaiman menjelaskan tindakan itu adalah bertujuan untuk memberi satu kelainan.

Sesuai dengan tema 1Malaysia yang menjadi tema pada minggu lalu, Farah memberitahu keputusan itu diambil selepas perbincangan dengan pihak Astro.

Apatah lagi, keputusan untuk memasukkan elemen muzik lain dalam setiap lagu Sudirman adalah kerana karya penghibur terkemuka itu memiliki nilai-nilai 1Malaysia yang cukup kuat.

"Kami tidak mahu menampilkan sebuah persembahan yang biasa mengikut lagu-lagu tradisional setiap kaum di Malaysia seperti mana kebiasaannya.

"Lantas apabila adanya elemen seperti ini, setidak-tidaknya ia memperlihatkan kesungguhan dan mencabar kreativiti para koreografer untuk mereka gerak tari.

"Hasilnya, ia kelihatan sungguh menarik dan cukup berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkan pada dua musim terdahulu," ujarnya yang berpendapat soal kelam-kabut itu mungkin disebabkan lagu-lagu yang dipilih kesemuanya rancak dan pantas.

Minggu ketiga menyaksikan pasangan Enot dan Zainol terpaksa meninggalkan lantai tari apabila menjadi pasangan kedua yang tersingkir dengan markah keseluruhan sebanyak 43 peratus.

Pada minggu kedua, pasangan Anita-Ismadi menjadi pasangan pertama yang disingkirkan dan sempat menyumbang RM2,000 bagi mengisi dana untuk Persatuan SLE Malaysia.

Dengan penyingkiran kedua pasangan itu, kini hanya tinggal tujuh pasangan sahaja lagi yang akan meneruskan perjuangan masing-masing untuk minggu keempat yang bertemakan Pesta Muda-Mudi.

Mereka yang dimaksudkan ialah pasangan Sazzy-Nazril, Mirna-Norah, Didie-Sham, Sein-Nana, Oshin-Firdaus, Isma-Zul dan Dira-Ash.

Dalam pada itu, Farah sempat memuji prestasi kesemua peserta yang bertanding minggu lalu sambil menyifatkan masing-masing telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan.

Bukan itu sahaja, ada peserta juga yang dilihat begitu keyakinan tinggi berbanding di awal SB3 membuka tirainya.

"Sebagai contoh, suami Oshin iaitu Firdaus dan Mirnawan Nawawi yang saya perhatikan ada menunjukkan peningkatan dan semakin yakin dengan diri mereka.

"Maklumlah, mereka ini bukannya penari jadi mereka perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan selesa dengan suasana yang berbeza," ujar pengasas Sayang Academy of Dancing itu lagi.

Dalam masa yang sama juga, Farah mengharapkan penonton dan peminat agar dapat memahami keadaan peserta yang tidak mampu memberikan persembahan yang sempurna.

Ini kerana katanya, setiap pasangan hanya mempunyai dua hari sahaja untuk menjalani latihan sebelum beliau membuat penilaian pada hari ketiga.

Ketika diminta pandangannya tentang penyingkiran pasangan Enot dan Zainol, apa sahaja yang membabitkan pertandingan realiti semuanya tidak dapat dijangkakan.

"Bentuk fizikal Enot sedikit sebanyak menjadi penghalang untuknya mempamerkan persembahan yang bagus.

"Jika dia melakukannya berlebih-lebihan, tariannya akan menjadi tidak cantik.

"Suaminya pula memang harus diakui agak kaku tetapi setakat minggu lalu, dia memang ada menunjukkan peningkatan," ujarnya yang turut menyenangi sikap dan personaliti pasangan itu.

Tambahnya, Enot dan suaminya sebenarnya bekerja keras untuk pertandingan ini termasuklah koreografer mereka, Anuar.

Sementara itu, Enot ketika dihubungi pula berkata dia sememangnya sudah menjangkakan akan disingkirkan pada minggu lalu dan perpisahan itu baginya cukup menyedihkan.

Manakan tidak, selama tiga minggu bersama pasangan lain, mereka sudah menjadi serasi dan semakin menyayangi antara satu sama lain.

Dalam masa yang sama juga, dia mengakui pengalaman dalam SB3 cukup menyeronokkan dan membuka satu lembaran baru dalam kariernya.

"Peminat sekarang sudah pandai menilai dan saya percaya pengundi serta penyokong telah melakukan sedaya upaya mereka untuk terus mengekalkan kami.

"Kalau tidak tersingkir sekarang, mungkin minggu-minggu seterusnya kami akan disingkirkan.

"Mungkin juga kami disingkirkan kerana peminat nampak kami berdua sakit kaki dan sering kali menahan kesakitan sewaktu latihan mahupun persembahan," ujarnya yang mengakui dia dan suaminya juga mempunyai masalah darah gemuruh di atas pentas.

Sewaktu ditanya tentang persembahannya, Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah ini menjelaskan tarian 1Malaysia itu antara yang paling sukar.

Mana tidaknya, dia dan suaminya perlu menari mengikut empat rentak yang berbeza dalam satu lagu yang sememangnya cukup mencabar.

Di sebalik kesedihan itu, Enot berbangga kerana dapat mengumpul sebanyak RM3,000 untuk disumbangkan kepada Yayasan Paru-Paru Malaysia yang mereka wakili.

Mengulas sedikit tentang persembahan minggu lalu, biarpun berdepan dengan cabaran yang dilihat berupaya menganggu konsentrasi mereka, rata-rata memberikan persembahan yang boleh dibanggakan.

Seperti biasa, pasangan Sazzy-Nazril mendapat pujian daripada pengkritik tetap, Joseph Gonzales serta dua juri jemputan iaitu A. Aris Kadir dan Aznil Nawawi kerana menampilkan persembahan yang konsisten.

Persembahan Sein dan isterinya, Nana juga tidak mengecewakan terutama Sein yang cukup menyakinkan membuat persembahan terutama ekspresi wajahnya.

Begitu juga dengan Isma-Zul di mana pasangan ini berjaya menampikan gerak tari yang senada selain menghayati jalan cerita yang ditampilkan.

Pasangan Didie-Sham dan Mirna-Norah juga tidak kurang hebatnya manakala selebihnya hanya sekadar biasa sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: