Tuesday, November 17, 2009

Kajian sel stem bawa tuah




MENYARUNG jaket labuh putih, mereka melangkah masuk ke dalam makmal. Radas-radas, kertas kerja dan bahan ujian menjadi mainan setiap hari. Minat yang sangat mendalam membuatkan dua anak muda ini tekad menjalankan kajian demi kebaikan manusia sejagat.

Hasilnya, kerja keras yang dilakukan mendapat pengiktirafan yang dianggap paling berharga dalam hidup mereka.

Muncul sebagai pemenang dalam Anugerah Saintis Muda Merck 2009, Mok Pooi Ling, 30, merupakan calon doktor falsafah (Ph.D) Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sementara Lai Choon Sheen, 30, pula ialah calon Ph.D dalam bidang kimia dari Universiti Sains Malaysia, (USM).

Kedua-duanya langsung tidak menyangka kajian mereka berjaya mengalahkan lapan finalis lain. Masing-masing memenangi kategori Biosains dan Kromatografi. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 setiap seorang, sijil dan trofi.

Untuk makluman, Merck Sdn. Bhd. ialah anak syarikat kepada syarikat multinasional Merck KGaA yang beribu pejabat di Jerman. Anugerah Saintis Muda Merck 2009 (MYSA) yang dianjurkannya bertujuan mencungkil bakat-bakat saintis baru bagi menggalakkan lebih banyak kajian dan produk-produk dilakukan.

Acara tersebut berlangsung di pusat konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara Kuala Lumpur.

Kejuruteraan genetik

Kajian yang membolehkan Mok Pooi Ling menjadi juara MYSA 2009 ialah penyelidikan mengenai kejuruteraan genetik dengan sel stem mesenkima. Ia menguji keberkesanan kaedah pemindahan gen ke dalam sel stem.

Sel stem itu ialah sel stem mesenkima yang dipencil daripada sumsum tulang manusia. Sel stem mesenkima yang dipindahkan dengan gen-gen tertentu tersebut mempunyai potensi untuk digunakan dalam bidang perubatan regeneratif khususnya terapi gen.

"Sel stem ialah sel utama yang mempunyai kebolehan untuk memperbaharui diri sendiri dan menukar dirinya kepada pelbagai jenis sel khusus dengan fungsi tertentu. Terdapat dua jenis sel stem iaitu sel stem embrionik dan sel stem dewasa. Sel stem embrionik boleh diperoleh daripada embrio yang terbentuk berikutan persenyawaan luar tubuh (in vitro fertilization) atau melalui teknologi pengklonan (pemindahan nuklear sel somatik).


CHOON SHEEN kini terlibat dalam kerja-kerja penyelidikan yang bertujuan menentukan kandungan kimia dalam tumbuhan tempatan iaitu keladi tikus.


"Namun, penyelidikan ke atas sel stem ini menimbulkan banyak kontroversi dari segi isu moral dan etika sosial. Sebabnya, sesetengah orang beranggapan embrio walaupun terbentuk satu hari selepas persenyawaan dianggap mempunyai nilai nyawa bersamaan dengan seorang bayi. Jadi, penyelidikan ke atas sel ini akan mengorbankan satu nyawa," kata Pooi Ling.

Sel stem dewasa pula diperoleh daripada janin yang gugur, darah tali pusat, sumsum tulang, darah, otak, tisu liposuksi, korneal, tiub fallopian dan banyak lagi. Sel stem mesenkima tergolong dalam kategori itu dan dipercayai merupakan remnan sel stem embrionik yang hadir dalam kehidupan pos-natal (selepas seseorang dilahirkan).

Kelebihan sel stem mesenkima

Menurutnya, kajian pemencilan dan pengenalpastian sel stem mesenkima telah dijalankan sejak tahun 2002. Pooi Ling amat berminat dalam bidang kejuruteraan genetik dan kerja-kerja sel stem mesenkima yang seterusnya membuka ruang dan peluang kepadanya untuk menjalankan kajian dalam bidang tersebut.

Antara sebab Pooi Ling memilih sel stem mesenkima sebagai calon untuk pemindahan gen adalah kerana sel itu mudah dipencil daripada pelbagai tisu manusia. Ia juga mudah dipropagasi di dalam makmal dan tidak menimbulkan sebarang perbahasan berkaitan dengan isu moral serta etika sosial.

Lebih penting lagi, sel itu mampu menindas tindakan imunisasi dan boleh bermigrasi ke tisu yang rosak dalam tubuh manusia. Oleh itu, sel tersebut boleh digunakan untuk menghantar gen terapeutik ke kawasan tisu yang rosak.

Lai Choon Sheen yang dinobatkan sebagai juara kategori kromatografi yang baru diadakan pada tahun ini menjalankan kajian mengenai pembangunan dan penentusahihan suatu kaedah analisis kimia. Ia berasaskan pada kromatografi cecair berprestasi tinggi (HPLC) untuk menentukan kandungan ubat antimalaria, iaitu Artesunate, Amodiaquine dan metabolit-metabolitnya dalam plasma manusia.

Pembangunan kaedah itu amat penting kerana dengan adanya kaedah analisis yang sesuai, para penyelidik dapat menggunakannya untuk mengkaji tindakan farmakokinetik sesuatu ubat-ubatan (drug).

Misalnya, berapa cepat sesuatu ubat sampai ke dalam darah, apakah kepekatan ubat yang maksimum dalam darah, selain berapa pantas ubat itu dikumuhkan dan sebagainya.


POOI Ling mempunyai minat yang amat mendalam dalam bidang kejuruteraan genetik.


"Semua maklumat ini penting supaya kita dapat mengetahui keberkesanan sesuatu ubat. Sebelum ini, tidak terdapat kaedah yang sesuai untuk menentukan kandungan ubatan Artesunate dan Amodiaquine yang diberikan sebagai kombinasi.

"Kombinasi ubatan Artesunate-Amodiaquine dipercayai lebih berkesan berbanding ubatan tunggal. Ia turut dijangka dapat melambatkan pembentukan strain parasit malaria yang resistant (kebal) terhadap drug tersebut," kata Choon Sheen yang mengambil masa empat tahun untuk menyudahkan kajian ini.

Keladi tikus

Selain daripada mendapat anugerah Anugerah Saintis Merck 2009 (kategori Kromatografi) Choon Shen mempunyai empat publikasi dalam jurnal antarabangsa (international peer-reviewed journals).

Dia kini terlibat dalam kerja-kerja penyelidikan untuk menentukan kandungan kimia dalam satu tumbuhan tempatan yang digelar keladi tikus. Choon Sheen berharap dapat menemui satu ubat yang berkesan dan mempunyai kesan sampingan paling minimum terhadap penyakit kanser suatu hari nanti.

Bagi Mok Poi Ling pula, dia kini sedang dalam peringkat ujikaji haiwan. Sel stem akan melalui manipulasi kejuruteraan genetik dan dimasukkan ke dalam tikus untuk menguji keberkesanan sel itu menghasilkan eritropoietin dan ujian keselamatan. Ini satu ujian yang amat penting sebelum dia meneruskan percubaan ke atas penggunaannya ke atas pesakit.

Juraina Abd. Jamil dan Emida Mohamed dari Universiti Malaya (UM) masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga dalam kategori Biosains. Sementara Irmaiztussyehdany Buniyamin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Chua Seong Chea dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat tempat kedua dan ketiga bagi kategori Kromatografi.


LAI CHOON SHEEN (kiri) dan Mok Pooi Ling bersama Dr. Maximus Ongkili.


Pemenang tempat kedua membawa pulang wang tunai RM3,000 selain sijil dan trofi. Tempat ketiga pula dihadiahkan wang tunai RM1,500, sijil dan trofi.

Anugerah telah disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili. Pada majlis yang sama, beliau mengumumkan bahawa MOSTI akan mewujudkan semula Anugerah Saintis Muda Negara pada tahun hadapan.

Anugerah yang diperkenalkan pada tahun 1989 untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada saintis muda negara, bagaimanapun telah dihentikan pada tahun 2004.

Ia bakal diadakan bagi menyemarakkan semula bidang penyelidikan dalam negara dan melahirkan lebih banyak penyelidik muda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: