Monday, November 2, 2009

IJF platform interaktif

International Journalism Fellowship MPI mendedahkan peserta kepada pelbagai aspek penerbitan dan penyiaran berita bagi mencapai satu amalan kewartawanan yang kolektif.


PARA peserta yang terdiri daripada wartawan-wartawan yang berjaya menamatkan kursus IJF selama sebulan.


TAHUN ini masuk dua tahun berturut-turut Institut Akhbar Malaysia (MPI) berjaya menganjurkan International Journalism Fellowship 2009 (IJF) di Kuala Lumpur. Program itu yang bermula sejak 3 Oktober lalu, disertai oleh 18 orang peserta dari beberapa buah negara di Asia.

Meskipun peserta dari Zimbabwe dan Namibia tidak dapat menghantar wakil masing-masing, IJF pada kali ini menyaksikan pembabitan aktif dari Bangladesh yang menghantar seorang peserta. Brunei pula menghantar dua orang wakil; Indonesia tujuh dan masing-masing seorang dari Filipina serta Sri Lanka. Malaysia pula menghantar seramai enam peserta.

IJF yang berlangsung selama hampir sebulan mendedahkan kesemua peserta kepada pelbagai aspek penerbitan dan penyiaran berita bagi mencapai satu amalan kewartawanan yang kolektif.

Antara latihan dan didikan yang diberi ialah mengemaskini pengetahuan tentang trend etika kewartawanan antarabangsa, mengasah bakat dan kemahiran membuat liputan berita yang berintegriti tinggi. Selain itu, mereka juga mengikuti perkembangan dunia rekaan dan produksi serta mempersiapkan diri mengenali selok-belok pengurusan serta perniagaan dunia kewartawanan kontemporari.

Para peserta terutamanya mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia didedahkan kepada tradisi, budaya dan gaya hidup masyarakat majmuk Malaysia serta berfikiran kritikal semasa melakukan penyelidikan dan analisis informasi.

"Sejak hari pertama hinggalah tamat acara ini, saya memperoleh pelbagai maklumat yang berguna berhubung dunia kewartawanan. Saya paling seronok mengikuti ceramah Profesor Dr. Stephen Quinn dan Dr. Eric Loo," ujar Sharmin Ibrahim, 28, dari Bangladesh.

Di Dhaka, Bangladesh, Sharmin atau nama samarannya, Luna bekerja untuk stesen televisyen Banglavision sejak tiga tahun tahun lalu dan kerap membuat liputan politik dan laporan khas.

Aktiviti padat

Selama empat minggu, Sharmin dan rakan-rakannya mengikuti susunan jadual yang padat dengan aktiviti seperti ceramah dan kunjungan ke pelabuhan Westport, Port Klang, stesen penyiaran TV3 dan akhbar The Star. Mereka juga ditugaskan untuk membuat laporan berita dan merakam gambar.

"Saya belajar banyak perkara baru tentang pendekatan kewartawanan yang dipraktikkan di Malaysia. Umpamanya empat isu sensitif yang ditangani dengan cermat iaitu menyentuh hal keagamaan, bahasa kebangsaan, kerabat diraja dan kepelbagaian etnik atau kaum," sebut Kristiana Anissa Monroe Hutaba atau Toro, 29, dari Indonesia yang terpilih sebagai peserta terbaik IJF 2009.

Anugerah yang sama turut dikongsi oleh peserta Malaysia, Tan Su Lin dari Bernama Radio 24.

Bagi Jerico Francis Javier, 32, dari Filipina dan Chaminda Perera Hapuarachiage, 32, dari Sri Lanka, kedua-duanya menghargai keseluruhan program yang dianjurkan kerana dapat mengenali penggunaan teknologi media terkini dan berkunjung ke tempat-tempat pelancongan sambil belajar.

Lokasi yang dilawati ialah kota bersejarah Melaka; Port Dickson, Negeri Sembilan; Kuching, Sarawak; Genting Highlands, Putrajaya dan lain-lain. Tidak terkecuali mereka singgah ke Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur.

Sebelum menutup program IJF 2009 secara rasmi pada 30 Oktober lalu di Hotel Peninsula Kuala Lumpur, satu acara penyerahan sijil kepada para peserta diadakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya dan Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar.

Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa turut menerima sijil penyertaan IJF 2009.


SAHARUDIN (tiga dari kanan) menerima sijil tamat kursus International Journalism Fellowship (IJF) daripada Johan sambil disaksikan oleh Chamil (dua dari kanan).


Kursus diploma

Sementara itu, Chamil dalam ucapannya melahirkan rasa gembira terhadap maklum balas positif daripada para penceramah dan peserta. "Tahun depan, kami berharap program ini dapat diperluaskan dengan input-input yang lebih membina.

"Pada Julai 2010, kami merancang untuk bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia bagi memulakan kursus Diploma Kewartawanan. MPI juga mengadakan perbincangan dengan Thomson Foundation di Cardiff, UK bagi memperkenalkan kursus Diploma Kewartawanan selama tiga bulan di Kuala Lumpur."

Dalam pada itu, perkongsian dan perbincangan interaktif itu menghimpunkan beberapa orang penceramah terkemuka di arena tempatan dan di peringkat antarabangsa. Antaranya ialah Pengarah Eksekutif Bahagian Operasi Berita dan Pengarang Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A. Talib; Pengarang Berita Mstar Online, Dr. G. Manimaran; bekas Pengarang Bersekutu The Star, Kee Thuan Chye; Profesor Bersekutu Pensyarah Pusat Pendidikan Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Dr. Asiah Sarji; Ketua Program Penyiaran Fakulti Kajian Komunikasi dan Media UiTM, Khairuddin Othman dan Pengarang Kumpulan New Straits Times Press, Zainul Ariffin Mohammed Isa.

Selain itu turut terlibat ialah Pensyarah Kewartawanan di Universiti Deakin dan perunding Innovation International di Australia, Dr. Stephen Quinn; Pensyarah Kewartawanan dari Universiti Wollongong, Australia selaku kolumnis Malaysiakini, Dr. Eric Loo; Pengarang Global Pictures Desk Reuters, David ST Loh dan Penolong Pengarang Global Pictures Desk Reuters, Wong Teck Zhung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: