Friday, November 13, 2009

Guru trauma mula diberi kaunseling


KERATAN Kosmo! 11 November 2009.


SUBANG JAYA - Guru-guru yang terbabit dalam tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang akhir Oktober lalu kini mengikuti beberapa program kaunseling bagi memulihkan trauma akibat kecaman pelbagai pihak yang menuduh mereka sebagai punca kejadian tersebut.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, dua program kaunseling sudah dijalankan membabitkan 12 orang guru yang terlibat dan satu lagi program kaunseling berkumpulan akan berlangsung pada 18 November ini.

"Ada pelbagai tuduhan yang menyebabkan guru-guru terbabit berasa tidak tenteram dan tertekan terutama apabila mereka dikatakan cuai menjaga keselamatan pelajar dan tiada di tempat kejadian serta tidak mengambil tindakan untuk menyelamatkan pelajar.

"Selain itu, ada di kalangan mereka menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbau kecaman dan ugutan saman malah ada pihak luar menyerang guru-guru berkenaan sehingga mereka tidak bersemangat untuk mengajar," katanya pada sidang media selepas Konvensyen Perdana Kaunselor Organisasi Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia di sini semalam.

Rabu lalu, Kosmo! melaporkan pendedahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa ramai guru dan murid yang terlibat dalam tragedi jambatan gantung di Kuala Dipang kini trauma dan 'dibiarkan' tanpa sebarang khidmat kaunseling.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad mengakui kejadian yang berlaku telah memberi kesan psikologi kepada guru-guru berkenaan dan sekiranya tidak dirawat atau dibendung, mereka akan menjadi lebih tertekan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: