"Saya mahu dikenali peminat sebagai penyanyi berbakat besar. Saya tidak kejar kemasyhuran atau apa jua yang berkaitan dengan glamor" - – AZURA

TIADA yang lebih membahagiakan juruhebah radio Muzik FM, Azura Lisa Aziz atau dikenali sebagai deejay Azura apabila impiannya untuk muncul dengan sebuah album, Kita Ke Akhirnya menjadi kenyataan.
Keterujaan Azura menghasilkan karya yang memuatkan lima buah lagu itu dilihat menjadi kepuasan tidak terhingga kepada empunya diri yang sebelum ini suaranya hanya kedengaran sayup-sayup di corong radio.
Dengan keputusan wanita berusia 28 tahun itu untuk melahirkan album mini, pasti ada suara-suara nakal di luar sana yang mempertikaikan kemampuan Azura untuk melunaskan impian bergelar penyanyi.
Mengulas tentang perkara tersebut, anak kelahiran Kelantan yang dibesarkan di Kuala Lumpur itu mengaku kehadirannya dalam dunia seni tidak membawa agenda tertentu. Sebaliknya dia cuma inginkan bakat yang ada dalam diri diketengahkan.
"Kerjaya penyampai radio bukan macam dulu yang hanya memperjuangkan suara kepada pendengar. Tetapi para penyampai kini boleh menjadi versatil seperti melibatkan diri sebagai pelakon, pengacara, penulis, pelawak dan penerbit.
"Saya boleh anggap diri ini sebagai penyampai yang mencuba nasib untuk jadi penyanyi. Selain menyandang tanggungjawab sebagai penyampai radio dan menyanyi, saya turut ada bakat lain seperti menggubah dan menulis lagu.
"Bagai menjadi kebiasaan, saya tahu ada sebilangan pihak yang berpendapat bahawa saya gila glamor mahupun syok sendiri buat album ini. Tetapi biarlah mulut orang ramai hendak berkata-kata yang tidak elok tentang keputusan saya mahu bergelar artis.
"Saya juga sedar pasti ada yang mengatakan suara saya sumbang atau itu dan ini. Biarpun begitu, saya tidak boleh untuk berbuat apa-apa selain mengambil sikap berdiam diri dengan segelintir pihak yang tidak mempercayai kebolehan diri.
"Terus-terang, saya enggan ambil peduli dengan cacian daripada orang lain kerana ia hanya membuatkan saya lekas putus asa dan bersedih sedangkan saya ada bakat.
"Bukan hendak bersikap hidung tinggi. Saya sebaliknya tetap mengalu-alukan komen daripada pihak media dan sebarang kritikan berbentuk membina. Jika ada apa-apa, sila beritahu dan tunjuk ajar saya," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran albumnya di pusat beli-belah The Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sambung anak kedua daripada empat beradik itu, minat mendalam terhadap bidang nyanyian sebenarnya sudah lama berputik dalam diri. Bahkan, Azura pernah disuakan peluang untuk menghasilkan album sekitar tahun 2002.
"Saya pernah terima tawaran untuk jadi penyanyi ketika awal kemunculan dalam dunia penyiaran radio. Cuma pada waktu itu saya belum ada penuh keyakinan ditambah baru bekerja sebagai penyampai radio.

"Bagaimanapun, saya mula ada keberanian untuk merakamkan album sejak dua tahun lalu selepas semakin mempercayai dengan kemampuan diri apatah lagi sudah ada pengikut sendiri yang mendengarkan stesen radio Muzik FM.
"Secara tidak langsung, saya anggap mudahlah selepas ini untuk mempromosikan diri selepas saya sudah dikenali di stesen radio milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini.
"Saya boleh bayangkan nasib penyanyi lain yang baru merangkak dalam dunia seni. Saya sedar bukan mudah untuk mereka mencapai populariti dan berdiri di atas kaki sendiri pada awal kemunculan.
"Saya anggap kerjaya sebagai penyampai menjadi bonus untuk saya mengukuhkan nama dalam industri nyanyian ini. Bahkan saya turut terharu apabila penyampai di radio RTM lain juga membantu untuk memperkenalkan lagu nyanyian saya di radio masing-masing," jelasnya sambil tersenyum girang.
Rupa-rupanya, Azura sebelum ini mendapat pendedahan awal sebagai penyanyi setelah dia memasuki pertandingan Bintang Asli Malaysia pada tahun 1998 dan beberapa pertandingan nyanyian lain.
Pada waktu yang sama, Azura sering menerima jemputan menyanyi pada majlis-majlis korporat sekali gus berpeluang merakamkan lagu-lagu patriotik ciptaan Datuk Ibrahim Bachik, Tan Sri Zainuddin Maidin, Anuar Dahlan dan mendendangkan lagu tema RTM sejak tiga tahun lalu.
Tiada sebarang kegentaran, anak dara kepada Aziz Ramlee, 53, itu berpandangan selagi dia punya lagu-lagu menarik dan memiliki kreativiti sendiri maka selagi itu dia boleh pergi jauh dalam bidang seni suara.
"Saya mahu dikenali peminat sebagai penyanyi berbakat besar. Saya tidak kejar kemasyhuran atau apa jua yang berkaitan dengan glamor. Tetapi tidak saya nafikan bahawa elemen populariti perlu ada dalam diri walaupun sedikit.
"Saya anggap definisi popular ini menerusi hasil karya yang segar dan unik sekali gus hadir dengan pakej yang ada kepada saya. Justeru, saya ingin berjuang selagi terdaya dan diterima oleh masyarakat," akui Azura yang bercita-cita untuk membuka sebuah studio rakaman sendiri.
Tempuhi halangan siapkan album
Menjangkau tempoh selama dua tahun untuk disempurnakan, album Azura yang mengenengahkan konsep pop rock dengan sedikit elemen hip hop itu dianggap sebagai naskhah eksperimen serta menjadi salam perkenalan dirinya.
"Tidak dinafikan, banyak pengalaman yang terpaksa diharungi untuk menyiapkan album ini. Walaupun ada lima lagu saja, namun saya terpaksa mengharungi banyak dugaan sebelum Kita Ke Akhirnya berhasil menjadi sebuah karya.
"Pertama sekali saya alami masalah kesihatan apabila mengalami demam campak. Keduanya adalah kesukaran ahli Flybaits, Atan sebagai komposer yang tidak banyak waktu ditambah perlu berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur. Masalah ketiga pula berlaku disebabkan terdapat kesulitan penyusunan dan pengadunan lagu.

"Sebelum ini saya menyanyi sesebuah lagu sambil mengikut panduan vokal yang diberikan. Susah juga hendak merekodkan lagu Puncak Cinta kerana saya kena menyanyi dengan baik ditambah keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
"Sebelum ini saya banyak mendendangkan karya berbentuk puisi. Meskipun lagu Puncak Cinta kedengaran santai dan mudah dilagukan, hakikatnya saya terpaksa mengambil waktu panjang untuk menjiwai lagu ini.
"Boleh dikatakan dua atau tiga kali jugalah mengalami masalah tidak jadi rekod lagu ini sehingga rakamannya ditangguhkan tiga bulan kemudian," terang Azura sambil berterus-terang.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album Kita Ke Akhirnya di bawah payung ZBH dan Mekar RBZ Sdn. Bhd. adalah Kemarau Cinta yang merupakan ciptaan AAZ, Puncak Cinta (Baba Iskandar), Keputusanku (AAZ) dan Tegar Cinta (Atan dan Sulu Sarawak).
Penyiaran radio jadi keutamaan
Kalau masih ada yang samar-samar tentang Azura, dia mengendalikan slot pagi bermula 6 hingga 10 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat di Muzik FM bergandingan dengan deejay Muaz.
Antara pengisian yang dijalankan oleh Azura dan rakan penyampainya itu adalah Topik Pagi, Skodeng-Skodeng Bersama Cik Meen, Laporan Trafik, Laporan Cuaca, Motivasi Pagi, Perkara Yang Luar Biasa dan Kuiz.
Bercakap tentang kerjaya sebagai penyampai di Muzik FM, Azura memberitahu biarpun apa sahaja yang berlaku, dia masih mengutamakan kerja dalam bidang penyiaran terlebih dahulu daripada nyanyian.
"Selalunya undangan nyanyian hanya diterima pada hujung minggu sementelah saya bertugas di konti setiap Isnin hingga Jumaat.
"Bahkan kalau Muzik FM mengadakan program siri jelajah pada Sabtu dan Ahad di merata-rata lokasi di seluruh Malaysia maka saya tetap mendahulukan kerja sebagai penyampai.
"Saya enggan sesekali melepaskan karier penyiaran sebab ia merupakan bidang yang cukup saya minati.

Sejujurnya, kerjaya di Muzik FM mendisiplinkan saya dalam pelbagai hal yang berkaitan dalam kehidupan.
"Selain saya dapat membiasakan diri bangun seawal pagi untuk bertugas di konti, saya juga dapat mengawal perbualan tanpa menggunakan bahasa rojak apatah lagi para penyampai di Muzik FM dan radio lainnya dipantau oleh pihak RTM sendiri.
"Ia tidak sesekali menyekat kreativiti saya mahupun penyampai lain. Sebaliknya kami dapat terhibur melakukan kerja sebagai penyampai sekali gus mempelajari banyak perkara baru dalam bidang penyiaran radio.
"Untuk perancangan pada tahun depan, ada penambahan daripada pengisiannya berupa temu bual dengan artis, memberikan ganjaran atau hadiah lebih lumayan kepada pendengar," tuturnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: